[1] Oleh itu, saudara-saudaraku, aku menyeru kepadamu, demi belas kasihan Allah, supaya mempersembahkan tubuh badanmu sebagai korban yang hidup, yang suci dan diterima oleh Allah; itulah ibadat yang wajar.
[2] Janganlah ikut cara dunia, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu. Dengan demikian, kamu dapat memastikan apa kehendak Allah itu, apa yang baik, yang diredai-Nya dan yang sempurna.
[3] Aku berkata kepada setiap orang daripadamu, melalui kasih kurnia yang diberikan kepadaku: Janganlah nilai dirimu lebih tinggi daripada sepatutnya, sebaliknya nilailah dirimu sewajarnya, selaras dengan kadar iman yang telah diberikan Allah kepada setiap orang.
[4] Sebagaimana tubuh manusia terdiri daripada beberapa anggota yang berbagai-bagai tugasnya dan bukan semua anggota itu mempunyai tugas yang sama,
[5] begitu jugalah kita yang ramai ini, semuanya anggota satu tubuh dalam Kristus, dan saling memiliki.
[6] Kita mempunyai kurnia yang berlainan menurut kasih kurnia yang diberikan kepada kita. Sekiranya kita dianugerahi kurnia untuk bernubuat, maka bernubuatlah menurut kadar iman kita;
[7] kalau untuk melayani, gunakanlah dalam pelayanan kita; jika untuk mengajar, gunakanlah dalam pengajaran.
[8] Orang yang dianugerahi kurnia untuk menasihati, hendaklah dia menggunakannya dalam memberikan nasihat; kalau untuk memberi, lakukanlah dengan murah hati; kiranya untuk memimpin, berilah pimpinan dengan bersungguh-sungguh; dan jika untuk menunjukkan belas kasihan, lakukanlah dengan sukacita.
[9] Kasih hendaklah bersih daripada pura-pura. Bencilah kejahatan. Berpeganglah kepada kebaikan.
[10] Hendaklah kamu bersikap baik dan mengasihi sesama sendiri dengan kasih persaudaraan, serta saling menghormati dan mengutamakan;
[11] jangan biarkan kerajinanmu berkurangan; hendaklah semangat rohanimu tetap berkobar-kobar; sentiasa abdikan diri kepada Tuhan.
[12] Bergembiralah dalam harapan, tabah menghadapi kesusahan, dan terus-menerus berdoa.
[13] Berilah bantuan untuk memenuhi keperluan orang salih, dan berikan tempat menumpang.
[14] Pohonlah berkat bagi orang yang menganiaya kamu, dan jangan kutuk mereka.
[15] Bergembiralah dengan orang yang bergembira, dan menangislah dengan orang yang menangis.
[16] Bersatu hatilah sesama kamu. Jangan tinggi hati, sebaliknya bergaullah dengan golongan yang sederhana. Jangan anggap dirimu bijaksana.
[17] Jangan balas kejahatan dengan kejahatan. Perhatikan apa yang baik di mata semua orang.
[18] Setakat yang mungkin, jika dalam keupayaanmu, hiduplah dalam damai dengan semua manusia.
[19] Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah berusaha membalas dendam, serahkanlah kepada kemurkaan Allah, kerana telah tersurat: "Pembalasan adalah hak-Ku. Akulah yang akan membalas," demikian firman Tuhan.
[20] Oleh itu, "Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, beri dia minum; Kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya."
[21] Jangan ditewaskan oleh kejahatan, tetapi tewaskanlah kejahatan dengan kebaikan.