Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 7:21

[1] Itulah sebabnya aku - orang yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Tuhan - menggesa kamu supaya hidup sesuai dengan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah ketika Dia memanggil kamu.

[2] Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu.

[3] Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara.

[4] Hanya ada satu tubuh dan satu Roh, begitu juga kamu dipanggil oleh Allah untuk satu harapan.

[5] Hanya ada satu Tuhan, satu iman, satu baptisan,

[6] dan satu Allah, Bapa semua orang. Dialah Tuhan semua orang, yang bekerja melalui semua orang, dan tinggal di dalam semua orang.

[7] Setiap orang daripada kita menerima suatu kurnia menurut apa yang diberikan oleh Kristus.

[8] Di dalam Alkitab tertulis, “Ketika Dia naik ke tempat yang tertinggi, Dia membawa banyak tawanan; Dia memberikan kurnia kepada manusia.”

[9] Inilah yang dimaksudkan dengan “Dia naik”: Mula-mula Dia turun ke tempat yang serendah-rendahnya di bumi ini.

[10] Dia yang turun itu juga naik ke tempat yang jauh lebih tinggi daripada segala langit, sehingga alam semesta dipenuhi dengan kehadiran-Nya.

[11] Dialah yang “memberikan kurnia kepada manusia”. Beberapa orang dilantik-Nya menjadi rasul, yang lain menjadi nabi, yang lain lagi menjadi pembawa Berita Baik, dan yang lain pula menjadi guru dan pemelihara jemaah.

[12] Hal itu dilakukan-Nya supaya umat Allah dapat melakukan pelayanan yang sepatutnya dilakukan oleh pengikut Kristus, sehingga tubuh Kristus dikuatkan.

[13] Dengan demikian kita menjadi satu oleh iman yang sama dan pengertian yang sama tentang Anak Allah. Kita akan menjadi matang dan sempurna seperti Kristus.

[14] Barulah kita tidak menjadi anak-anak lagi, yang diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik. Mereka menyesatkan orang dengan tipu muslihat.

[15] Sebaliknya, kita harus mengatakan perkara-perkara benar dengan hati yang penuh kasih, sehingga kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala jemaah.

[16] Di bawah pimpinan-Nya, semua anggota tubuh yang berlainan itu tersusun rapi, dan seluruh tubuh itu dihubungkan oleh sendi-sendi yang sudah tersedia. Oleh itu, apabila setiap anggota bekerja dengan sepatutnya, seluruh tubuh itu akan membesar dan menjadi kuat, kerana kasih.

[17] Oleh itu, demi nama Tuhan aku memberikan amaran ini: Janganlah kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, yang berfikiran sia-sia.

[18] Mereka tidak dapat memahami apa-apa. Mereka tidak mengenal kehidupan yang diberikan oleh Allah, kerana mereka jahil dan degil.

[19] Mereka tidak mempunyai perasaan malu lagi. Mereka menuruti segala hawa nafsu dan terus-menerus melakukan segala perkara yang tidak senonoh.

[20] Bukan itu yang kamu pelajari tentang Kristus!

[21] Kamu tentu sudah diberitahukan tentang Dia. Sebagai pengikut-Nya kamu telah menerima ajaran benar tentang Yesus.

[22] Oleh itu, buanglah cara hidup yang lama, yang menyebabkan kamu berkelakuan seperti dahulu. Cara hidup itu membinasakan kamu, kerana kamu dikuasai keinginan yang menyesatkan.

[23] Hati dan fikiran kamu haruslah dibaharui seluruhnya.

[24] Hendaklah kamu hidup seperti manusia baru, yang diciptakan menurut rupa Allah. Dengan demikian orang dapat melihat bahawa kamu mengamalkan hidup yang menyenangkan hati Allah dan yang suci.

[25] Oleh itu, kamu tidak boleh berdusta lagi! Kamu harus mengatakan yang benar kepada saudara-saudara seiman, kerana kita semua anggota tubuh Kristus.

[26] Jika kamu marah, janganlah biarkan kemarahan itu menyebabkan kamu berdosa. Janganlah marah sepanjang hari.

[27] Janganlah berikan peluang kepada Iblis.

[28] Orang yang biasa mencuri mesti berhenti mencuri. Mereka harus mula bekerja untuk mencari nafkah dengan jujur sehingga dapat menolong orang miskin.

[29] Janganlah gunakan kata-kata kotor dalam percakapan kamu. Gunakanlah kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan, supaya apa yang kamu katakan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang mendengarnya.

[30] Janganlah sedihkan Roh Allah. Jika kamu memiliki Roh Allah, hal itu menunjukkan bahawa kamu milik Allah. Roh itu jaminan bahawa Hari Pembebasan akan tiba bagi kamu.

[31] Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang. Jangan lagi benci sesiapa pun.

[32] Sebaliknya, hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Allah telah mengampuni kamu melalui Kristus.

Efesus — Chapters