Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:04

[1] Kata Bileam kepada Balak, "Dirikanlah bagiku di sini tujuh buah mazbah, iaitu tempat pembakaran korban, dan sediakanlah bagiku di sini tujuh ekor lembu jantan serta tujuh ekor domba jantan."

[2] Balak melakukan seperti yang dikatakan Bileam, lalu Balak dan Bileam mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas setiap mazbah itu.

[3] Setelah itu Bileam berkata kepada Balak, "Berdirilah di samping korban bakaranmu sementara aku pergi. Mungkin Tuhan akan datang menemuiku, dan apa-apa pun yang dinyatakan-Nya kepadaku akan kuberitahukan kepadamu." Lalu pergilah dia ke sebuah bukit yang gondol.

[4] Allah menemui Bileam, dan Bileam berkata kepada-Nya, "Aku telah mengatur tujuh buah mazbah, dan di atas setiap mazbah itu telah kupersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan."

[5] Tuhan pun memberitahukan kepada Bileam apa yang harus dikatakannya lalu berfirman, "Kembalilah kepada Balak dan katakanlah demikian."

[6] Ketika Bileam kembali kepadanya, tampak Balak masih berdiri di samping korban bakarannya, disertai semua pembesar Moab.

[7] Kemudian Bileam mengungkap ucapannya: "Dari Aram, dari gunung-gunung wilayah timur, aku dijemput oleh Balak, raja Moab. Katanya, 'Datanglah, kutuklah Yakub bagiku. Datanglah, kecamlah Israel.'

[8] Bagaimana mungkin aku mengutuk yang tidak dikutuk Allah? Bagaimana mungkin aku mengecam yang tidak dikecam Tuhan?

[9] Dari puncak gunung batu aku melihat mereka, dari atas bukit aku memandang mereka. Lihat, suatu bangsa yang diam tersendiri dan tidak mahu diperhitungkan antara kalangan bangsa.

[10] Siapa dapat memperhitungkan debu Yakub, atau membilang seperempat bahagian daripada orang Israel? Biarlah aku mati seperti matinya orang jujur, dan biarlah kesudahan aku seperti kesudahan mereka."

[11] Maka kata Balak kepada Bileam, "Apakah yang kaulakukan terhadapku? Aku menjemput kamu supaya kamu mengutuk musuhku, tetapi kamu malah mengucapkan berkat ke atas mereka."

[12] Jawabnya, "Bukankah aku harus berhati-hati supaya aku mengatakan apa yang diberitahukan Tuhan kepadaku?"

[13] Kemudian kata Balak kepadanya, "Mari pergi bersama-samaku ke tempat lain. Dari sana kamu dapat melihat mereka. Kamu akan melihat sebahagian sahaja daripada mereka, tidak semuanya. Kutuklah mereka untukku dari sana."

[14] Dibawanya Bileam ke Padang Zofim, ke puncak Gunung Pisga. Di situ dia mendirikan tujuh buah mazbah, dan di atas setiap mazbah itu dipersembahkannya seekor lembu jantan dan seekor domba jantan.

[15] Bileam pun berkata kepada Balak, "Berdirilah di sini, di samping korban bakaranmu, sementara aku bertemu dengan Tuhan di sana."

[16] Lalu Tuhan menemui Bileam, memberitahukan kepadanya apa yang harus dikatakannya dan berfirman, "Kembalilah kepada Balak dan katakanlah demikian."

[17] Ketika dia sampai kepada Balak, tampak Balak masih berdiri di samping korban bakarannya disertai orang besar Moab. Balak bertanya kepadanya, "Apakah yang difirmankan Tuhan?"

[18] Bileam pun berwacana, katanya, "Marilah, hai Balak, dengarlah. Perhatikanlah aku, hai anak Zipor.

[19] Allah bukanlah manusia sehingga Dia berbohong, bukan anak manusia sehingga Dia menyesal dan berubah fikiran. Jika Dia berfirman, masakan Dia melakukannya? Jika Dia berbicara, tidak akankah Dia laksanakannya?

[20] Sesungguhnya, aku menerima perintah untuk mengucapkan berkat. Jika Dia memberkati, aku tidak dapat mengubahnya.

[21] Tidak dilihat-Nya kejahatan pada Yakub, kezaliman pun tidak nampak pada Israel. Tuhan, Allah mereka, menyertai mereka dan sorak seorang Raja ada dalam kalangan mereka.

[22] Allah, yang membawa orang itu keluar dari Mesir, dan Dialah seperti tanduk lembu liar bagi mereka.

[23] Sesungguhnya, tidak ada mantera yang ampuh terhadap Yakub, tidak ada tenungan yang menawan Israel. Pada waktunya akan dikatakan tentang Yakub dan tentang Israel, 'Lihat, apa yang dikerjakan Allah!'

[24] Lihat, bangsa itu bangkit seperti singa betina, dan berdiri tegak seperti singa jantan. Mereka tidak akan berbaring sebelum memakan mangsanya dan meminum darah daripada yang dibunuhnya."

[25] Maka kata Balak kepada Bileam, "Jika kamu sekali-kali tidak mahu mengutuk mereka, janganlah sekali-kali kauucapkan berkat ke atas mereka!"

[26] Tetapi jawab Bileam kepada Balak, "Bukankah telah kukatakan kepadamu bahawa semua yang difirmankan Tuhan akan kulakukan?"

[27] Balak berkata lagi kepada Bileam, "Mari pergi. Aku akan membawamu ke tempat lain. Siapa tahu Allah memperkenankan kamu mengutuk mereka untukku dari sana."

[28] Kemudian Balak membawa Bileam ke puncak Gunung Peor yang menghadap ke gurun.

[29] Kata Bileam kepada Balak, "Dirikanlah bagiku di sini tujuh buah mazbah, dan sediakanlah bagiku di sini tujuh ekor lembu jantan serta tujuh ekor domba jantan."

[30] Balak melakukan seperti yang dikatakan Bileam dan mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas setiap mazbah itu.

Bilangan — Chapters