Skip to content
Opens in a new window

[1] Kemudian para ketua keluarga daripada suku Lewi datang menghadap Imam Eleazar, Yosua anak Nun, dan ketua-ketua keluarga semua suku Israel.

[2] Di Silo, di tanah Kanaan mereka berkata, “TUHAN memberikan perintah melalui Musa supaya kami diberikan kota-kota sebagai tempat tinggal dan padang rumput di sekeliling kota bagi ternakan kami.”

[3] Oleh itu, menurut perintah TUHAN, umat Israel memberi suku Lewi beberapa buah kota dengan padang rumput di sekelilingnya daripada wilayah mereka sendiri.

[4] Keluarga-keluarga daripada puak Kehat adalah yang pertama menerima kota-kota mereka. Keturunan Imam Harun menerima tiga belas buah kota dari wilayah Yehuda, Simeon, dan Benyamin.

[5] Puak Kehat yang lain menerima sepuluh buah kota dari wilayah Dan, Efraim, dan Manasye Barat.

[6] Puak Gerson menerima tiga belas buah kota dari wilayah Isakhar, Asyer, Naftali, dan Manasye Timur.

[7] Keluarga-keluarga daripada puak Merari menerima dua belas buah kota dari wilayah Ruben, Gad, dan Zebulon.

[8] Demikianlah dengan membuang undi, umat Israel memberikan kota-kota itu dan padang rumput di sekelilingnya kepada suku Lewi, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN dengan perantaraan Musa.

[9] Inilah nama kota-kota dari wilayah Yehuda dan Simeon yang diberikan

[10] kepada keturunan Harun, iaitu salah satu keluarga daripada puak Kehat keturunan Lewi. Mereka mendapat bahagian yang pertama.

[11] Mereka menerima kota Arba (Arba ialah bapa Enak), yang sekarang disebut Hebron, di kawasan perbukitan Yehuda, termasuk padang rumput yang di sekelilingnya.

[12] Tetapi kawasan tanah lapang dan pekan-pekan di sekitar kota itu telah diberikan kepada Kaleb anak Yefune sebagai miliknya.

[13] Selain kota Hebron (salah satu kota perlindungan), kota-kota berikut telah diberikan kepada keturunan Imam Harun: kota Libna,

[14] Yatir, Estemoa,

[15] Holon, Debir,

[16] Ain, Yuta, dan Bet-Semes bersama dengan padang rumput di sekelilingnya; semuanya sembilan buah kota daripada suku Yehuda dan Simeon.

[17] Dari wilayah Benyamin, mereka menerima empat buah kota: kota Gibeon, Geba,

[18] Anatot, dan Almon bersama dengan padang rumput di sekelilingnya.

[19] Para imam keturunan Harun menerima tiga belas buah kota bersama dengan padang rumputnya.

[20] Keluarga lain daripada puak Kehat menerima beberapa buah kota dari wilayah Efraim.

[21] Mereka menerima empat buah kota: kota Sikhem dan padang rumputnya di kawasan perbukitan Efraim (salah satu kota perlindungan), Gezer,

[22] Kibzaim, dan Bet-Horon, bersama dengan padang rumputnya.

[23] Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Dan: kota Elteke, Gibeton,

[24] Ayalon, dan Gat-Rimon, bersama dengan padang rumputnya.

[25] Mereka menerima dua buah kota dari wilayah Manasye Barat: kota Taanakh dan Gat-Rimon, bersama dengan padang rumputnya.

[26] Keluarga-keluarga daripada puak Kehat menerima sepuluh buah kota semuanya, bersama dengan padang rumputnya.

[27] Satu lagi puak daripada suku Lewi, iaitu puak Gerson, menerima dua buah kota dari wilayah Manasye Timur: kota Golan di Basan (salah satu kota perlindungan) dan Beestera, bersama dengan padang rumputnya.

[28] Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Isakhar: kota Kisyon, Dobrat,

[29] Yarmut, dan En-Ganim, bersama dengan padang rumputnya.

[30] Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Asyer: kota Misal, Abdon,

[31] Helkat, dan Rehob, bersama dengan padang rumputnya.

[32] Mereka menerima tiga buah kota dari wilayah Naftali: kota Kedes di Galilea bersama dengan padang rumputnya (salah satu kota perlindungan), Hamot-Dor dan Kartan, bersama dengan padang rumputnya.

[33] Keluarga-keluarga daripada puak Gerson menerima sejumlah tiga belas buah kota bersama dengan padang rumputnya.

[34] Puak lain daripada suku Lewi, iaitu puak Merari, menerima empat buah kota dari wilayah Zebulon: kota Yokneam, Karta,

[35] Dimna, dan Nahalal, bersama dengan padang rumputnya.

[36] Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Ruben: kota Bezer, Yahas,

[37] Kedemot, dan Mefaat, bersama dengan padang rumputnya.

[38] Mereka menerima empat buah kota dari wilayah Gad: kota Ramot di Gilead, bersama dengan padang rumputnya (salah satu kota perlindungan), Mahanaim,

[39] Hesybon, dan Yaezer, bersama dengan padang rumputnya.

[40] Dengan demikian, puak Merari menerima sejumlah dua belas buah kota.

[41] Dari tanah yang dimiliki umat Israel, sejumlah empat puluh lapan buah kota bersama dengan padang rumputnya telah diberikan kepada suku Lewi.

[43] Demikianlah TUHAN memberi umat Israel seluruh tanah yang telah dijanjikan-Nya dengan sumpah kepada nenek moyang mereka. Setelah merebut tanah itu, mereka menetap di sana.

[44] TUHAN memberi mereka keamanan di seluruh tanah itu sebagaimana yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang mereka. Tidak seorang musuh pun dapat melawan mereka, kerana TUHAN telah memberi umat Israel kemenangan atas semua musuh.

[45] TUHAN menepati tiap-tiap janji-Nya kepada umat Israel.

Yosua — Chapters