Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:39

[1] Pada suatu hari, Petrus dan Yohanes pergi ke Rumah Tuhan pada pukul tiga petang, iaitu masa berdoa.

[2] Di situ, di pintu yang disebut Pintu Indah, ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak dia dilahirkan. Tiap-tiap hari dia dibawa ke situ untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Rumah Tuhan.

[3] Apabila dia nampak Petrus dan Yohanes sedang masuk ke Rumah Tuhan, dia meminta sedekah daripada mereka.

[4] Mereka memandang dia, lalu Petrus berkata, “Pandanglah kami!”

[5] Kemudian orang itu memandang mereka dan berharap akan mendapat sesuatu daripada mereka.

[6] Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!”

[7] Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat.

[8] Lalu dia melompat bangun, dan mula berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia masuk ke Rumah Tuhan bersama-sama Petrus dan Yohanes, sambil berjalan dan melompat-lompat serta memuji Allah.

[9] Semua orang melihat dia berjalan dan memuji Allah.

[10] Apabila mereka mengenali dia sebagai peminta sedekah yang biasa duduk di hadapan Pintu Indah di Rumah Tuhan, mereka hairan dan kagum melihat apa yang berlaku kepadanya.

[11] Orang itu masih mengikuti Petrus dan Yohanes. Apabila mereka tiba di serambi yang disebut Serambi Salomo, semua orang berlari mengerumuni mereka kerana kagum.

[12] Apabila Petrus melihat orang ramai itu, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Israel, mengapa saudara semua hairan akan perkara ini? Mengapa saudara-saudara merenung kami? Adakah saudara-saudara menyangka bahawa orang ini boleh berjalan kerana kuasa kami atau kerana kami taat kepada Allah?

[13] Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, Yakub, dan nenek moyang kita, sudah mempermuliakan Hamba-Nya, Yesus. Yesus itulah yang saudara-saudara serahkan kepada pihak berkuasa, dan yang saudara-saudara tolak di hadapan Pilatus, meskipun Pilatus hendak membebaskan Dia.

[14] Dia suci dan baik, tetapi saudara-saudara menolak Dia dan meminta Pilatus melepaskan seorang pembunuh.

[15] Saudara-saudara membunuh Dia yang memberikan hidup sejati kepada semua orang! Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian, dan kami menyaksikan perkara itu.

[16] Dengan kuasa Yesus orang lumpuh ini dikuatkan. Apa yang saudara-saudara lihat dan saksikan ini berlaku kerana dia percaya kepada Yesus dan kuasa-Nya. Kerana orang itu percaya kepada Yesus, dia sembuh, seperti yang sudah saudara-saudara lihat sendiri.

[17] Saudara-saudara, sekarang saya tahu, bahawa apa yang saudara-saudara dan para pemimpin saudara lakukan terhadap Yesus, tidak saudara-saudara fahami maknanya.

[18] Dahulu kala melalui nabi-nabi, Allah memberitahu bahawa Penyelamat yang diutus-Nya harus menderita. Demikianlah perkara itu berlaku seperti yang dikehendaki-Nya.

[19] Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa dan kembalilah kepada Allah, supaya Dia menghapus dosa saudara-saudara.

[20] Jika saudara-saudara bertaubat, saudara sekalian akan mengalami kesegaran rohani. Tuhan akan menyuruh Yesus datang kepada saudara-saudara, kerana Dia sudah ditetapkan oleh Tuhan untuk menjadi Penyelamat saudara-saudara.

[21] Dia harus tinggal di syurga sehingga tiba masanya bagi Allah menjadikan semuanya baru, seperti yang difirmankan oleh Allah melalui nabi-nabi-Nya yang suci pada zaman dahulu.

[22] Musa pernah berkata, ‘Tuhan, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu seperti Dia mengutus aku. Nabi itu akan datang daripada bangsa kamu sendiri. Kamu harus mendengar semua yang dikatakan-Nya.

[23] Sesiapa yang tidak mahu mentaati kata-kata nabi itu, akan disingkirkan daripada umat Allah dan dibinasakan.’

[24] Semua nabi yang menyampaikan berita daripada Allah, termasuk Nabi Samuel dan nabi-nabi yang kemudian daripadanya, memberitakan apa yang berlaku pada zaman ini.

[25] Janji-janji Allah yang disampaikan oleh nabi-nabi itu untuk saudara-saudara juga. Dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan nenek moyang saudara-saudara, Allah berfirman kepada Abraham, ‘Melalui keturunanmu Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.’ Perjanjian itu untuk saudara-saudara juga.

[26] Demikianlah Allah memilih dan mengutus Hamba-Nya kepada saudara-saudara terlebih dahulu untuk memberkati saudara sekalian. Dia berbuat demikian dengan menyebabkan saudara sekalian bertaubat daripada cara hidup yang jahat.”

Kisah Rasul-Rasul — Chapters