Skip to content
Opens in a new window

[1] TUHAN berfirman, “Bunyikanlah tanda kecemasan! Musuh sedang menyerang negeri-Ku seperti burung helang menyambar mangsa. Umat-Ku telah memungkiri perjanjian-Ku dengan mereka, dan melanggar hukum-Ku.

[2] Meskipun mereka mengakui Aku sebagai Allah, dan berkata bahawa mereka umat-Ku yang mengenal Aku,

[3] namun mereka telah menolak perkara yang baik. Oleh itu musuh akan mengejar mereka.

[4] Umat-Ku memilih raja-raja tanpa meminta pendapat-Ku. Mereka melantik pemimpin-pemimpin tanpa mendapat persetujuan-Ku. Mereka mengambil emas dan perak dan membuat patung-patung berhala yang mengakibatkan kebinasaan mereka.

[5] Aku benci akan lembu emas yang disembah penduduk kota Samaria. Aku sangat murka kepada mereka. Sampai bilakah mereka akan terus menyembah berhala?

[6] Seorang tukang di Israel membuat patung berhala; patung itu bukan Allah! Patung lembu emas yang disembah di Samaria itu akan dihancurkan.

[7] Apabila umat-Ku menabur angin, mereka akan menuai ribut. Ladang gandum yang tidak menguning tidak akan menghasilkan makanan. Tetapi jika ladang itu menguning juga, orang bangsa asing akan menghabiskan gandumnya.

[8] Orang Israel sudah menjadi seperti bangsa-bangsa lain dan tidak berguna lagi, seperti periuk yang pecah.

[9] Orang Israel degil seperti keldai liar, mereka menurut kemahuan mereka sendiri. Mereka minta pertolongan daripada Asyur. Israel telah membayar negeri-negeri lain untuk mendapat perlindungan.

[10] Tetapi sekarang Aku akan mengumpulkan mereka dan menghukum mereka. Tidak lama lagi mereka akan menderita apabila raja Asyur menindas mereka.

[11] Semakin banyak mazbah yang didirikan orang Israel untuk menghapuskan dosa, semakin banyak pula tempat untuk mereka berdosa.

[12] Aku telah menulis banyak ajaran untuk mereka, tetapi mereka menolak semuanya kerana menganggap ajaran itu aneh dan asing.

[13] Mereka suka mempersembahkan korban kepada-Ku, dan makan daging korban itu. Tetapi Aku, TUHAN, tidak berkenan kepada mereka. Sekarang Aku akan mengingat dosa mereka, dan menghukum mereka kerana dosa-dosa itu. Aku akan mengirim mereka semula ke Mesir.

[14] Orang Israel mendirikan istana-istana, tetapi mereka lupa akan Pencipta mereka. Orang Yehuda mendirikan kota-kota berkubu, tetapi Aku akan menurunkan api untuk membakar habis kota dan istana mereka.”

Hosea — Chapters