[1] Kemudian Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun supaya dicubai oleh Iblis.
[2] Setelah berpuasa selama empat puluh hari dan empat puluh malam, Yesus lapar.
[3] Lalu Iblis datang dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu-batu ini menjadi roti.”
[4] Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Allah.’ ”
[5] Kemudian Iblis membawa Yesus ke Yerusalem, kota suci itu, lalu meletakkan Dia di puncak Rumah Tuhan.
[6] Iblis berkata kepada Yesus, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya menjaga Engkau; malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ ”
[7] Yesus menjawab, “Tetapi di dalam Alkitab tertulis juga, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ ”
[8] Kemudian Iblis membawa Yesus ke gunung yang sangat tinggi, dan menunjukkan semua kerajaan di dunia ini serta segala kekayaannya kepada-Nya.
[9] Lalu Iblis berkata kepada Yesus, “Semua ini akan aku berikan kepada-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.”
[10] Yesus menjawab, “Pergilah, hai Iblis! Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ ”
[11] Kemudian Iblis meninggalkan Yesus, dan malaikat-malaikat pun datang menolong Dia.
[12] Ketika Yesus mendengar bahawa Yohanes dipenjarakan, Dia pun pergi ke Galilea.
[13] Dia tidak menetap di Nasaret, tetapi tinggal di Kapernaum, sebuah kota di tepi Tasik Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali.
[14] Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya,
[15] “Tanah Zebulon dan tanah Naftali, yang menghala ke tasik, di seberang Sungai Yordan, Galilea, negeri orang bukan Yahudi!
[16] Bangsa yang hidup dalam kegelapan akan nampak cahaya yang gemilang! Bagi mereka yang hidup di negeri yang dibayangi maut, cahaya itu akan bersinar!”
[17] Sejak itu Yesus mula mengisytiharkan perkhabaran-Nya, “Bertaubatlah daripada dosa kamu, kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!”
[18] Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan: Simon (yang juga disebut Petrus) dengan adiknya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik.
[19] Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku. Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.”
[20] Dengan segera adik-beradik itu meninggalkan jala mereka lalu mengikut Yesus.
[21] Yesus meneruskan perjalanan, lalu nampak dua orang adik-beradik yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka di dalam perahu bersama-sama bapa mereka, dan sedang mengemaskan jala. Yesus memanggil mereka.
[22] Dengan segera mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikut Yesus.
[23] Yesus menjelajah seluruh negeri Galilea. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan banyak orang sakit yang menderita berbagai-bagai penyakit.
[24] Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri Siria, sehingga mereka yang menderita berbagai-bagai penyakit dan kesusahan dibawa kepada-Nya. Lalu Yesus menyembuhkan semua orang yang dirasuk roh jahat, yang sakit gila babi, dan yang lumpuh. Mereka semua disembuhkan oleh Yesus.
[25] Orang yang mengikut Yesus banyak sekali. Mereka dari Galilea, dari Sepuluh Kota, dari Yerusalem, dari Yudea, dan dari negeri di seberang Yordan.