Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:51

[1] Itulah sebabnya aku, Paulus, dipenjarakan kerana Kristus Yesus untuk kepentingan kamu orang bukan Yahudi.

[2] Tentu kamu sudah mendengar berita bahawa Allah, kerana rahmat-Nya telah memberi aku tugas ini untuk kepentingan kamu.

[3] Allah menyatakan rancangan-Nya yang dirahsiakan dan memberitahukannya kepadaku. (Hal itu sudah aku tulis dengan singkat.

[4] Jika kamu membacanya, kamu akan memahami pengertianku tentang rahsia Kristus.)

[5] Pada masa yang lampau manusia tidak diberitahukan rahsia itu, tetapi sekarang Roh Allah telah menyatakannya kepada para rasul dan nabi yang mengabdikan diri kepada Allah.

[6] Inilah rahsia itu: Melalui Berita Baik itu orang bukan Yahudi turut menerima berkat Allah bersama-sama orang Yahudi. Orang bukan Yahudi menjadi anggota daripada tubuh yang sama, dan menerima apa yang dijanjikan oleh Allah melalui Kristus Yesus.

[7] Allah merahmati aku dan melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diriku, aku ditugaskan untuk mengisytiharkan Berita Baik itu.

[8] Akulah yang paling hina antara umat Allah, namun Allah mengurniai aku tugas istimewa untuk mengisytiharkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi. Berita Baik itu tentang berkat-berkat yang tidak terhingga daripada Kristus.

[9] Aku juga harus menjadikan semua orang tahu bagaimana Allah melaksanakan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu. Allah, Pencipta semesta alam ini merahsiakan rancangan-Nya sejak dahulu,

[10] supaya sekarang melalui jemaah, semua yang memerintah dan yang berkuasa di angkasa dapat mengetahui pelbagai ragam kebijaksanaan Allah.

[11] Melalui Kristus Yesus Tuhan kita, Allah melakukan hal itu seperti yang dirancang-Nya sejak permulaan.

[12] Kerana kita percaya kepada Kristus dan hidup bersatu dengan Dia, kita berani datang ke hadirat Allah dengan penuh keyakinan.

[13] Oleh itu, janganlah tawar hati oleh sebab aku mengalami penderitaan kerana kamu. Semuanya untuk kebaikan kamu.

[14] Itulah sebabnya aku bertelut di hadapan Bapa.

[15] Dialah yang menyebabkan setiap kaum di dunia dan di syurga menerima sifatnya yang khas.

[16] Aku berdoa kepada Allah supaya daripada berkat-Nya yang berlimpah-limpah di syurga, Dia menguatkan batin kamu dengan Roh-Nya.

[17] Semoga Kristus tinggal di dalam hati kamu, kerana kamu percaya kepada-Nya. Aku berdoa supaya semua perbuatan kamu berakarkan dan berdasarkan kasih.

[18] Dengan demikian kamu bersama-sama umat Allah, dapat sungguh-sungguh memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus,

[19] yang dengan akal manusia tidak dapat difahami sedalam-dalamnya. Semoga kamu mengenal kasih Kristus, sehingga kamu memperolehi sifat Allah.

[20] Dengan kuasa Allah yang bekerja dalam diri kita, Allah dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan. Hendaklah Allah dimuliakan selama-lamanya di kalangan jemaah, melalui Kristus Yesus! Terpujilah Allah! Amin.

Efesus — Chapters