[1] Usahakanlah memperoleh kasih dan cubalah sungguh-sungguh untuk mendapatkan kurnia-kurnia rohani, terutamanya kurnia untuk bernubuat.
[2] Apabila seseorang bertutur dalam lidah, dia bukanlah bercakap kepada sesama manusia tetapi kepada Allah; dia bertutur tentang hal-hal rahsia dengan Roh.
[3] Sebaliknya, apabila seseorang bernubuat, dia bercakap kepada sesama manusia dengan kata-kata yang membina, menasihati dan menghibur.
[4] Orang yang bertutur dalam lidah membina diri sendiri, manakala orang yang bernubuat membina jemaah.
[5] Aku suka jika kamu bertutur dalam lidah, tetapi aku lebih suka jika kamu bernubuat; kerana orang yang bernubuat lebih membawa manfaat daripada orang yang bertutur dalam lidah, kecuali jika dia mentafsirkan apa yang dituturkannya itu untuk membina jemaah.
[6] Saudara-saudaraku, bermanfaatkah bagimu sekiranya aku datang bertutur kepadamu dalam lidah? Tidakkah lebih bermanfaat jika aku bertutur dalam bahasa yang kamu fahami, baik dalam penyampaian wahyu, ilmu pengetahuan, nubuat mahupun pengajaran?
[7] Samalah dengan benda-benda tidak bernyawa yang mengeluarkan bunyi; seperti seruling atau kecapi, jika bunyinya tidak terang, bagaimana orang dapat mengetahui lagu apa yang dimainkan?
[8] Sekiranya nafiri mengeluarkan bunyi yang tidak menentu, siapa yang akan bersiap untuk berperang?
[9] Demikianlah juga, jika kamu tidak bertutur dengan bahasa yang jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui apa yang kamu katakan? Kamu seolah-olah bercakap kepada angin.
[10] Bahasa dunia entah berapa banyaknya, tetapi tiada satu pun yang tidak bererti.
[11] Namun demikian, jika aku tidak mengetahui erti sesuatu bahasa, maka aku menjadi orang asing bagi penuturnya dan penutur itu orang asing bagiku.
[12] Begitu jugalah kamu. Dalam berusaha untuk mendapat kurnia-kurnia rohani, berusahalah untuk memperoleh yang utama, iaitu yang dapat membina jemaah.
[13] Oleh itu, seseorang yang bertutur dalam lidah harus berdoa agar dia dapat mentafsirkannya juga.
[14] Kalaulah aku berdoa dalam lidah, maka hanya rohku yang berdoa, sedangkan akalku tidak menghasilkan apa-apa.
[15] Oleh itu, apa yang harus kulakukan? Aku akan berdoa dengan rohku dan akalku juga. Aku akan menyanyi dengan rohku dan akalku juga.
[16] Sekiranya kamu mengucap syukur hanya dengan rohmu, bagaimana orang yang tidak memahami dapat mengaminkan ucap syukurmu? Mereka tidak tahu apa yang kamu ucapkan!
[17] Oleh itu, walaupun ucap syukurmu itu baik, orang lain tidak dapat dibina.
[18] Aku mengucap syukur kepada Allah kerana aku dapat bertutur dalam lidah, lebih daripada kamu semua.
[19] Tetapi dalam perhimpunan jemaah, aku lebih suka mengucapkan lima patah kata dari akalku daripada sepuluh ribu patah dalam lidah; dengan demikian aku dapat menyampaikan pengajaran kepada orang lain.
[20] Saudara-saudaraku! Janganlah kamu menjadi kanak-kanak dalam akal fikiranmu. Berhubungan hal kejahatan, memang kamu harus menjadi kanak-kanak, tetapi akal fikiranmu hendaklah matang.
[21] Dalam Kitab Taurat telah tersurat: "Dengan bahasa-bahasa asing dan dari mulut orang asing Aku akan bersuara kepada bangsa ini; Namun demikian, mereka tidak akan mendengar-Ku," Tuhan berfirman.
[22] Oleh itu, bertutur dalam lidah adalah tanda, bukan bagi orang yang percaya, tetapi bagi orang yang tidak percaya; manakala nubuat adalah tanda, bukan bagi orang yang tidak percaya, tetapi bagi orang yang percaya.
[23] Sekiranya seluruh jemaah berhimpun di suatu tempat dan semuanya bertutur dalam lidah, lantas masuk orang yang tidak tahu atau orang yang tidak percaya, tidakkah mereka menyangka kamu semua gila?
[24] Tetapi jika semuanya bernubuat, lalu masuk seorang yang tidak tahu atau yang tidak percaya, dia akan berasa diyakinkan dan dihakimi oleh segala yang didengarinya.
[25] Dengan demikian, segala rahsia hatinya akan ternyata, lalu dia sujud menyembah Allah serta mengakui bahawa Allah sesungguhnya ada bersamamu.
[26] Jadi bagaimana, saudara-saudaraku? Apabila kamu berhimpun, hendaklah masing-masing menyampaikan mazmur, atau pengajaran, atau wahyu, atau sesuatu dalam lidah, ataupun pentafsirannya. Tetapi hendaklah semuanya bertujuan untuk membina jemaah.
[27] Jika ada orang yang bertutur dalam lidah, biarlah dua atau tiga orang sahaja, seorang lepas seorang, dan hendaklah ada orang yang mentafsirkannya.
[28] Sekiranya tiada yang dapat mentafsirkannya, janganlah dituturkan dalam perhimpunan itu. Tuturkanlah bagi diri sendiri dan kepada Allah.
[29] Bagi orang yang diberi kurnia sebagai nabi, biarlah dua atau tiga orang sahaja yang bernubuat, dan yang lain menilainya.
[30] Tetapi sekiranya ternyata Allah mewahyukan sesuatu melalui seorang lain yang turut hadir, hendaklah orang pertama itu berhenti bernubuat.
[31] Kamu semua boleh bernubuat, seorang demi seorang, agar semua mendapat pengajaran dan kekuatan.
[32] Kurnia untuk bernubuat tertakluk kepada nabi yang memilikinya,
[33] kerana Allah tidak menghendaki kekeliruan, tetapi kesejahteraan. Sebagaimana dalam semua jemaah orang salih,
[34] wanita-wanita hendaklah berdiam diri dalam perhimpunan jemaah. Mereka tidak dibenarkan bercakap. Hendaklah mereka menurut perintah, sebagaimana tersurat dalam Taurat.
[35] Jika mereka ingin mempelajari sesuatu, hendaklah mereka bertanya kepada suami mereka di rumah. Sungguh memalukan jika seorang wanita bersuara dalam perhimpunan jemaah.
[36] Adakah firman Allah datang daripadamu? Atau adakah datangnya kepada kamu sahaja?
[37] Sekiranya seseorang menyangka dirinya mendapat kurnia untuk bernubuat atau kurnia rohani yang lain, dia hendaklah mengakui bahawa yang kutuliskan kepadamu ini adalah perintah Tuhan.
[38] Tetapi jika sesiapa tidak tahu, biarlah dia demikian.
[39] Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah untuk dapat bernubuat, dan jangan larang orang bertutur dalam lidah.
[40] Tetapi hendaklah segalanya dilakukan dengan sopan dan teratur.