[1] Bagi segala sesuatu ada musimnya, dan bagi sesuatu apa pun di bawah kolong langit ada waktunya.
[2] Ada waktu untuk dilahirkan, ada waktu untuk mati, ada waktu untuk menanam, ada waktu untuk mencabut apa yang ditanam;
[3] ada waktu untuk membunuh, ada waktu untuk menyembuhkan; ada waktu untuk merobohkan, ada waktu untuk membina;
[4] ada waktu untuk menangis, ada waktu untuk ketawa; ada waktu untuk meratap; ada waktu untuk menari;
[5] ada waktu untuk melempar batu, ada waktu untuk mengumpulkan batu; ada waktu untuk memeluk, ada waktu untuk menahan diri;
[6] ada waktu untuk mencari, ada waktu untuk membiarkan hilang; ada waktu untuk menyimpan, ada waktu untuk membuang;
[7] ada waktu untuk mengoyak, ada waktu untuk menjahit; ada waktu untuk berdiam diri, ada waktu untuk bercakap;
[8] ada waktu untuk mengasihi, ada waktu untuk membenci; ada waktu untuk berperang, ada waktu untuk berdamai.
[9] Apakah keuntungan yang diperoleh seorang pekerja daripada jerih payahnya?
[10] Aku telah melihat pekerjaan berat yang diberikan Allah kepada anak-anak manusia untuk diusahakan.
[11] Dia menjadikan segala sesuatu indah pada waktunya, malah Dia meletakkan keabadian dalam hati mereka. Namun begitu, manusia tidak dapat menyelami pekerjaan yang dilakukan Allah dari awal hingga akhir.
[12] Aku tahu bahawa tiada yang lebih baik bagi manusia daripada bersukacita dan berbuat baik dalam kehidupan mereka.
[13] Juga, hakikat bahawa setiap orang dapat makan, minum dan menikmati kesenangan dalam segala usahanya dengan berjerih payah. Itu pun pemberian Allah.
[14] Aku tahu bahawa segala-gala yang dilakukan Allah tetap ada buat selama-lamanya; tiada yang dapat ditambah ataupun dikurangkan; Allah berbuat demikian demi memastikan manusia takut kepada-Nya.
[15] Yang sekarang ada dahulu sudah ada, dan yang akan ada sudah lama ada; dan Allah mencari yang sudah lalu.
[16] Kulihat juga bahawa di bawah matahari: di tempat pengadilan pun ada kejahatan, dan di tempat kebenaran pun ada kefasiqan.
[17] Berkatalah aku dalam hati bahawa Allah akan mengadili orang yang benar dan orang yang fasiq, kerana segala hal dan segala pekerjaan ada waktunya.
[18] Berkata aku lagi dalam hati tentang anak-anak manusia, bahawa Allah memang menguji mereka agar mereka sedar betapa mereka sekadar seperti haiwan.
[19] Nasib anak-anak manusia memang sama dengan nasib haiwan dan peristiwa yang sama menimpa kedua-duanya. Sebagaimana yang satu mati, begitu jua halnya dengan yang lagi satu. Kedua-duanya sama-sama bernafas maka tiada kelebihan manusia berbanding dengan haiwan kerana segala-galanya hanya kesia-siaan.
[20] Kedua-duanya menuju tempat yang sama; kedua-duanya berasal daripada debu dan kedua-duanya kelak kembali menjadi debu.
[21] Siapakah yang mengetahui sama ada roh manusia naik ke atas dan roh haiwan turun ke dalam bumi?
[22] Maka kulihat bahawa tiada yang lebih baik bagi manusia selain bergembira menjalankan usahanya kerana itu bahagian untuknya. Siapakah yang akan memperlihatkan kepadanya apa yang bakal terjadi sesudah dia tiada lagi?