[1] Malaikat yang memakai pakaian linen itu berkata, “Pada masa itu, malaikat besar, iaitu Mikhael pelindung bangsamu akan muncul. Ketika itu akan ada kesusahan yang paling berat sejak bangsa-bangsa wujud. Pada masa itu, semua orang daripada bangsamu yang namanya tertulis di dalam kitab Allah akan diselamatkan.
[2] Banyak orang yang sudah mati akan hidup semula: ada yang akan menikmati kehidupan kekal, ada pula yang akan menderita hinaan kekal.
[3] Pemimpin-pemimpin yang bijaksana akan bersinar seperti langit yang cerah, dan mereka yang mengajar orang berbuat baik dan adil akan bersinar seperti bintang selama-lamanya.”
[4] Malaikat itu berkata kepadaku, “Sekarang, hai Daniel, tutuplah dan meteraikanlah kitab itu, sehingga akhir zaman. Sementara itu banyak orang akan cuba memahami hal yang sedang berlaku, tetapi usaha mereka sia-sia saja.”
[5] Selepas itu aku nampak dua orang lelaki, yang satu berdiri di tebing sungai di sebelah sini, dan yang satu lagi di sebelah sana.
[6] Orang yang satu bertanya kepada malaikat yang berdiri di hulu sungai, “Berapa lamakah kejadian-kejadian yang ajaib itu berlangsung sebelum semuanya berakhir?”
[7] Malaikat itu mengangkat kedua-dua tangannya ke arah langit, lalu bersumpah demi nama Allah yang kekal. Aku mendengar dia berkata, “Tiga tahun setengah! Setelah penganiayaan terhadap umat Allah berakhir, maka kejadian-kejadian yang ajaib itu pun akan berakhir.”
[8] Aku mendengar kata-katanya, tetapi aku tidak memahaminya. Oleh itu aku bertanya, “Tetapi, tuan, bagaimanakah kesudahannya kelak?”
[9] Dia menjawab, “Hai Daniel, engkau harus pergi sekarang, kerana kata-kata itu mesti dirahsiakan sehingga akhir zaman.
[10] Banyak orang akan diuji dan dimurnikan. Orang jahat tidak akan mengerti; mereka akan meneruskan kejahatan mereka. Hanya orang bijaksana akan mengerti.
[11] Sejak masa korban harian dihentikan, iaitu sejak ‘Bencana Yang Dahsyat’ itu, 1,290 hari akan berlalu.
[12] Berbahagialah orang yang tetap setia sehingga 1,335 hari itu telah berlalu.
[13] Engkau Daniel, harus setia sampai akhir. Engkau akan meninggal, tetapi engkau akan bangkit untuk menerima ganjaranmu pada akhir zaman.”