[1] Surat ini daripada Paulus yang dengan kehendak Allah sudah dilantik menjadi rasul Kristus Yesus, dan juga daripada saudara kita Sostenes.
[2] Surat ini ditujukan kepada jemaah di Korintus, iaitu semua orang yang sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi umat-Nya kerana hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Surat ini juga ditujukan kepada semua orang di mana sahaja yang menyembah Tuhan kita Yesus Kristus, iaitu Tuhan mereka dan Tuhan kita juga.
[3] Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
[4] Aku sentiasa bersyukur kepada Allahku bagi kamu, kerana berkat yang sudah dikurniakan-Nya kepada kamu melalui Kristus Yesus.
[5] Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu menjadi kaya dalam segala hal. Pengetahuan kamu tentang segala sesuatu sangat dalam dan kamu pandai memberitakannya.
[6] Perkhabaran tentang Kristus sudah meresap ke dalam jiwa kamu,
[7] sehingga kamu tidak kekurangan satu berkat pun, sementara kamu menantikan Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali.
[8] Kristus sendiri akan meneguhkan kamu sampai pada akhirnya, supaya pada hari Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali, kamu didapati tidak bercela.
[9] Allah dapat dipercayai. Dialah Allah yang sudah memanggil kamu supaya menjadi satu dengan Anak-Nya, Yesus Kristus, Tuhan kita.
[10] Saudara-saudaraku! Dengan kekuasaan Tuhan kita Yesus Kristus, aku menggesa kamu semua supaya seia sekata sehingga tidak ada perpecahan di kalangan kamu. Hendaklah kamu bersatu, sehati dan sejiwa.
[11] Aku berkata demikian, kerana beberapa orang daripada keluarga Kloe memberitahu aku bahawa pertengkaran berlaku di kalangan kamu.
[12] Inilah yang aku maksudkan: Kamu semua mengatakan hal-hal yang berlainan. Ada yang berkata, “Aku mengikut Paulus”; ada juga yang berkata, “Aku mengikut Apolos”; ada pula yang berkata, “Aku mengikut Petrus”; dan yang lain pula berkata, “Aku mengikut Kristus.”
[13] Adakah Kristus terbahagi? Paulus tidak mati pada kayu salib untuk kamu! Kamu pun tidak dibaptis untuk menjadi pengikut Paulus!
[14] Aku bersyukur kepada Allah kerana aku tidak membaptis sesiapa pun di kalangan kamu, kecuali Krispus dan Gayus.
[15] Dengan demikian tidak seorang pun dapat berkata bahawa kamu dibaptis untuk menjadi pengikutku. (
[16] Oh ya, aku juga membaptis Stefanus dan keluarganya. Tetapi selain daripada mereka, seingatku aku tidak membaptis orang lain.)
[17] Kristus mengutus aku bukan untuk membaptis orang, tetapi untuk mengisytiharkan Berita Baik. Aku mengisytiharkannya tanpa menggunakan kata-kata yang berdasarkan kebijaksanaan manusia, supaya kuasa daripada kematian Kristus pada kayu salib tidak sia-sia.
[18] Bagi orang yang menuju kebinasaan, berita tentang kematian Kristus pada kayu salib itu tidak bererti apa-apa. Tetapi bagi kita yang diselamatkan oleh Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan Allah.
[19] Di dalam Alkitab tertulis, “Allah berfirman, ‘Kebijaksanaan orang bijak akan Aku musnahkan, dan pengertian orang berilmu akan Aku lenyapkan.’ ”
[20] Oleh itu, apakah gunanya orang bijak? Apakah gunanya ahli Taurat? Apakah gunanya orang berilmu? Allah sudah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia ini kebodohan belaka!
[21] Kerana Allah bijaksana, Dia menentukan supaya manusia tidak dapat mengenal-Nya melalui kebijaksanaan mereka sendiri. Sebaliknya Allah menetapkan bahawa Dia menyelamatkan orang yang percaya kepada-Nya melalui perkhabaran kami yang dianggap suatu kebodohan.
[22] Orang Yahudi menuntut mukjizat sebagai bukti dan orang Yunani mementingkan kebijaksanaan.
[23] Tetapi kami mengisytiharkan Kristus yang disalibkan. Berita itu menyinggung perasaan orang Yahudi, dan dianggap suatu kebodohan oleh orang bukan Yahudi.
[24] Tetapi bagi mereka yang sudah dipanggil oleh Allah, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, berita itu Kristus, yang menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah.
[25] Hal itu demikian kerana apa yang nampaknya seperti kebodohan Allah, sebenarnya lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia; apa yang nampaknya seperti kelemahan Allah, sebenarnya lebih kuat daripada kekuatan manusia.
[26] Saudara-saudaraku! Ingatlah akan keadaan kamu semasa Allah memanggil kamu. Menurut pandangan manusia hanya sedikit antara kamu yang bijak, atau berkuasa ataupun berkedudukan tinggi.
[27] Allah sengaja memilih orang yang dianggap bodoh oleh dunia ini, untuk mempermalukan orang yang bijak. Allah juga memilih orang yang dianggap lemah oleh dunia ini untuk mempermalukan orang yang berkuasa.
[28] Allah memilih orang yang dianggap rendah, hina dan tidak berguna oleh dunia ini, untuk menghancurkan orang yang dianggap penting oleh dunia ini.
[29] Hal ini bererti tidak seorang pun dapat memegahkan diri di hadapan Allah.
[30] Tetapi Allah sudah menjadikan kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Melalui Kristus, Allah menjadikan kita bijak. Melalui Kristus juga Allah memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, menjadikan kita umat-Nya yang khas dan membebaskan kita.
[31] Oleh itu, seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Sesiapa mahu berbangga, dia harus berbangga dengan apa yang sudah dilakukan oleh Tuhan.”