[1] Malanglah kota yang dipenuhi pembunuh dan pendusta, dan juga dipenuhi harta benda yang akan dirampas dan dijarah.
[2] Dengarlah lecutan cambuk dan putaran roda, derap lari kuda dan goncangan kereta kuda.
[3] Pasukan berkuda menyerang dengan penuh semangat, pedang berkilau dan tombak berkilat. Orang yang mati tidak terhitung, mayat mereka bertimbun-timbun, menyebabkan orang tersandung.
[4] Niniwe pelacur itu dijatuhi hukuman. Kecantikannya sangat mempesonakan. Dia menyihir banyak bangsa, dan menjadikan mereka hambanya.
[5] TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Hai Niniwe, Aku akan menghukum engkau! Aku akan menelanjangi engkau, dan membiarkan bangsa-bangsa melihatmu; mereka akan nampak keadaanmu yang memalukan.
[6] Aku memperlakukan engkau dengan penuh kebencian; Aku melempari engkau dengan kotoran. Orang akan menatap engkau dengan rasa gerun.
[7] Semua orang yang melihatmu akan berundur dan berkata, ‘Niniwe tinggal runtuhan belaka! Siapakah yang turut berduka dengannya? Tiada lagi yang mahu menghiburkan dia.’ ”
[8] Hai Niniwe, adakah engkau lebih baik daripada Tebe, ibu kota Mesir? Tebe juga mempunyai sungai yang melindunginya seperti tembok; Sungai Nil adalah pertahanannya.
[9] Tebe memerintah negeri Etiopia dan Mesir; kuasanya tidak terbatas. Libia menjadi sekutu Tebe.
[10] Meskipun begitu, penduduk Tebe ditawan dan dibuang negeri. Di setiap sudut jalan, anak-anak mereka dipukul sehingga mati. Para pembesar mereka dirantai lalu dibahagi-bahagikan antara orang yang menangkap mereka.
[11] Hai Niniwe, engkau pun akan mabuk. Engkau juga akan berusaha untuk menyelamatkan diri daripada musuh.
[12] Semua kubumu akan menjadi seperti pokok ara yang buahnya sudah masak. Apabila pokok itu digoncang, buahnya akan terus jatuh ke dalam mulut orang yang ingin memakannya.
[13] Askarmu lemah seperti perempuan dan negerimu terdedah, tidak berkawal di hadapan musuh. Api akan menghanguskan palang pintu gerbangmu.
[14] Timbalah air untuk persediaan selama engkau dikepung. Kuatkanlah kubu-kubumu! Injak-injaklah tanah liat untuk membuat batu bata, dan sediakanlah acuan-acuannya!
[15] Apa pun yang engkau buat akan sia-sia sahaja, kerana engkau pasti akan dibakar sehingga mati atau dibunuh dalam pertempuran. Engkau akan lenyap seperti tanaman yang dilahap belalang. Engkau sudah berkembang biak seperti belalang!
[16] Pedagangmu lebih banyak daripada bintang di langit! Tetapi sekarang mereka sudah pergi, seperti belalang yang mengembangkan sayap lalu terbang menghilang.
[17] Para pegawaimu seperti kawanan belalang yang berlindung di tembok pada hari sejuk. Tetapi setelah matahari terbit, belalang itu segera terbang menghilang; tiada seorang pun tahu ke mana kawanan belalang itu pergi!
[18] Hai raja Asyur! Para gabenormu sudah mati dan para pembesarmu tertidur untuk selama-lamanya. Rakyatmu tercerai-cerai di pergunungan, dan tiada seorang pun dapat membawa mereka pulang semula.
[19] Kecedaraanmu tidak dapat diubati dan luka-lukamu tidak dapat disembuhkan. Semua orang yang mendengar berita kehancuranmu bertepuk tangan kerana sukacita. Tidak seorang pun dapat menyelamatkan diri daripada kekejamanmu yang tidak henti-henti.