[1] Oleh itu, kamu tidak boleh berdalih, hai manusia walau siapa pun kamu, apabila kamu menghakimi orang. Pada waktu kamu hakimi orang lain, kamu juga menjatuhkan hukuman kepada dirimu sendiri; kerana kamu yang menghakimi juga melakukan perkara yang sama.
[2] Tetapi kita tahu bahawa hukuman Allah berdasarkan kebenaran dan dijatuhkan ke atas mereka yang mengamalkan perkara demikian.
[3] Wahai manusia, apabila kamu menghakimi orang yang mengamalkan perkara demikian sedangkan kamu sendiri melakukannya juga, adakah kamu sangka kamu akan terlepas daripada hukuman Allah?
[4] Atau adakah kamu memperkecil kebaikan, kemurahan serta kesabaran Allah yang amat besar, dan tidak tahu bahawa kebaikan Allah membawamu ke pintu taubat?
[5] Dengan hati batumu yang tidak bertaubat, kamu mengumpul musibah kemurkaan Allah yang akan menimpamu pada hari kemurkaan dan ternyatanya hukuman Allah yang adil.
[6] Allah akan "membalas kepada setiap orang setimpal dengan perbuatannya."
[7] Bagi mereka yang terus berbuat baik dengan sabar demi mendapatkan kemuliaan, kehormatan dan keabadian, Dia akan memberikan hidup yang kekal;
[8] manakala bagi mereka yang mementingkan diri dan tidak taat akan kebenaran tetapi menjunjung kedurjanaan, maka kemarahan dan kemurkaan Allah akan menimpa mereka.
[9] Kesusahan dan kesengsaraan akan menimpa diri setiap orang yang melakukan kedurjanaan: mula-mula kepada orang Yahudi, kemudian kepada orang Yunani;
[10] tetapi kemuliaan, kehormatan dan kesejahteraan akan dicurahkan kepada setiap orang yang berbuat baik: mula-mula orang Yahudi, kemudian orang Yunani juga.
[11] Allah tidak menghakimi berat sebelah.
[12] Sekalian yang telah melakukan dosa tanpa mengenal hukum Taurat akan binasa tanpa hukum Taurat. Sekalian yang melakukan dosa sedangkan mereka mengenal hukum Taurat akan dihakimi menurut hukum Taurat.
[13] Sebabnya orang yang benar di mata Allah bukanlah mereka yang mendengar hukum Taurat, tetapi mereka yang mengamalkan ajarannya.
[14] Apabila orang bukan orang Israel, yang tidak mempunyai hukum Taurat, secara tabii melakukan perkara-perkara yang terkandung dalam hukum Taurat, maka mereka ini adalah hukum bagi diri mereka sendiri.
[15] Hukum itu tersurat dalam hati mereka dan hati nurani mereka juga naik saksi. Fikiran mereka menuduh atau membela mereka,
[16] pada hari Allah menghakimi segala rahsia manusia melalui Kristus Yesus, menurut Injil yang kuberitakan.
[17] Kamu memanggil dirimu orang Yahudi, dan bergantung kepada hukum Taurat serta berbangga kerana hubunganmu dengan Allah.
[18] Kamu mengetahui kehendak-Nya, dan menyokong segala yang baik, kerana kamu telah diajarkan hukum Taurat.
[19] Kamu yakin bahawa kamulah yang memimpin orang buta, yang menerangi orang dalam kegelapan,
[20] yang mengajar orang bodoh, yang mengasuh anak kecil, kerana kamu mempunyai garis-garis ilmu dan kebenaran dalam hukum Taurat.
[21] Dengan demikian, kamu yang mengajar orang lain, tidakkah kamu mengajar diri sendiri? Kamu yang berkhutbah melarang orang mencuri, adakah kamu sendiri mencuri?
[22] Kamu yang berkata, "Jangan berzina," adakah kamu melakukan zina? Kamu yang membenci berhala, adakah kamu merompak tempat ibadat?
[23] Kamu yang berbangga dengan hukum Taurat, adakah kamu menghina Allah dengan melanggar hukum itu?
[24] "Nama Allah dikufuri dalam kalangan bangsa asing akibat perbuatanmu" – demikianlah yang telah tersurat.
[25] Persunatan memang bermanfaat jika kamu taat akan hukum Taurat; tetapi sekiranya kamu melanggar hukum Taurat, batallah persunatan itu.
[26] Oleh yang demikian, jika seorang yang tidak bersunat mengamalkan perkara-perkara yang baik dalam hukum Taurat, tidakkah dia dikira sebagai telah bersunat?
[27] Jika orang tidak bersunat mematuhi hukum Taurat, tidakkah dia menghakimi kamu kerana walaupun kamu mempunyai hukum bertulis dan persunatan namun kamu melanggar hukum itu?
[28] Seseorang dikira Yahudi bukanlah berasaskan keadaan lahiriah; dan persunatan bukanlah bergantung pada keadaan jasmani.
[29] Seseorang dikira orang Yahudi berasaskan keadaan batiniah; dan persunatan adalah dalam hati dan bersifat rohani bukan mengikut hukum yang tersurat dalam Taurat. Orang sedemikian mendapat pujian bukan daripada manusia tetapi daripada Allah.