[1] Sekarang aku hendak membincangkan wang yang hendak kamu kumpulkan untuk membantu umat Allah di Yudea. Kamu harus melakukan apa yang aku beritahukan kepada kumpulan-kumpulan jemaah di Galatia.
[2] Pada tiap-tiap hari Ahad, setiap orang daripada kamu haruslah menyimpan sedikit wang sesuai dengan pendapatannya. Simpanlah wang itu sehingga aku datang, supaya pada waktu itu tidak payah lagi mengumpulkannya.
[3] Setelah aku datang, aku akan memberikan surat pengenalan kepada beberapa orang yang kamu setujui. Aku akan mengutus mereka untuk membawa wang derma kamu ke Yerusalem.
[4] Jika ada manfaatnya aku ikut serta, maka aku akan pergi bersama-sama mereka.
[5] Aku akan melawat kamu setelah aku melalui Makedonia, kerana aku bermaksud akan lalu di situ.
[6] Barangkali aku akan tinggal dengan kamu untuk beberapa lama, mungkin sepanjang musim sejuk. Setelah itu kamu boleh membantu aku meneruskan perjalanan ke tempat berikutnya.
[7] Aku tidak mahu melawat kamu untuk masa yang singkat sahaja. Jika diperkenankan Tuhan, aku ingin tinggal agak lama dengan kamu.
[8] Sementara itu aku akan tinggal di sini di Efesus, sehingga hari Pentakosta.
[9] Di sini aku mempunyai banyak peluang untuk melakukan kerja yang bermanfaat, meskipun banyak juga orang yang menentang aku.
[10] Jika Timotius datang, sambutlah dia dengan baik, kerana dia pun seperti aku yang bekerja untuk Tuhan.
[11] Janganlah sesiapa pun memandang rendah kepadanya, tetapi bantulah dia meneruskan perjalanannya untuk kembali kepadaku dengan sejahtera, kerana aku menantikan kedatangannya bersama dengan saudara-saudara yang lain.
[12] Sekarang tentang saudara kita, Apolos. Sudah beberapa kali aku menganjurkan dia melawat kamu bersama dengan saudara-saudara yang lain. Tetapi dia tidak yakin bahawa dia harus pergi sekarang. Jika ada peluang kelak, tentu dia akan datang.
[13] Hendaklah kamu waspada dan teguh dalam hidup kamu sebagai orang Kristian. Hendaklah kamu tabah hati dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan.
[14] Lakukanlah semua kerja kamu dengan kasih.
[15] Tentu kamu mengenal Stefanus dan keluarganya; merekalah yang mula-mula menjadi orang Kristian di negeri Akhaya. Dengan sepenuh hati mereka melayani umat Allah.
[16] Aku menganjurkan kamu supaya menurut pimpinan orang seperti itu dan setiap orang yang bekerjasama, dan melayani jemaah dengan mereka.
[17] Aku bergembira dengan kedatangan Stefanus, Fortunatus, dan Akhaikus. Ketibaan mereka itu seolah-olah ketibaan kamu sendiri, kerana aku rindu akan kamu.
[18] Mereka sungguh menggembirakan aku sebagaimana mereka sudah menggembirakan kamu. Orang seperti itu harus dihargai.
[19] Kumpulan-kumpulan jemaah di Asia menyampaikan salam mereka kepada kamu. Akwila dan Priska serta jemaah yang berkumpul di rumah mereka pun mengirim salam Kristian yang mesra.
[20] Semua saudara di sini menyampaikan salam mereka. Bersalam-salamanlah dengan mesra sebagai saudara-saudara Kristian.
[21] Aku sendiri yang menulis salam ini: Salam daripada Paulus.
[22] Terkutuklah orang yang tidak mengasihi Tuhan! Maranatha - Ya Tuhan kami, datanglah!
[23] Semoga Tuhan Yesus memberkati kamu.
[24] Kasihku menyertai kamu semua yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus.