[1] Lalu aku melihat semula segala bentuk penindasan yang dilakukan di bawah matahari. Inilah yang aku lihat: Air mata orang yang tertindas dan tiada sesiapa pun yang menyenangkan hati mereka; kuasa ada pada pihak penindas walhal mereka yang tertindas tiada sesiapa yang menyenangkan hati mereka.
[2] Maka aku menganggap orang yang sudah mati lebih berbahagia daripada orang yang masih hidup sehingga kini.
[3] Tetapi lebih berbahagia daripada kedua-duanya itu ialah orang yang belum ada, yang belum melihat perbuatan segala kejahatan yang dilakukan di bawah matahari.
[4] Dan aku melihat segala usaha jerih payah dan segala kemahiran dalam pekerjaan itu berpunca daripada iri hati seseorang terhadap jirannya. Maka itu jua kesia-siaan dan usaha menjaring angin.
[5] Si bodoh berpeluk tangannya dan memakan dagingnya sendiri.
[6] Segenggam penuh ketenangan lebih baik daripada dua genggam penuh jerih lelah dan usaha menjaring angin.
[7] Sekali lagi aku melihat kesia-siaan di bawah matahari:
[8] Ada seorang yang hidup bersendirian, yang tiada anak lelaki atau saudara lelaki. Biarpun dia tidak henti-henti berusaha dengan jerih lelah, namun matanya tetap tidak puas dengan kekayaan; lalu bertanyalah dia: "Untuk siapakah aku berjerih lelah dan menolak kesenangan ini? Itu pun kesia-siaan dan perkara yang teruk.
[9] Berdua lebih baik daripada bersendiri kerana mereka menerima upah yang baik atas penat lelah mereka.
[10] Seandainya ada antara mereka yang jatuh, yang seorang lagi akan mengangkat temannya, tetapi malangnya orang yang jatuh dan tiada sesiapa untuk mengangkatnya!
[11] Juga apabila orang tidur berdua, mereka akan terasa panas, tetapi bagaimana yang tidur bersendirian dapat berasa panas?
[12] Dan orang yang bersendirian dapat ditewaskan, dua orang dapat bertahan. Tiga utas tali yang dipintal memang tidak mudah diputuskan.
[13] Lebih baik si pemuda miskin yang bijaksana berbanding dengan seorang raja tua yang bodoh, yang sudah tidak mahu menerima nasihat.
[14] Sebabnya si pemuda keluar dari penjara untuk menjadi raja meskipun dia dilahirkan miskin dalam kerajaan itu.
[15] Aku melihat semua orang yang hidup di bawah matahari berjalan mengiringi si pemuda yang kelak memerintah sebagai pengganti raja tua itu.
[16] Lalu tidak habis-habis rakyat yang kesemuanya dipimpinnya, namun orang yang sebelumnya dan yang datang kemudian, tidak menyukai dia. Maka, ini pun kesia-siaan dan usaha menjaring angin.