Skip to content
Opens in a new window

[1] Pada tahun ketiga pemerintahan Yoyakim sebagai raja Yehuda, Raja Nebukadnezar, raja Babilonia menyerang Yerusalem dan mengepung kota itu.

[2] Tuhan membenarkan Raja Nebukadnezar menawan Raja Yoyakim dan merampas sebahagian daripada barang-barang berharga di Rumah TUHAN. Raja Nebukadnezar membawa bersama-samanya beberapa orang tawanan dan menempatkan mereka di kuil dewa-dewanya di Babel. Baginda menyimpan barang-barang berharga itu di dalam gudang-gudang kuil.

[3] Raja Nebukadnezar memerintah Aspenas, ketua pegawai istananya, untuk memilih beberapa orang pemuda dari kalangan orang Israel yang dalam pembuangan. Para pemuda itu harus daripada keturunan raja atau berdarah bangsawan.

[4] Mereka harus kacak, berpendidikan tinggi, cerdas, dan berpengetahuan luas serta tidak cacat, supaya mereka dapat berkhidmat di istana raja. Aspenas diperintah supaya mengajar mereka membaca dan menulis bahasa Babilonia.

[5] Raja juga memberikan perintah agar setiap hari mereka diberikan makanan dan wain sama seperti yang diberikan kepada anggota keluarga diraja. Selepas latihan selama tiga tahun, mereka akan dihadapkan kepada raja.

[6] Antara mereka yang terpilih ialah Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya, semuanya daripada suku Yehuda.

[7] Ketua pegawai istana itu memberi mereka nama-nama baru, iaitu Beltsazar, Sadrakh, Mesakh, dan Abednego.

[8] Daniel bertekad untuk tidak menajiskan dirinya dengan makanan dan wain yang ditetapkan oleh raja. Oleh itu dia meminta pertolongan Aspenas,

[9] dan Allah menyebabkan Aspenas mengasihani dan menyayangi Daniel.

[10] Tetapi Aspenas berkata kepada Daniel, “Aku takut kepada tuanku raja. Baginda telah menetapkan makanan dan minuman kamu. Jika kamu tidak kelihatan sihat seperti pemuda lain, raja akan membunuh aku.”

[11] Kemudian Daniel berkata kepada pengawas yang ditugaskan oleh Aspenas untuk menjaga dia dan tiga orang kawannya,

[12] “Ujilah kami selama sepuluh hari. Berilah kami sayur dan air sahaja untuk makanan dan minuman.

[13] Selepas sepuluh hari, bandingkanlah rupa kami dengan rupa pemuda lain, yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja. Kemudian buatlah keputusan berdasarkan pengamatanmu.”

[14] Pengawas itu bersetuju dan membenarkan mereka mengadakan percubaan selama sepuluh hari.

[15] Selepas sepuluh hari, mereka kelihatan lebih sihat dan kuat daripada semua pemuda yang makan makanan yang ditetapkan oleh raja.

[16] Sejak hari itu pengawas itu membenarkan mereka terus makan sayur-sayuran, dan tidak makan makanan atau minum wain yang ditetapkan oleh raja.

[17] Allah memberi empat orang pemuda itu pengetahuan dan kepakaran dalam kesusasteraan dan falsafah. Tambahan pula, Dia memberi Daniel kebolehan untuk mentafsirkan penglihatan dan mimpi.

[18] Pada akhir tiga tahun masa latihan yang ditentukan oleh raja itu, Aspenas menghadapkan semua pemuda itu kepada Raja Nebukadnezar.

[19] Raja menemuramah mereka dan mendapati Daniel, Hananya, Misael, dan Azarya melebihi pemuda-pemuda lain dalam segala bidang. Oleh itu mereka dilantik untuk berkhidmat di istana raja.

[20] Setiap kali raja mengemukakan persoalan yang memerlukan penerangan dan pertimbangan, raja mendapati jawapan dan tanggapan keempat-empat orang pemuda itu sepuluh kali lebih baik daripada jawapan dan tanggapan semua penilik dan ahli sihir di seluruh kerajaan baginda.

[21] Daniel terus berkhidmat di istana itu sehingga Raja Kores dari Persia, mula memerintah.

Daniel — Chapters