Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:43

[1] Saudara-saudaraku, hasrat hatiku dan doaku kepada Allah tentang orang Israel ialah semoga mereka akan diselamatkan.

[2] Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka bersungguh-sungguh dalam ibadat kepada Allah, tetapi kesungguhan mereka tidak berasaskan pengetahuan yang benar.

[3] Oleh sebab mereka tidak mengetahui perbenaran yang datang daripada Allah dan mereka berusaha menegakkan perbenaran mereka sendiri, maka mereka tidak tunduk kepada perbenaran Allah.

[4] Kristus ialah titik tamat hukum supaya perbenaran didapati oleh setiap orang yang beriman.

[5] Musa telah menulis tentang perbenaran berasaskan hukum Taurat, "Sesiapa yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya."

[6] Tetapi perbenaran berasaskan iman berkata demikian, "Jangan bertanya dalam hatimu, 'Siapa yang akan naik ke syurga?' (untuk membawa Kristus turun)

[7] atau, 'Siapa yang akan turun ke alam kubur?' (untuk membawa Kristus naik daripada kematian)."

[8] Apakah yang dikatakan? "Firman itu begitu dekat denganmu, di mulutmu dan dalam hatimu (iaitu firman tentang iman yang kami isytiharkan):

[9] Jika kamu akui dengan mulutmu bahawa Yesus ialah Tuhan dan percaya dalam hatimu bahawa Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian, kamu akan diselamatkan;

[10] kerana dengan hatimu kamu beriman dan diperbenar, dan dengan mulutmu kamu mengaku lalu diselamatkan."

[11] Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, "Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan."

[12] Kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani, kerana Tuhan yang sama berkuasa atas semuanya dan melimpahkan berkat ke atas semua yang menyeru kepada-Nya.

[13] Kerana "Sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan."

[14] Jadi, bagaimana mereka dapat menyeru kepada-Nya sedangkan mereka tidak beriman kepada-Nya? Dan bagaimana mereka dapat beriman kepada-Nya sedangkan mereka tidak pernah mendengar tentang-Nya? Dan bagaimana mereka dapat mendengar sedangkan tiada sesiapa pun yang mengkhabarkan tentang-Nya?

[15] Dan bagaimana orang dapat mengajar kecuali dihantar? Sebagaimana tersurat dalam kitab suci, "Alangkah indahnya kaki mereka yang membawa berita baik!"

[16] Akan tetapi, tidak semua yang mahu menerima berita Injil itu. Sebagaimana kata Yesaya, "Tuhan, siapa yang percaya akan perkhabaran yang kami sampaikan?"

[17] Oleh itu, iman datang daripada mendengar perkhabaran itu, dan perkhabaran itu didengar melalui sabda Kristus.

[18] Tetapi aku bertanya, "Tidakkah mereka mendengar?" Tentu sekali: "Suara mereka telah tersebar ke serata bumi, dan kata-kata mereka telah sampai ke hujung dunia."

[19] Sekali lagi aku bertanya, "Tidakkah orang Israel mengerti?" Pertama, Musa berkata: 'Aku akan membuatmu iri hati dengan orang yang bukan satu bangsa; Aku akan membuatmu marah dengan satu bangsa yang tidak mengerti.'

[20] Kemudian Yesaya lantang berkata, 'Aku telah ditemui oleh mereka yang tidak mencari-Ku; Aku menyatakan diri-Ku kepada orang yang tidak memohon kehadiran-Ku.' "

[21] Tetapi kepada orang Israel dia berkata, 'Sepanjang hari telah Kuhulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang ingkar dan keras kepala.'

Roma — Chapters