[1] Selepas seluruh bangsa itu menyeberangi Sungai Yordan, TUHAN berfirman kepada Yosua,
[2] “Pilihlah dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku,
[3] lalu suruhlah mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah sungai, tepat pada tempat imam-imam itu berdiri. Suruhlah mereka mengangkat batu-batu itu dan meletakkannya di tempat kamu berkhemah malam ini.”
[4] Kemudian Yosua memanggil dua belas orang yang telah dipilihnya
[5] dan berkata, “Turunlah ke sungai di depan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu. Masing-masing harus mengambil sebuah batu, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Pikullah batu itu.
[6] Batu-batu itu akan mengingatkan umat Israel tentang perbuatan TUHAN. Pada masa yang akan datang, apabila anak-anak kamu bertanya akan erti batu-batu itu,
[7] beritahulah mereka bahawa Sungai Yordan berhenti mengalir ketika Tabut Perjanjian TUHAN digotong menyeberangi sungai itu. Batu-batu itu akan sentiasa mengingatkan umat Israel tentang peristiwa yang berlaku di sini.”
[8] Mereka menurut perintah Yosua. Sebagaimana perintah TUHAN kepada Yosua, mereka mengambil dua belas buah batu dari tengah-tengah Sungai Yordan, sebuah batu untuk setiap suku Israel. Mereka memikul batu-batu itu ke tempat perkhemahan lalu meletakkan semuanya di sana.
[9] Yosua juga menyusun dua belas buah batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat imam-imam itu berdiri. (Batu-batu itu masih ada di sana sampai sekarang.)
[10] Para imam berdiri di tengah-tengah Sungai Yordan sehingga segala yang diperintahkan TUHAN kepada Yosua telah dilakukan oleh umat itu. Itulah yang diperintahkan oleh Musa kepada Yosua. Umat Israel menyeberangi sungai dengan cepat
[11] dan apabila mereka semua sampai di seberang, imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian TUHAN berjalan di hadapan mereka.
[12] Semua orang daripada suku Ruben, Gad, dan setengah suku Manasye telah menyeberang mendahului umat Israel yang lain, dan mereka siap berperang seperti yang diperintahkan Musa.
[13] Semuanya ada kira-kira 40,000 orang lelaki yang telah siap untuk berperang. Di hadapan TUHAN, mereka menyeberang ke dataran rendah dekat kota Yerikho.
[14] Perbuatan TUHAN pada hari itu menyebabkan umat Israel menghormati Yosua sebagai orang besar. Mereka menghormati dia sepanjang hayatnya sebagaimana mereka menghormati Musa dahulu.
[15] Kemudian TUHAN menyuruh Yosua
[16] memerintah imam-imam yang menggotong Tabut Perjanjian keluar dari Sungai Yordan.
[17] Yosua mematuhi perintah TUHAN.
[18] Apabila imam-imam itu sampai di tebing sungai, air sungai mengalir lagi dan banjir seperti semula.
[19] Umat Israel menyeberangi sungai itu pada hari kesepuluh bulan pertama, lalu mereka berkhemah di Gilgal, di sebelah timur kota Yerikho.
[20] Di sana Yosua menyusun dua belas buah batu yang diambil dari Sungai Yordan.
[21] Dia berkata kepada umat Israel, “Pada masa akan datang, apabila anak cucu kamu bertanya tentang erti batu-batu ini,
[22] beritahulah mereka bahawa umat Israel menyeberangi Sungai Yordan di atas dasar yang kering.
[23] Beritahulah mereka bahawa TUHAN, Allah kamu mengeringkan sungai itu untuk kamu sehingga kamu menyeberanginya, sebagaimana Dia mengeringkan Laut Gelagah untuk kami sehingga kami menyeberanginya.
[24] Dengan kejadian itu, semua orang di bumi akan tahu betapa besarnya kuasa TUHAN. Oleh itu kamu akan menghormati TUHAN, Allah kamu selama-lamanya.”