Skip to content
Opens in a new window

[1] Apabila Raja Rehabeam tiba di Yerusalem, baginda mengumpulkan 180,000 orang askar yang terbaik daripada suku Benyamin dan Yehuda. Raja Rehabeam hendak berperang untuk memulihkan kekuasaannya atas suku-suku Israel yang di utara.

[2] Tetapi TUHAN menyuruh Nabi Semaya

[3] menyampaikan firman-Nya kepada Raja Rehabeam dan semua orang suku Yehuda dan Benyamin,

[4] “Jangan serang sesama orang Israel. Pulanglah kamu semua! Apa yang telah berlaku adalah kehendak-Ku.” Mereka semua taat kepada perintah TUHAN dan tidak pergi memerangi Yerobeam.

[5] Raja Rehabeam tinggal di Yerusalem lalu membina kubu bagi kota-kota berikut di Yehuda dan Benyamin:

[6] Betlehem, Etam, Tekoa,

[7] Bet-Zur, Sokho, Adulam,

[8] Gat, Mares, Zif,

[9] Adoraim, Lakhis, Azeka,

[10] Zora, Ayalon, dan Hebron.

[11] Baginda membina kubu-kubu yang kuat dan melantik seorang panglima bagi tiap-tiap kota itu. Baginda melengkapi setiap kota itu dengan persediaan makanan, minyak zaitun dan wain,

[12] serta perisai dan tombak. Dengan cara itu baginda menguasai wilayah Yehuda dan Benyamin.

[13] Dari seluruh kawasan negeri Israel, para imam dan orang Lewi pergi ke selatan, ke negeri Yehuda.

[14] Orang Lewi meninggalkan padang rumput mereka dan tanah yang lain, lalu mereka pindah ke Yehuda dan Yerusalem, kerana Raja Yerobeam yang memerintah Israel dan raja-raja yang menggantikan baginda tidak membenarkan mereka bertugas sebagai imam TUHAN.

[15] Raja Yerobeam melantik imam-imamnya sendiri untuk bertugas di mazbah-mazbah penyembahan berhala dan syaitan, serta patung-patung berupa anak lembu jantan yang dibuatnya.

[16] Daripada semua suku Israel, orang yang benar-benar hendak menyembah TUHAN, Allah Israel, mengikut orang Lewi ke Yerusalem, supaya mereka dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka.

[17] Dengan demikian kerajaan Yehuda dikuatkan. Selama tiga tahun mereka menyokong Raja Rehabeam putera Raja Salomo. Mereka hidup seperti pada zaman dahulu, di bawah pemerintahan Raja Daud dan Raja Salomo.

[18] Raja Rehabeam berkahwin dengan Mahalat. Bapa Mahalat ialah Yerimot, putera Raja Daud. Ibu Mahalat ialah Abihail anak Eliab, dan cucu Isai.

[19] Raja Rehabeam dan Mahalat mempunyai tiga orang putera: Yeus, Semarya, dan Zaham.

[20] Kemudian Raja Rehabeam berkahwin dengan Maakha anak Absalom, dan mendapat empat orang putera: Abia, Atai, Ziza, dan Selomit.

[21] Raja Rehabeam mempunyai 18 orang isteri dan 60 orang gundik. Baginda mempunyai 28 orang putera dan 60 orang puteri. Antara semua isteri dan gundiknya, Maakha yang paling dikasihinya.

[22] Antara semua putera dan puterinya, Abia putera Maakha, yang paling dikasihinya. Raja Rehabeam memilih Abia untuk menggantikan baginda sebagai raja kelak.

[23] Dengan bijaksana Raja Rehabeam memberikan tugas kepada putera-puteranya dan menempatkan mereka di seluruh Yehuda dan Benyamin, di kota-kota yang berkubu. Baginda memberi mereka makanan yang berlimpah-limpah, dan juga mendapatkan banyak isteri untuk mereka.

2 Tawarikh — Chapters