[1] Daripada Paulus, rasul Kristus Yesus dengan kehendak Allah, Kepada semua orang salih di Efesus, iaitu orang yang beriman kepada Kristus Yesus:
[2] Kasih kurnia dan damai sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Tuhan Yesus Kristus.
[3] Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, yang telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam Kristus.
[4] Sebabnya Dia telah memilih kita dalam Kristus sebelum dunia ini dijadikan, supaya kita suci dan tidak bercela di hadapan-Nya. Dalam kasih,
[5] Dia telah menentukan kita dari mulanya untuk diangkat sebagai anak oleh Yesus Kristus kepada diri-Nya, menurut keredaan dan kehendak-Nya –
[6] supaya terpujilah kemuliaan kasih kurnia-Nya, yang dirahmati-Nya kepada kita dalam Dia yang dikasihi-Nya.
[7] Dalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya, pengampunan dosa, menurut limpah kasih kurnia-Nya
[8] yang dilimpahkan-Nya kepada kita dengan segala kebijaksanaan dan pengertian.
[9] Dia memberitahu kita rahsia kehendak-Nya, menurut keredaan-Nya yang sudah ditentukan-Nya dalam Kristus,
[10] bahawa setelah sampai masa pelaksanaannya – Dia akan menyatukan segala sesuatu di bawah Kristus sebagai Kepala, baik yang di syurga mahupun yang di bumi.
[11] Dalam-Nya juga kita telah mendapat warisan, kerana telah ditentukan dari mulanya menurut maksud Allah yang melakukan segalanya seperti pertimbangan kehendak-Nya,
[12] bahawa kami yang mula-mula menaruh harapan pada Kristus akan mendatangkan puji bagi kemuliaan-Nya.
[13] Kamu juga dalam Kristus setelah mendengar kata kebenaran, iaitu Injil tentang penyelamatanmu. Dan dalam-Nya, setelah mempercayai-Nya, kamu telah dimaterai dengan Roh Kudus yang dijanjikan-Nya,
[14] yang menjadi jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah – segala puji bagi kemuliaan-Nya.
[15] Oleh itu aku juga, setelah mendengar bahawa kamu beriman kepada Tuhan Yesus dan mengasihi semua orang yang salih,
[16] tidak putus-putus bersyukur tentangmu dan menyebutmu dalam doaku.
[17] Aku berdoa semoga Allah Tuhan kita Yesus Kristus, iaitu Bapa kemuliaan, memberimu roh kebijaksanaan dan wahyu untuk mengenali-Nya.
[18] Semoga Allah menerangkan mata hatimu untuk mengetahui harapan daripada panggilan-Nya, limpah kemuliaan warisan-Nya dalam orang yang salih,
[19] dan betapa besar kuasa-Nya bagi kita yang beriman. Demikianlah pelaksanaan kuasa-Nya yang agung itu
[20] dalam Kristus apabila membangkitkan-Nya daripada kematian dan mendudukkan-Nya di sebelah kanan-Nya di syurga.
[21] Allah meletakkan Kristus jauh di atas segala penguasa dan kekuasaan, kuasa dan pemerintahan, dan setiap nama yang dinamakan, bukan sahaja pada zaman ini tetapi juga pada zaman akan datang.
[22] Allah meletakkan segalanya di bawah kaki-Nya dan menjadikan-Nya Kepala semua hal ehwal jemaah,
[23] yang merupakan tubuh-Nya, disempurnakan oleh Dia yang menyempurnakan segala-galanya.