Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:42

[1] Kerana kamu anak-anak Allah yang dikasihi-Nya, kamu mesti berusaha mengikut teladan-Nya.

[2] Hidup kamu harus dijiwai oleh kasih, sebagaimana Kristus mengasihi kita. Dia mengorbankan nyawa-Nya bagi kita, sebagai suatu persembahan yang harum dan korban yang menyenangkan hati Allah.

[3] Kerana kamu umat Allah, tidak sepatutnya perbuatan yang cabul atau tidak senonoh, ataupun ketamakan berlaku antara kamu, supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mengumpat kamu.

[4] Kamu juga tidak patut menggunakan kata-kata yang lucah, cabul, atau tidak senonoh. Sebaliknya kamu harus bersyukur kepada Allah.

[5] Kamu tentu tahu bahawa orang yang melakukan perbuatan cabul, atau yang tidak senonoh, ataupun yang tamak (kerana ketamakan seperti penyembahan berhala), tidak akan menikmati Pemerintahan Kristus dan Allah.

[6] Janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu dengan kata-kata dusta, kerana hal-hal inilah yang menimbulkan kemurkaan Allah terhadap mereka yang tidak taat kepada-Nya.

[7] Oleh itu janganlah sekali-kali berhubungan dengan orang semacam itu.

[8] Dahulu kamu hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu telah menjadi umat Tuhan, maka kamu hidup dalam cahaya. Itulah sebabnya kamu mesti hidup seperti orang yang hidup dalam cahaya,

[9] kerana cahaya itulah yang menyebabkan orang melakukan segala sesuatu yang baik, adil, dan tulus.

[10] Berusahalah untuk melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan.

[11] Janganlah lakukan perbuatan tidak berguna, yang biasa dilakukan oleh orang yang hidup dalam kegelapan. Sebaliknya, kamu harus mendedahkan perkara-perkara itu. (

[12] Sebenarnya hal-hal yang dilakukan mereka dengan diam-diam amat memalukan untuk dipercakapkan.)

[13] Segala sesuatu akan kelihatan dengan jelas, apabila disinari cahaya,

[14] kerana segala sesuatu yang dapat dilihat dengan jelas, adalah cahaya. Itulah sebabnya dikatakan, “Bangunlah, hai kamu yang tidur, dan bangkitlah daripada kematian! Kristus akan menyinari kamu.”

[15] Oleh itu, perhatikanlah cara hidup kamu dengan baik. Janganlah hidup seperti orang bodoh, tetapi hiduplah seperti orang bijak.

[16] Setiap kali kamu berpeluang melakukan apa yang baik, gunakanlah peluang itu, kerana masa ini masa yang jahat.

[17] Janganlah bertindak bodoh, tetapi berusahalah untuk mengetahui apa yang dikehendaki Tuhan bagi kamu.

[18] Janganlah kamu menjadi mabuk oleh wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup kamu. Tetapi hendaklah kamu dikuasai oleh Roh Allah.

[19] Gunakanlah kata-kata daripada mazmur, nyanyian puji-pujian, dan lagu rohani dalam percakapan kamu. Nyanyikanlah puji-pujian dan mazmur kepada Tuhan dengan hati yang gembira.

[20] Hendaklah kamu sentiasa bersyukur kepada Allah Bapa bagi segala sesuatu, demi nama Yesus Kristus Tuhan kita.

[21] Untuk menghormati Kristus, hendaklah kamu taat kepada satu sama lain.

[22] Hai isteri, taatlah kepada suami seperti kamu taat kepada Tuhan,

[23] kerana suami ialah ketua kepada isteri, sebagaimana Kristus ialah ketua kepada jemaah. Kristuslah Penyelamat jemaah, iaitu tubuh-Nya.

[24] Oleh itu isteri harus taat dalam segala hal kepada suami, sebagaimana jemaah taat kepada Kristus.

[25] Hai suami, kasihilah isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah, dan mengorbankan nyawa-Nya untuk jemaah.

[26] Kristus berbuat demikian untuk membersihkan jemaah dengan air dan dengan firman-Nya, supaya Dia dapat menyerahkan jemaah kepada Allah.

[27] Dengan demikian Kristus memiliki jemaah yang penuh dengan kecemerlangan, yang murni, dan yang tidak bercacat cela sedikit pun.

[28] Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Orang yang mengasihi isteri bererti mengasihi diri sendiri. (

[29] Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menjaganya, seperti Kristus juga memelihara dan menjaga jemaah,

[30] kerana kita anggota tubuh Kristus.)

[31] Di dalam Alkitab tertulis, “Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya untuk bersatu dengan isterinya, dan kedua-duanya akan menjadi satu.”

[32] Ayat itu mengandungi erti yang dalam. Menurut pengertianku, ayat itu berkaitan dengan hubungan antara Kristus dan jemaah.

[33] Tetapi ayat itu juga berkaitan dengan kamu: Setiap suami harus mengasihi isterinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri, dan setiap isteri harus menghormati suaminya.

Efesus — Chapters