Skip to content
Opens in a new window

[1] Selepas Abimelekh meninggal, Tola anak Pua, menjadi pemimpin untuk membebaskan Israel. Tola ialah cucu Dodo daripada suku Isakhar. Tola tinggal di Samir, di perbukitan Efraim.

[2] Dia memimpin umat Israel selama dua puluh tiga tahun. Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di Samir.

[3] Selepas Tola, bangsa Israel dipimpin oleh Yair. Dia memimpin Israel selama dua puluh dua tahun. Yair berasal dari Gilead.

[4] Tola mempunyai tiga puluh orang anak lelaki yang menunggang tiga puluh ekor keldai. Anak-anaknya itu mempunyai tiga puluh buah pekan di wilayah Gilead. Pekan-pekan itu masih disebut pekan-pekan Yair hingga sekarang.

[5] Kemudian Yair meninggal dan dikebumikan di Kamon.

[6] Sekali lagi umat Israel berdosa terhadap TUHAN. Mereka menyembah Baal dan Asytoret serta dewa-dewa bangsa Siria, Sidon, Moab, Amon, dan Filistin. Mereka meninggalkan TUHAN dan tidak lagi menyembah Dia.

[7] Oleh itu TUHAN murka terhadap umat Israel. Dia membiarkan orang Filistin dan orang Amon mengalahkan mereka.

[8] Selama lapan belas tahun mereka menindas dan menganiaya orang Israel yang tinggal di Gilead, iaitu di wilayah orang Amori di sebelah timur Sungai Yordan.

[9] Orang Amon juga menyeberang Sungai Yordan untuk memerangi suku Yehuda, Benyamin, dan Efraim sehingga umat Israel sangat menderita.

[10] Kemudian umat Israel berseru kepada TUHAN. Mereka berkata, “Kami telah berdosa terhadap-Mu, ya Allah, kerana kami meninggalkan Engkau lalu menyembah dewa-dewa Baal.”

[11] TUHAN menjawab umat Israel, “Orang Mesir, Amori, Amon, Filistin,

[12] Sidon, Amalek, dan Maon telah menindas kamu pada masa yang lalu, dan kamu telah berseru kepada-Ku. Tidakkah Aku menyelamatkan kamu daripada kuasa mereka?

[13] Tetapi meskipun begitu, kamu masih juga meninggalkan Aku dan menyembah dewa-dewa. Sekarang Aku tidak mahu menyelamatkan kamu lagi.

[14] Pergilah minta tolong kepada dewa-dewa yang telah kamu pilih itu. Biarlah dewa-dewa itu menyelamatkan kamu apabila kamu dalam kesusahan.”

[15] Tetapi umat Israel berkata kepada TUHAN, “Kami telah berdosa. Lakukanlah apa saja kepada kami, asal Engkau menolong kami hari ini.”

[16] Kemudian mereka membuang semua patung berhala, lalu menyembah TUHAN. Maka Dia pun terharu melihat kesusahan yang dialami oleh umat Israel.

[17] Pada masa itu tentera Amon sedang bersedia untuk berperang dan sedang berkhemah di Gilead. Umat Israel berkumpul lalu berkhemah di Mizpa, di Gilead.

[18] Di sana rakyat dan para pemimpin suku Israel berkata kepada satu sama lain, “Orang yang berani memimpin tentera untuk melawan orang Amon akan menjadi pemerintah semua penduduk Gilead.”

Hakim-Hakim — Chapters