[1] Pada pagi-pagi sekali, semua ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi membuat keputusan untuk membunuh Yesus.
[2] Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus, gabenor kerajaan Roma.
[3] Apabila Yudas, pengkhianat itu tahu bahawa Yesus telah dijatuhi hukuman mati, dia menyesal. Lalu dia mengembalikan tiga puluh keping wang perak itu kepada para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi.
[4] Dia berkata, “Aku sudah berdosa kerana mengkhianati orang yang tidak bersalah sehingga dihukum mati!” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak peduli! Itu urusanmu!”
[5] Yudas melempar wang itu ke dalam Rumah Tuhan lalu meninggalkan mereka. Kemudian dia pergi menggantung diri.
[6] Para ketua imam memungut wang itu dan berkata, “Wang ini upah seorang pembunuh. Menurut Taurat kita, wang ini tidak boleh dimasukkan ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan.”
[7] Setelah bersetuju, mereka menggunakan wang itu untuk membeli tanah yang disebut Tanah Tukang Periuk. Tanah itu digunakan sebagai perkuburan orang bukan Yahudi.
[8] Itulah sebabnya sehingga hari ini tanah itu dinamakan “Tanah Darah”.
[9] Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Mereka mengambil tiga puluh keping wang perak, jumlah yang disetujui oleh orang Israel sebagai bayaran bagi Dia.
[10] Wang itu digunakan untuk membeli tanah tukang periuk, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepadaku.”
[11] Yesus berdiri di hadapan Gabenor Pilatus, dan Pilatus bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” “Begitulah yang tuan katakan,” jawab Yesus.
[12] Tetapi apabila para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, Dia diam sahaja.
[13] Oleh itu Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mendengar segala tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?”
[14] Tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun, sehingga gabenor itu sangat hairan.
[15] Pada tiap-tiap Perayaan Paska, gabenor Roma biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai.
[16] Pada masa itu ada seorang tahanan yang terkenal, yang bernama Yesus Barabas.
[17] Apabila orang ramai berkumpul, Pilatus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan? Yesus Barabas atau Yesus yang disebut Kristus?”
[18] Pilatus tahu betul bahawa pemimpin orang Yahudi menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati.
[19] Sementara Pilatus duduk di balai pengadilan, isterinya mengirim berita kepadanya, “Janganlah turut campur perkara orang yang tidak bersalah itu, kerana saya mendapat mimpi buruk tentang dia.”
[20] Para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas dan menghukum mati Yesus.
[21] Tetapi Pilatus bertanya kepada orang ramai, “Yang mana satu antara kedua-dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?” “Barabas!” jawab mereka.
[22] “Lalu apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus bertanya kepada mereka. “Salibkan dia!” jawab mereka semua.
[23] Tetapi Pilatus berkata, “Kejahatan apa yang telah dilakukannya?” Kemudian mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!”
[24] Apabila Pilatus sedar bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan bahawa orang ramai mungkin merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangan di hadapan orang ramai. Dia berkata, “Aku tidak bertanggungjawab terhadap kematian orang ini! Kamulah yang bertanggungjawab!”
[25] Seluruh orang ramai itu menjawab, “Kami dan keturunan kami bertanggungjawab terhadap kematiannya!”
[26] Kemudian Pilatus membebaskan Barabas bagi mereka, dan menyuruh orang menyesah Yesus serta menyerahkan Dia kepada askar untuk disalib.
[27] Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya.
[28] Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia.
[29] Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, “Daulat Raja Orang Yahudi!”
[30] Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya.
[31] Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib.
[32] Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus.
[33] Mereka tiba di tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak”.
[34] Di situ mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, Dia tidak mahu meminumnya.
[35] Kemudian askar-askar menyalibkan Dia, dan membahagi-bahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi.
[36] Setelah itu mereka duduk di sana dan mengawal Dia.
[37] Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.”
[38] Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya.
[39] Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata,
[40] “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!”
[41] Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata,
[42] “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya!
[43] Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?”
[44] Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu.
[45] Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap.
[46] Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?”
[47] Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, “Dia memanggil Elia!”
[48] Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus.
[49] Tetapi orang lain di situ berkata, “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia!”
[50] Kemudian Yesus berseru lagi dengan nyaring, lalu menghembuskan nafas yang terakhir.
[51] Kemudian tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah,
[52] kubur terbuka, dan banyak umat Allah yang sudah meninggal dihidupkan semula.
[53] Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka.
[54] Apabila ketua askar dan askar-askar yang sedang mengawal Yesus nampak gempa bumi dan segala perkara yang berlaku, mereka ketakutan. Mereka berkata, “Dia betul-betul Anak Allah!”
[55] Di situ ada juga banyak wanita yang memandang dari jauh. Mereka datang bersama-sama Yesus dari Galilea dan mereka menolong Dia.
[56] Antara mereka ialah Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Yusuf, serta ibu anak-anak Zebedeus.
[57] Pada waktu petang, seorang kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf datang. Dia juga pengikut Yesus.
[58] Dia pergi kepada Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Pilatus memberikan perintah supaya jenazah Yesus diserahkan kepadanya.
[59] Yusuf mengambil jenazah itu lalu membalutnya dengan kain linen baru.
[60] Dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur miliknya sendiri yang baru dipahat di bukit batu. Kemudian Yusuf menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu, lalu dia pergi.
[61] Maria Magdalena dan Maria yang lain duduk di situ menghadapi kubur itu.
[62] Keesokan harinya, pada hari Sabat, ketua-ketua imam dan orang Farisi pergi menghadap Pilatus.
[63] Mereka berkata, “Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia pernah berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan dibangkitkan.’
[64] Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu baik-baik sehingga hari ketiga. Dengan demikian pengikut-pengikutnya tidak dapat mencuri jenazah Yesus, dan memberitahu orang bahawa dia telah dibangkitkan daripada kematian. Penipuan yang terakhir ini akan lebih buruk daripada yang pertama.”
[65] “Bawalah beberapa orang askar,” kata Pilatus kepada mereka, “pergilah dan kawallah kubur itu dengan rapi.”
[66] Lalu mereka pergi ke kubur itu, memeteraikan batu penutup kubur dan menyuruh beberapa orang askar mengawal kubur itu.