Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:11

[1] Tuhan berfirman kepada Musa,

[2] "Perintahkanlah orang Israel dan katakan kepada mereka, 'Apabila kamu telah memasuki Tanah Kanaan, maka itulah negeri yang akan menjadi harta pusakamu, iaitu Tanah Kanaan menurut semua perbatasannya.

[3] Sempadan selatanmu ialah dari Gurun Zin berpinggirkan Edom. Batas selatanmu dari hujung Laut Mati ke arah timur,

[4] kemudian membelok ke selatan Tanjakan Akrabim, dan menyeberangi ke Zin, dan berakhir di sebelah selatan Kadesh-Barnea. Dari situ perbatasan berlanjutan ke Hazar-Adar dan terus ke Azmon,

[5] lalu dari Azmon membelok ke Wadi Mesir dan berakhir di laut.

[6] Sempadan barat wilayah kamu ialah Laut Besar dan sepanjang pesisirnya. Itulah sempadan barat kamu.

[7] Bagi sempadan utara kamu, tentukanlah tanda perbatasan dari Laut Besar ke Gunung Hor,

[8] lalu dari Gunung Hor ke jalan masuk menuju Hamat, hingga berakhir di Zedad.

[9] Kemudian perbatasan menjalar ke Zifron dan berakhir di Hazar-Enan. Itulah perbatasan utara kamu.

[10] Tentukanlah tanda sempadan kamu di sebelah timur dari Hazar-Enan ke Sefam.

[11] Dari Sefam perbatasan menurun ke Ribla, di sebelah timur Ain, kemudian menurun lagi hingga sampai ke lereng Danau Kineret di sebelah timur.

[12] Selanjutnya batas turun ke Sungai Yordan dan berakhir di Laut Mati. Itulah negerimu dengan perbatasan yang mengelilinginya.' "

[13] Musa memberikan perintah kepada orang Israel, "Itulah negeri yang akan kamu warisi dengan mencabut undi. Tuhan memerintahkan agar negeri itu diberikan kepada suku yang sembilan setengah itu,

[14] kerana setiap kaum keluarga dalam suku bani Ruben, dan setiap kaum keluarga dalam suku bani Gad telah menerima harta pusaka mereka, demikian jugalah halnya dengan separuh suku Manasye.

[15] Kedua-dua suku serta setengah suku itu telah menerima harta pusaka mereka di seberang Sungai Yordan dekat Yerikho, iaitu di sebelah timur, ke arah matahari terbit."

[16] Tuhan berfirman kepada Musa,

[17] "Inilah nama orang yang harus membahagi-bahagikan negeri itu antaramu sebagai harta pusaka, iaitu Imam Eleazar dan Yosua anak Nun.

[18] Kemudian ambillah seorang pemimpin daripada setiap suku untuk membahagikan negeri itu sebagai harta pusaka.

[19] Inilah nama-nama mereka: Kaleb anak Yefune, daripada suku Yehuda;

[20] Samuel anak Amihud, daripada suku bani Simeon;

[21] Elidad anak Kislon, daripada suku Benyamin;

[22] Buki anak Yogli, seorang pemimpin daripada suku bani Dan;

[23] Haniel anak Efod, seorang pemimpin daripada suku bani Manasye, keturunan Yusuf;

[24] dan Kemuel anak Siftan, seorang pemimpin daripada suku bani Efraim, keturunan Yusuf;

[25] Elisafan anak Parnah, seorang pemimpin daripada suku bani Zebulon;

[26] Paltiel anak Azan, seorang pemimpin daripada suku bani Isakhar;

[27] Ahihud anak Selomi, seorang pemimpin daripada suku bani Asyer;

[28] Pedael anak Amihud, seorang pemimpin daripada suku bani Naftali.

[29] Itulah orang yang diperintahkan Tuhan untuk membahagi-bahagikan harta pusaka di Tanah Kanaan kepada orang Israel."

Bilangan — Chapters