Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 7:17

[1] Saudara-saudaraku, ingatlah akan peristiwa yang berlaku kepada nenek moyang kita yang mengikut Musa. Mereka semua dilindungi oleh tiang awan, dan mereka menyeberangi Laut Merah dengan selamat.

[2] Untuk menjadi pengikut Musa, mereka dibaptis di dalam awan dan di dalam laut itu.

[3] Mereka semua makan makanan rohani yang sama,

[4] dan minum minuman rohani yang sama. Mereka semua minum dari batu rohani yang menyertai mereka; batu itu Kristus sendiri.

[5] Meskipun demikian, Allah tidak berkenan kepada kebanyakan daripada mereka. Itulah sebabnya mayat mereka berselerakan di padang gurun.

[6] Semua perkara itu menjadi contoh bagi kita untuk mengingatkan kita supaya tidak menginginkan perkara yang jahat, seperti yang dilakukan oleh mereka dahulu;

[7] juga supaya kita tidak menyembah berhala seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Di dalam Alkitab tertulis, “Umat itu mula makan minum dan menari untuk menyembah berhala.”

[8] Janganlah kita lakukan hal-hal cabul seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Dalam sehari dua puluh tiga ribu orang mati akibat perbuatan itu.

[9] Janganlah kita cubai Tuhan seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka mati dipatuk ular berbisa.

[10] Janganlah kita bersungut-sungut seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka dibunuh oleh Malaikat Maut.

[11] Semua perkara itu berlaku kepada mereka untuk menjadi contoh bagi orang lain. Semua itu ditulis untuk menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman.

[12] Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh.

[13] Tiap-tiap cubaan yang kamu alami itu cubaan yang biasa dialami orang. Tetapi Allah setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya.

[14] Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, jauhkanlah diri daripada penyembahan berhala.

[15] Aku berkata-kata kepada kamu seperti kepada orang yang bijaksana. Pertimbangkanlah sendiri kata-kataku ini.

[16] Semasa Perjamuan Tuhan, kita minum wain dengan mengucap syukur kepada Allah. Hal ini menunjukkan bahawa kita bersatu dengan Kristus dalam kematian-Nya. Semasa roti dibahagi-bahagikan untuk dimakan bersama-sama, hal ini menunjukkan bahawa kita bersatu dalam tubuh Kristus.

[17] Kita yang banyak ini satu tubuh, kerana hanya ada satu roti dan kita semua makan daripada roti yang satu itu juga.

[18] Perhatikanlah orang Yahudi: Mereka yang makan makanan yang dipersembahkan di atas mazbah, sama-sama beribadat kepada Allah.

[19] Adakah aku memaksudkan bahawa berhala ataupun makanan yang dipersembahkan kepada berhala itu tidak mempunyai erti sama sekali?

[20] Tidak! Apa yang dipersembahkan di atas mazbah berhala, tidak dipersembahkan kepada Allah melainkan kepada roh-roh jahat. Aku tidak mahu kamu menjadi satu dengan roh-roh jahat.

[21] Kamu tidak boleh minum daripada cawan Tuhan, lalu minum pula daripada cawan roh jahat. Kamu tidak boleh makan di meja Tuhan, kemudian makan pula di meja roh jahat.

[22] Jika kita cuba melakukannya maka kita akan menyebabkan Tuhan cemburu, dan kita tahu bahawa Dia lebih kuat daripada kita.

[23] Orang berkata, “Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu.” Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah. “Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu” - tetapi tidak semua perkara yang kita lakukan membina kehidupan kita.

[24] Janganlah seorang pun lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi lakukanlah sesuatu untuk kepentingan orang lain.

[25] Kamu boleh makan apa sahaja yang dijual di pasar daging. Janganlah bertanya apa-apa, supaya tidak mengganggu hati nurani kamu.

[26] Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Bumi ini dan segala isinya milik Tuhan.”

[27] Jika kamu dijemput makan oleh seorang yang bukan Kristian, dan kamu menerima jemputan itu, maka makanlah makanan yang dihidangkan. Janganlah bertanya apa-apa, supaya tidak mengganggu hati nurani kamu.

[28] Tetapi jika seseorang berkata kepada kamu, “Makanan ini sudah dipersembahkan kepada berhala,” janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu dan demi hati nurani. (

[29] Maksudku bukan hati nurani kamu, tetapi hati nurani orang itu.) Mungkin orang bertanya, “Mengapa kebebasanku harus dibatasi oleh hati nurani orang lain?

[30] Jika aku bersyukur kepada Allah bagi makananku, mengapa orang harus mencela aku, padahal aku sudah bersyukur kepada Allah bagi makanan itu?”

[31] Apa sahaja yang kamu lakukan, sama ada makan ataupun minum, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Allah.

[32] Jagalah tingkah laku kamu agar kamu tidak menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, ataupun jemaah Allah.

[33] Ikutlah teladanku. Aku berusaha menyenangkan hati semua orang dalam segala sesuatu yang aku lakukan. Aku tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri, tetapi kepentingan orang lain, supaya mereka boleh diselamatkan.

1 Korintus — Chapters