[1] Sekiranya salah seorang antara kamu bertikai dengan yang lain, wajarkah dia bawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah dan bukan kepada orang salih?
[2] Tidakkah kamu tahu bahawa orang salih akan mengadili dunia ini? Jika kamu mengadili dunia ini, tidak sanggupkah kamu mengadili perkara yang kecil?
[3] Tidakkah kamu tahu bahawa kita akan mengadili para malaikat? Apatah lagi hal ehwal hidup sehari-hari?
[4] Adakah kamu akan membawa perkara begitu ke hadapan orang yang langsung tidak ada kedudukan dalam kalangan jemaah?
[5] Alangkah memalukan! Tentu ada seorang daripada kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan pertikaian antara saudara seiman.
[6] Tetapi tidak, seorang saudara tergamak mendakwa saudara yang lain, justeru di hadapan orang yang tidak percaya!
[7] Dengan adanya pendakwaan sesama kamu, jelaslah bahawa kamu sudah ditewaskan. Daripada yang demikian, bukankah lebih baik kamu dipersalah? Bukankah lebih baik kamu dirugikan.
[8] Sebaliknya kamu sendiri yang bersalah dan merugikan saudara seimanmu sendiri!
[9] Kamu tentu tahu bahawa orang durjana tidak akan mewarisi kerajaan Allah. Janganlah menipu diri. Orang yang berkelakuan cabul, menyembah berhala, berzina, bersetubuh dengan sesama jantina,
[10] mencuri, bersikap tamak, sering mabuk, mengumpat atau merompak – semuanya tidak akan mewarisi kerajaan Allah.
[11] Begitulah kelakuan sebilangan daripadamu dahulu. Tetapi kamu telah dibersihkan, dikuduskan dan diperbenar dengan nama Tuhan Yesus Kristus dan dengan Roh Allah kita.
[12] Segala-galanya halal bagiku, tetapi bukan segala-galanya berfaedah. Segala-galanya halal bagiku, tetapi aku tidak membiarkan sesuatu pun memperhambakan diriku.
[13] Makanan untuk perut dan perut untuk makanan. Ya, tetapi Allah akan menghapuskan kedua-duanya. Tubuh kita bukan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk Tuhan, dan Tuhan untuk tubuh kita.
[14] Allah telah membangkitkan Tuhan daripada kematian. Begitu jugalah Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya.
[15] Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu sebahagian tubuh Kristus; maka wajarkah kamu menjadikannya sebahagian tubuh seorang pelacur? Tidak sekali-kali!
[16] Atau tidakkah kamu tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur itu menjadi satu jasad dengan pelacur itu? Dalam kitab suci jelas tersurat, "Mereka berdua menjadi satu."
[17] Apabila seseorang menyatukan diri dengan Tuhan, rohnya akan menjadi satu dengan Roh Tuhan.
[18] Jauhilah perbuatan cabul. Dosa lain tidak dilakukan terhadap tubuh sendiri; tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul berdosa terhadap tubuhnya sendiri.
[19] Kamu tentu tahu bahawa tubuhmu itu tempat kediaman Roh Kudus yang telah dikurniakan Allah kepadamu. Tubuhmu bukanlah milikmu, tetapi milik Allah.
[20] Allah telah membelimu dengan harga yang sudah dibayar sepenuhnya. Oleh itu, gunakanlah tubuhmu untuk memuliakan Allah.