[1] Raja Yosafat menggantikan ayahandanya Raja Asa sebagai raja, dan baginda mengukuhkan kedudukannya untuk melawan Israel.
[2] Raja Yosafat menempatkan tentera di kota-kota berkubu di Yehuda, di kawasan desa Yehuda, dan di kota-kota yang telah direbut oleh Raja Asa di wilayah Efraim.
[3] TUHAN memberkati Raja Yosafat kerana baginda mengikut teladan ayahandanya semasa ayahandanya masih muda; Raja Yosafat tidak menyembah Baal.
[4] Baginda mengabdi kepada Allah ayahandanya, taat kepada perintah Allah, dan tidak hidup seperti raja-raja Israel.
[5] TUHAN menguatkan pemerintahannya di Yehuda, dan semua orang memberikan hadiah kepadanya sehingga baginda menjadi kaya dan sangat dihormati.
[6] Raja Yosafat berbangga kerana mengabdi kepada TUHAN; baginda memusnahkan semua tempat penyembahan berhala dan lambang-lambang Dewi Asyera di Yehuda.
[7] Pada tahun ketiga pemerintahannya, baginda mengutus pegawai-pegawai untuk mengajar di kota-kota Yehuda. Mereka terdiri daripada Benhail, Obaja, Zakharia, Netaneel, dan Mikha.
[8] Mereka diiringi oleh sembilan orang Lewi dan dua orang imam. Orang Lewi itu ialah Semaya, Netanya, Zebaja, Asael, Semiramot, Yonatan, Adonia, Tobia, dan Tob-Adonia; imam-imam itu ialah Elisama dan Yoram.
[9] Mereka membawa kitab Taurat TUHAN, lalu menjelajahi semua kota di Yehuda dan mengajar rakyat di sana.
[10] TUHAN membuat semua kerajaan di sekitar Yehuda takut berperang melawan Raja Yosafat.
[11] Sebilangan orang Filistin memberi Raja Yosafat banyak perak dan hadiah yang lain. Ada pula orang Arab yang memberinya 7,700 ekor domba dan 7,700 ekor kambing.
[12] Demikianlah Raja Yosafat menjadi semakin berkuasa. Di seluruh Yehuda baginda membina kubu-kubu dan kota-kota.
[13] Baginda menyimpan perbekalan yang banyak di kota-kota itu. Di Yerusalem baginda menempatkan pahlawan-pahlawan yang perkasa
[14] menurut puak masing-masing. Adna menjadi panglima utama puak-puak Yehuda, dan dia memimpin 300,000 orang askar.
[15] Panglima kedua ialah Yohanan; dia memimpin 280,000 orang askar.
[16] Panglima ketiga ialah Amasia anak Zikhri; dia memimpin 200,000 orang askar. (Amasia mengabdi kepada TUHAN dengan sukarela.)
[17] Elyada menjadi panglima utama puak-puak Benyamin, dan dia memimpin 200,000 orang askar yang bersenjatakan perisai dan busur.
[18] Panglima kedua ialah Yosabad; dia memimpin 180,000 orang askar yang bersenjata.
[19] Merekalah yang berkhidmat kepada raja di Yerusalem. Selain itu, Raja Yosafat juga menugaskan askar-askar lain di kota-kota berkubu di wilayah Yehuda.