Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:29

[1] Sekarang aku menyentuh tentang pengumpulan bantuan bagi orang salih. Lakukanlah sebagaimana yang telah kutentukan bagi semua jemaah di Galatia.

[2] Pada hari pertama setiap minggu, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasingkan wang menurut kemampuan masing-masing dan menyimpannya. Janganlah setelah aku datang baru kamu mula mengumpulnya.

[3] Setelah aku tiba, aku akan menghantar sesiapa yang kamu anggap sesuai untuk membawa pemberianmu itu bersama surat ke Yerusalem.

[4] Sekiranya aku perlu pergi juga, mereka akan pergi bersamaku.

[5] Aku akan datang ke tempatmu selepas Makedonia kerana aku akan datang melalui Makedonia.

[6] Mungkin aku akan tinggal beberapa waktu denganmu, malah mungkin sepanjang musim dingin; kemudian kamu boleh menolongku meneruskan perjalanan.

[7] Kali ini aku tidak mahu singgah sahaja; aku berharap akan dapat tinggal agak lama denganmu jika diizinkan Tuhan.

[8] Namun demikian, aku akan tetap berada di Efesus sampai hari Pentakosta,

[9] kerana pintu untuk melakukan pekerjaan besar telah terbuka luas bagiku walaupun ramai orang yang menentang.

[10] Jika Timotius datang ke tempatmu, jangan biarkan dia berasa takut tinggal dalam kalanganmu, kerana dia juga melakukan pekerjaan untuk Tuhan, sama sepertiku.

[11] Oleh itu, jangan sesiapa memandang ringan kepadanya. Setiap orang hendaklah menolongnya, supaya dia dapat meneruskan perjalanan dengan sejahtera dan datang menemuiku, kerana aku dan beberapa orang saudara lain menunggu kedatangannya.

[12] Tentang saudara kita Apolos, aku telah mendesaknya mengunjungimu bersama saudara-saudara yang lain, tetapi dia enggan pergi sekarang ini. Jika ada kesempatan, dia akan datang juga.

[13] Berhati-hatilah, berdiri teguh dalam iman, sentiasa berani dan gigih.

[14] Lakukan segala-galanya dalam kasih.

[15] Saudara-saudaraku, ada satu permintaanku kepadamu. Kamu sedia maklum bahawa Stefanus sekeluarga merupakan hasil pertama pelayananku di Akhaya, dan mereka telah bertekad untuk mengabdikan diri kepada orang salih.

[16] Aku meminta supaya kamu tunduk kepada orang yang demikian, dan kepada semua yang turut berusaha dengan kami.

[17] Aku gembira bahawa Stefanus, Fortunatus dan Akhaikus telah datang, kerana apa-apa kekuranganku telah dilengkapkan oleh mereka.

[18] Mereka telah menyenangkan hatiku dan hatimu. Oleh itu, hargailah orang yang demikian.

[19] Jemaah-jemaah di Asia berkirim salam kepadamu. Akwila dan Priskila, serta jemaah di rumah mereka, berkirim salam mesra kepadamu dalam Tuhan.

[20] Semua saudara seiman juga berkirim salam kepadamu. Bersalamanlah dengan ciuman suci.

[21] Aku juga menyampaikan salam yang kutulis dengan tanganku sendiri – Paulus.

[22] Jika ada yang tidak mengasihi Tuhan, terkutuklah dia. Ya Tuhan, datanglah segera!

[23] Kasih kurnia Tuhan Yesus Kristus menyertaimu.

[24] Kasihku menyertai kamu semua dalam Kristus Yesus. Amin.

1 Korintus — Chapters