[1] Hai Niniwe, engkau sedang diserang! Yang berkuasa menghancurkan kamu sudah datang! Kawallah kubu-kubu pertahanan! Awasilah jalan-jalan! Bersiaplah untuk berperang. (
[2] TUHAN akan segera memulihkan kemegahan Israel, sehingga seperti dahulu, sebelum musuh menjarahnya.)
[3] Tentera musuh membawa perisai merah, dan memakai pakaian seragam berwarna merah. Musuh sudah bersedia untuk menyergap! Bagaikan api, kereta kuda mereka berkilap! Kuda mereka melompat-lompat!
[4] Di jalan-jalan, kereta kuda meluru tidak tentu arah, meluru ke sana sini di padang kota. Kereta kuda bersinar seperti obor, meluru secepat halilintar.
[5] Pegawai tentera dikerah; mereka tersandung ketika mara. Penyerang bergerak cepat menuju tembok, menyiapkan alat pemecah tembok.
[6] Pintu-pintu air di tepi sungai terbuka; maka gemparlah semua orang di istana.
[7] Penyerang menangkap permaisuri, dayang-dayangnya mengerang bagai burung merpati, menebah dada kerana sedih hati.
[8] Penduduk Niniwe berlari keluar dari kota seperti air keluar dari empangan yang pecah. Terdengar teriakan, “Berhenti, berhenti!” tetapi tiada seorang pun yang mahu kembali.
[9] Rampaslah perak! Rampaslah emas! Kota penuh dengan harta benda!
[10] Niniwe sudah musnah, terbiar, dan lengang. Kerana takut, semangat orang hilang; lutut gementar, kehabisan tenaga; semua orang pucat muka.
[11] Di manakah kota itu sekarang? Kota yang seperti gua tempat singa bersarang; tempat anak-anak singa diberikan makanan, tempat tujuan singa jantan dan singa betina, tempat yang aman bagi anak-anak singa.
[12] Singa menerkam mangsanya, lalu mencabik dagingnya untuk makanan singa betina dan anaknya. Singa memenuhi guanya dengan cabikan daging mangsanya.
[13] TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Aku musuhmu. Aku akan membakar kereta kudamu sampai musnah. Askar-askarmu akan dibunuh dalam pertempuran, dan Aku akan mengambil segala sesuatu yang sudah kamu rampas daripada orang lain. Tuntutan para utusanmu tidak akan terdengar lagi.”