Skip to content
Opens in a new window

[1] Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yerobeam di Israel, Abia menjadi raja di Yehuda.

[2] Raja Abia memerintah di Yerusalem selama tiga tahun. Bonda baginda ialah Mikhaya anak Uriel dari Gibea. Apabila peperangan berlaku antara Raja Abia dan Raja Yerobeam,

[3] Raja Abia mengerahkan tentera sebanyak 400,000 orang, dan Raja Yerobeam melawan baginda dengan tentera sebanyak 800,000 orang.

[4] Kedua-dua pasukan tentera itu berhadapan di perbukitan Efraim. Raja Abia naik ke Gunung Zemaraim lalu berseru kepada Raja Yerobeam dan tentera Israel, “Dengarlah!

[5] Kamu tahu bahawa TUHAN Allah Israel telah membuat satu perjanjian dengan Raja Daud bahawa baginda dan keturunannya akan memerintah Israel selama-lamanya. Perjanjian itu tidak dapat dibatalkan.

[6] Yerobeam anak Nebat telah memberontak terhadap rajanya, Raja Salomo.

[7] Kemudian dia mengumpulkan beberapa orang penjahat dan mengalahkan Raja Rehabeam putera Raja Salomo, yang ketika itu masih terlalu muda dan tidak berpengalaman untuk mempertahankan diri.

[8] Sekarang kamu pun hendak melawan kekuasaan yang diberikan TUHAN kepada keturunan Raja Daud. Kamu mempunyai tentera yang besar dan patung-patung anak lembu jantan daripada emas yang dibuat oleh Yerobeam sebagai dewa-dewa kamu.

[9] Kamu telah mengusir imam-imam TUHAN, iaitu imam-imam keturunan Harun dan kamu juga mengusir orang Lewi. Sebagai ganti mereka, kamu melantik imam menurut kebiasaan bangsa-bangsa lain. Sesiapa yang datang dengan seekor lembu jantan atau dengan tujuh ekor domba, dapat dilantik menjadi imam untuk sesuatu yang bukan Allah.

[10] Tetapi kami masih mengabdi kepada TUHAN, Allah kami. Kami tidak meninggalkan Dia. Imam-imam keturunan Harun melakukan tugas mereka sambil dibantu orang Lewi.

[11] Tiap-tiap pagi dan petang mereka mempersembahkan kemenyan, dan juga binatang sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Mereka mempersembahkan roti sajian di atas meja yang dikhaskan, dan tiap-tiap malam mereka menyalakan pelita-pelita pada kaki pelita emas. Kami melakukan perintah TUHAN, tetapi kamu telah menolak Dia.

[12] Allah sendiri yang menjadi pemimpin kami. Imam-imam-Nya berada di sini dan bersiap meniup trompet sebagai tanda bagi kami untuk menyerang kamu. Hai rakyat Israel, jangan lawan TUHAN, Allah nenek moyang kamu! Kamu tidak mungkin menang!”

[13] Sementara itu, Raja Yerobeam telah mengirim sebahagian daripada tenteranya untuk mengadang tentera Yehuda dari belakang, dan yang lain menghadap mereka dari depan.

[14] Tentera Yehuda melihat di sekeliling mereka dan sedar bahawa mereka telah dikepung. Maka mereka berseru kepada TUHAN meminta pertolongan, dan para imam meniup trompet mereka.

[15] Selepas itu tentera Yehuda berteriak dengan kuat, dan di bawah pimpinan Raja Abia, mereka melancarkan serangan. Allah mengalahkan Raja Yerobeam dan tentera Israel.

[16] Tentera Israel lari daripada tentera Yehuda, dan Allah membiarkan tentera Yehuda mengalahkan mereka.

[17] Mereka dikalahkan dengan teruk oleh Raja Abia dan tenteranya. Setengah juta orang askar Israel yang paling baik telah terbunuh.

[18] Demikianlah orang Yehuda mengalahkan orang Israel, kerana orang Yehuda bergantung kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka.

[19] Raja Abia mengejar pasukan Raja Yerobeam dan menduduki beberapa buah kotanya, iaitu Betel, Yesana, Efron, dan pekan-pekan di sekitar kota-kota itu.

[20] Raja Yerobeam tidak dapat memulihkan kekuasaannya selama pemerintahan Raja Abia. Akhirnya Raja Yerobeam dibunuh oleh TUHAN, lalu baginda mangkat.

[21] Sebaliknya, Raja Abia semakin berkuasa. Baginda mempunyai 14 orang isteri, 22 orang putera dan 16 orang puteri.

[22] Kisah selanjutnya tentang Raja Abia, ucapannya dan perbuatannya, tercatat di dalam kitab Sejarah Nabi Ido.

2 Tawarikh — Chapters