Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 7:30

[1] Petrus dan Yohanes masih berkata-kata kepada orang ramai, apabila imam-imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan beberapa orang Saduki datang.

[2] Mereka marah kerana Petrus dan Yohanes mengajar orang ramai bahawa Yesus sudah dibangkitkan daripada kematian. Hal itu membuktikan bahawa orang mati akan dibangkitkan.

[3] Oleh itu mereka menangkap kedua-dua orang rasul itu. Mereka ditahan di dalam penjara sehingga esok, kerana hari sudah petang.

[4] Tetapi banyak orang yang mendengar perkhabaran itu percaya kepada Yesus. Bilangan mereka bertambah sehingga kira-kira lima ribu orang.

[5] Pada hari berikutnya, para pemimpin bangsa Yahudi, pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru Taurat berkumpul di Yerusalem.

[6] Mereka menjumpai Imam Agung Hanas dan Kayafas, Yohanes, Aleksander, dan semua orang lain yang tergolong dalam keluarga Imam Agung itu.

[7] Mereka menyuruh rasul-rasul itu berdiri di hadapan mereka, lalu bertanya, “Bagaimanakah kamu menyembuhkan orang lumpuh itu? Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan hal itu?”

[8] Petrus, yang dikuasai oleh Roh Allah, menjawab, “Tuan-tuan pemimpin bangsa Yahudi dan pemimpin masyarakat Yahudi!

[9] Agaknya hari ini kami disoal kerana kami telah berbuat baik kepada orang lumpuh itu dan kerana tuan-tuan mahu tahu bagaimana dia disembuhkan.

[10] Tuan-tuan dan semua orang Israel harus tahu bahawa orang ini yang berdiri di hadapan tuan-tuan sudah sembuh kerana kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu. Tuan-tuan sudah menyalibkan Dia, tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian.

[11] Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini di dalam Alkitab, ‘Batu yang kamu, pembina bangunan buang, ternyata menjadi batu yang paling utama.’

[12] Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita.”

[13] Anggota-anggota Majlis Agama hairan melihat keberanian Petrus dan Yohanes, apabila mereka tahu bahawa kedua-dua orang rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan. Lalu mereka sedar bahawa kedua-dua orang itu sahabat karib Yesus.

[14] Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa, kerana mereka melihat orang yang disembuhkan itu, berdiri di situ bersama-sama Petrus dan Yohanes.

[15] Oleh itu mereka menyuruh kedua-dua orang rasul itu keluar dari bilik Majlis Agama, lalu mula berunding.

[16] Mereka bertanya, “Apa yang harus kita lakukan terhadap kedua-dua orang ini? Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mukjizat yang luar biasa itu dilakukan oleh mereka. Kita tidak dapat menafikannya.

[17] Tetapi supaya perkara ini tidak tersebar lebih luas lagi di kalangan orang ramai, baiklah kita berikan amaran kepada mereka supaya jangan berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan nama Yesus.”

[18] Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya.

[19] Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, “Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah?

[20] Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.”

[21] Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu.

[22] Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun.

[23] Setelah Petrus dan Yohanes dibebaskan, mereka kembali kepada sahabat-sahabat mereka dan menceritakan segala yang dikatakan oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi.

[24] Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar hal itu, dengan sehati mereka berdoa kepada Allah, “Ya Tuhan, Engkau sudah menjadikan langit, bumi, dan laut dengan segala isinya.

[25] Dengan Roh-Mu, Engkau pernah berfirman melalui nenek moyang kami, Daud hamba-Mu, ‘Mengapa orang bukan Yahudi marah? Mengapa bangsa-bangsa lain membuat pakatan yang sia-sia?

[26] Raja-raja dunia bersiap sedia untuk berperang, dan para penguasa berkumpul untuk melawan Tuhan dan Penyelamat yang diutus oleh Allah.’

[27] Memang benar Herodes dan Pontius Pilatus mengadakan pertemuan dengan orang bukan Yahudi dan orang Israel di kota ini untuk melawan Yesus Hamba-Mu yang suci, yang Engkau jadikan Penyelamat.

[28] Mereka bersatu untuk melakukan segala yang telah Engkau tetapkan terlebih dahulu akan berlaku. Engkau dapat menetapkan demikian kerana kekuasaan dan kehendak-Mu.

[29] Tetapi sekarang, ya Tuhan, lihatlah bagaimana mereka mengancam kami. Tolonglah kami, hamba-hamba-Mu, memberitakan perkhabaran-Mu dengan penuh keberanian.

[30] Tunjukkanlah kuasa-Mu supaya orang sakit disembuhkan. Hendaklah mukjizat dan keajaiban berlaku dengan kuasa Yesus, Hamba-Mu yang suci.”

[31] Setelah mereka selesai berdoa, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah, dan mula menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan penuh keberanian.

[32] Semua pengikut Kristus hidup sehati dan sefikiran. Tidak seorang pun menganggap apa yang dimilikinya kepunyaannya sendiri. Mereka saling berkongsi milik.

[33] Dengan kuasa yang besar, rasul-rasul itu memberikan kesaksian tentang kebangkitan Tuhan Yesus. Oleh itu Allah sangat memberkati mereka.

[34] Tidak seorang pun di kalangan mereka kekurangan apa-apa. Mereka yang memiliki tanah atau rumah, menjual harta mereka. Lalu mereka menyerahkan hasil penjualan itu kepada rasul-rasul.

[35] Kemudian wang itu dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang memerlukannya.

[36] Begitu juga halnya dengan Yusuf. Dia seorang keturunan Lewi yang lahir di Siprus. Rasul-rasul juga menyebut dia Barnabas (yang bererti Penggalak.)

[37] Dia menjual sebidang tanah yang dimilikinya, lalu membawa dan menyerahkan wangnya kepada rasul-rasul itu.

Kisah Rasul-Rasul — Chapters