[1] Dengan demikian aku, Paulus, yang terpenjara kerana Kristus Yesus untuk kamu, orang bukan orang Israel.
[2] Tentu kamu telah mendengar, bahawa aku diberi tugas melaksanakan kasih kurnia Allah untukmu.
[3] Melalui wahyu, Allah telah memberitahuku rahsia itu sebagaimana sudah kutuliskan secara ringkas.
[4] Apabila kamu membacanya kamu akan mengerti pengetahuanku dalam rahsia Kristus.
[5] Pada zaman-zaman silam rahsia itu tidak diberitahu kepada anak manusia, sebagaimana sekarang telah dinyatakan oleh Roh kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci –
[6] bahawa bangsa-bangsa asing sama-sama menjadi waris, satu tubuh, dan sama-sama mendapat bahagian daripada perjanjian Allah dalam Kristus Yesus melalui Injil.
[7] Aku telah menjadi seorang hamba Injil dengan kasih kurnia Allah yang telah diberikan-Nya kepadaku melalui pelaksanaan kuasa-Nya.
[8] Kepadaku, yang lebih rendah daripada orang salih yang paling rendah, kasih kurnia ini telah diberikan supaya aku pergi menyampaikan perkhabarkan kepada bangsa-bangsa asing tentang kekayaan Kristus yang tidak mungkin dapat dicari itu,
[9] dan menjelaskan kepada semua orang pelaksanaan rahsia itu, yang dari permulaan zaman telah terselindung dalam hati Allah yang menjadikan segala-galanya.
[10] Dengan demikian sekarang pelbagai kebijaksanaan Allah diberitahu oleh jemaah kepada segala pemerintah dan kuasa di syurga.
[11] Ini adalah menurut maksud-Nya yang kekal yang telah ditunaikan-Nya dalam Kristus Yesus, Tuhan kita;
[12] yang dalam-Nya kita mendapat kebebasan dan keyakinan menghampiri Allah melalui iman.
[13] Oleh itu, aku meminta kepadamu, janganlah tawar hati akibat kesusahan yang kutanggung keranamu, ini adalah kemuliaanmu.
[14] Dengan sebab itulah aku bertelut kepada Bapa,
[15] yang daripada-Nya seluruh bangsa di syurga dan di bumi telah dinamakan.
[16] Aku berdoa semoga Dia mengurniakan kepadamu, menurut limpah kemuliaan-Nya, kekuatan melalui Roh-Nya dalam dirimu.
[17] Semoga Kristus mendiami hatimu melalui iman. Dan kamu, setelah berakar umbi dalam kasih,
[18] akan mengerti bersama semua orang salih betapa lebarnya, panjangnya, tingginya dan dalamnya kasih Kristus,
[19] dan mengetahui kasih Kristus ini yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia supaya kamu dipenuhi dalam seluruh kepenuhan Allah.
[20] Kepada Allah yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita, menurut kuasa-Nya yang bertindak dalam diri kita,
[21] kepada-Nya kemuliaan dalam jemaah dan dalam Kristus Yesus zaman-berzaman selama-lamanya! Amin.