[1] Pada hari itu, Debora dan Barak anak Abinoam menyanyikan lagu ini:
[2] Pujilah TUHAN! Pahlawan Israel bertekad untuk berperang; rakyat rela berjuang.
[3] Dengarlah, hai raja-raja! Perhatikanlah, hai para penguasa! Aku akan bernyanyi dan bermain muzik bagi TUHAN, Allah Israel.
[4] Ya TUHAN, apabila Engkau meninggalkan pergunungan Seir, ketika Engkau keluar dari daerah Edom, bumi bergetar dan hujan turun dari langit. Air mencurah dari awan-awan.
[5] Gunung bergoncang di hadapan TUHAN, penguasa Sinai, di hadapan TUHAN, Allah umat Israel.
[6] Pada zaman Samgar anak Anat, pada zaman Yael juga, kafilah tidak lagi melintasi negeri, pengembara mengikut jalan samping.
[7] Kota-kota di Israel ditinggalkan, hai Debora, sunyi sepi sehingga engkau datang; engkau datang sebagai ibu umat Israel.
[8] Kemudian perang berlaku di dalam negeri apabila orang Israel mula menyembah dewa. Tiada satu pun senjata yang diangkat oleh empat puluh ribu orang Israel.
[9] Aku bangga dengan para panglima Israel dan dengan rakyat yang rela berjuang. Pujilah TUHAN!
[10] Isytiharkanlah hal itu, hai kamu yang menunggang keldai putih, kamu yang duduk di atas pelana, dan kamu yang berjalan kaki.
[11] Dengarlah! Orang ramai di sekeliling perigi sedang memberitakan kemenangan TUHAN, kemenangan umat Israel! Kemudian umat TUHAN berarak turun dari kota-kota mereka.
[12] Bangkitlah, hai Debora, bangkitlah! Bangkitlah, dan bernyanyilah! Bangunlah, hai Barak anak Abinoam! Giringlah orang tawananmu!
[13] Kemudian para bangsawan yang tertinggal datang kepada pemimpin mereka; umat TUHAN datang kepada-Nya, siap untuk berjuang.
[14] Mereka datang dari Efraim ke lembah, mengikuti suku Benyamin yang berjalan di hadapan. Para panglima datang dari Makhir, para pegawai tentera dari Zebulon.
[15] Para pemimpin suku Isakhar datang bersama dengan Debora, pemimpin suku Isakhar datang dan Barak pun turut serta. Mereka mengikuti dia sampai ke lembah. Tetapi suku Ruben terbahagi-bahagi, mereka tidak sepakat untuk datang.
[16] Mengapakah mereka tidak mahu ikut, dan tinggal dengan domba? Adakah untuk mendengarkan gembala memanggil domba? Sesungguhnya suku Ruben terbahagi-bahagi, mereka tidak sepakat untuk datang.
[17] Suku Gad tinggal di sebelah timur Sungai Yordan, suku Dan tinggal berhampiran kapal-kapal. Suku Asyer tinggal di sepanjang pantai; mereka tetap tinggal di situ.
[18] Tetapi suku Zebulon dan suku Naftali mempertaruhkan nyawa di medan perang.
[19] Di Taanakh, dekat sungai di Megido, raja-raja datang untuk berperang; raja-raja Kanaan berjuang, tetapi mereka tidak mengambil perak sebagai jarahan.
[20] Dari tempat peredaran bintang di angkasa, bintang turut berjuang melawan Sisera.
[21] Air deras Sungai Kison menghanyutkan musuh. Aku akan terus maju dengan kekuatan!
[22] Lalu kuda menderap dengan laju, menghentam-hentam dengan telapak.
[23] “Kutuklah Meros,” sabda malaikat TUHAN, “kutuklah, kutuklah penduduk di sana. Mereka tidak datang memberikan bantuan sebagai pahlawan yang berjuang untuk TUHAN.”
[24] Diberkatilah Yael, isteri Heber, orang Keni itu. Dialah wanita yang paling diberkati di kalangan semua wanita yang tinggal di khemah.
[25] Sisera meminta air, tetapi Yael memberi dia susu, Yael memberi dia susu pekat di dalam cawan yang cantik.
[26] Dengan sebelah tangan dia memegang pasak, dengan tangan yang sebelah lagi dia memegang tukul; Yael menukul pelipis Sisera, dia memalu dan meremukkan kepala Sisera.
[27] Sisera jatuh dan rebah terlentang; di kaki Yael dia rebah dan meninggal.
[28] Ibu Sisera menjenguk dari tingkap; dia menatap dari kisi-kisi jendela. Dia bertanya, “Mengapakah kereta kudanya belum tiba lagi? Mengapakah kudanya lambat sekali kembali?”
[29] Dayang-dayangnya yang paling bijak menjawab, demikian juga berulang-ulang dia sendiri berkata,
[30] “Mereka sedang mengambil barang jarahan untuk dibahagi-bahagikan, supaya setiap askar mendapat satu atau dua orang anak dara; Sisera mendapat kain berharga, permaisuri mendapat selendang bersulam aneka warna.”
[31] Semoga semua musuh-Mu, ya TUHAN, mati seperti Sisera; tetapi semoga sahabat-Mu megah seperti suria di angkasa! Kemudian negeri itu aman selama empat puluh tahun.