Skip to content
Opens in a new window

[1] TUHAN berfirman, “Aku mengasihi Israel sejak dia masih kecil; Aku memanggil anak-Ku keluar dari Mesir.

[2] Tetapi semakin Aku memanggil mereka, semakin mereka menjauhi Aku. Umat-Ku mempersembahkan korban kepada Baal; mereka membakar kemenyan kepada berhala-berhala.

[3] Padahal Akulah yang mengajar Israel berjalan. Aku memeluk umat-Ku dengan kasih sayang; Aku memelihara mereka tetapi mereka tidak mahu mengakui hakikat itu.

[4] Aku mendekatkan mereka dengan penuh kasih sayang. Aku mendukung dan mencium mereka, Aku membongkok dan memberi mereka makan.

[5] Mereka tidak mahu kembali kepada-Ku. Oleh itu mereka mesti kembali ke Mesir, dan bangsa Asyur akan memerintah mereka.

[6] Peperangan akan melanda kota-kota mereka, dan pintu gerbang kota akan dirobohkan. Umat-Ku akan dimusnahkan kerana mereka menurut kemahuan mereka sendiri.

[7] Mereka berkeras hendak meninggalkan Aku. Mereka akan berseru minta tolong kerana tertindas, tetapi tiada sesiapa pun akan membebaskan mereka.

[8] Hai Israel, Aku tidak mungkin menolak kamu; Aku tidak mungkin meninggalkan kamu. Mungkinkah Aku membinasakan kamu seperti Adma, atau menghukum kamu seperti Zeboim? Aku tidak sampai hati berbuat demikian. Kasih-Ku bagi kamu terlalu besar.

[9] Aku tidak akan menghukum kamu apabila Aku murka; Aku tidak akan membinasakan Israel lagi, kerana Aku ini Allah dan bukan manusia. Aku, Yang Maha Suci menyertai kamu, Aku tidak akan murka kepada kamu lagi.”

[10] TUHAN berfirman, “Aku akan mengaum seperti singa terhadap musuh umat-Ku, dan umat-Ku akan mengikut Aku. Dari sebelah barat mereka akan cepat-cepat datang kepada-Ku.

[11] Dari Mesir mereka akan terbang kepada-Ku secepat burung, dan dari Asyur seperti merpati. Aku akan membawa mereka pulang ke rumah mereka semula. Aku, TUHAN telah berfirman.”

Hosea — Chapters