Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:31

[1] Orang Farisi dan beberapa ahli Taurat yang datang dari Yerusalem berkumpul di keliling Yesus.

[2] Mereka melihat beberapa murid Yesus makan dengan tangan najis, iaitu tangan yang tidak dibasuh.

[3] (Orang Farisi malah semua orang Yahudi taat mengikut adat istiadat nenek moyang mereka. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditentukan.

[4] Apabila pulang dari pasar, mereka juga tidak akan makan sebelum membersihkan diri. Banyak lagi peraturan yang diamalkan oleh mereka, seperti hal membasuh cawan, kendi, dan bekas tembaga.)

[5] Oleh itu, orang Farisi dan ahli Taurat di situ bertanya kepada Yesus, "Mengapakah murid-Mu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang najis?"

[6] Yesus menjawab, "Tepat sekali kata-kata Yesaya dalam nubuatnya tentangmu, hai orang munafik; seperti yang tersurat: 'Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.

[7] Sia-sialah mereka beribadat kepada-Ku; sedangkan ajaran yang diajarkan mereka ialah peraturan manusia.'

[8] "Kamu mengetepikan perintah Allah untuk menurut adat istiadat manusia."

[9] Yesus berkata lagi: "Kamu sungguh pandai menyingkirkan perintah Allah untuk menegakkan adat istiadatmu sendiri!

[10] Musa menyampaikan perintah ini, 'Hormatilah ibu bapamu' dan 'Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.'

[11] Tetapi kamu mengajar: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, 'Apa yang harus kugunakan untuk membantu ayah dan ibu, sudah kujadikan korban' (iaitu telah dipersembahkan kepada Allah),

[12] maka orang itu tidak perlu menolong ibu bapa.

[13] Jadi, adat istiadat yang kamu sampaikan membatalkan firman Allah. Banyak lagi perkara sedemikian yang kamu lakukan."

[14] Yesus memanggil orang ramai itu lagi lalu berkata kepada mereka, "Kamu semua, dengarlah kepada-Ku dan fahamlah.

[15] Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya.

[16] Jika kamu bertelinga, dengarlah!"

[17] Setelah Yesus meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, murid-murid-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu.

[18] Yesus berkata kepada mereka, "Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya?

[19] Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula." (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.)

[20] Kata-Nya lagi: "Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya

[21] kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh,

[22] berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh.

[23] Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang."

[24] Kemudian Yesus pergi dari situ ke kawasan berdekatan kota Tirus, lalu masuk ke sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu Dia ada di situ tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri.

[25] Ibu kepada seorang anak perempuan yang dirasuk roh jahat telah mendengar tentang Yesus lalu segera datang kepada-Nya dan sujud di hadapan-Nya.

[26] Wanita itu seorang Yunani, dia berasal dari daerah Fenisia di Siria. Dia memohon Yesus menghalau roh iblis yang merasuk anaknya.

[27] Yesus menjawab, "Anak-anak harus diberi makan dahulu. Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing."

[28] "Benar, Tuan," jawab wanita itu, "tetapi anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak."

[29] Maka Yesus berkata kepadanya, "Kerana jawapanmu itu, pulanglah. Roh iblis sudah keluar daripada tubuh anakmu."

[30] Apabila ibu itu pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sedang berbaring di katil dan tidak lagi dirasuk roh iblis.

[31] Selepas itu Yesus meninggalkan daerah Tirus, meneruskan perjalanan ke Laut Galilea melalui Sidon, ke tengah-tengah daerah Sepuluh Kota.

[32] Di sana seorang bisu tuli dibawa kepada-Nya dengan permohonan agar Yesus meletakkan tangan padanya.

[33] Yesus membawanya ke samping, jauh daripada orang ramai itu, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Kemudian Dia meludah dan menyentuh lidah orang itu.

[34] Selepas itu, Dia menengadah ke langit lalu menarik nafas panjang dan berkata kepada orang itu, "Efata!" (ertinya "Terbukalah!").

[35] Serta-merta telinga orang itu terbuka dan lidahnya pulih, lalu dia bertutur dengan baik.

[36] Yesus melarang semua yang hadir menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Yesus melarang, semakin mereka menceritakannya.

[37] Mereka sungguh hairan dan berkata, "Dia melakukan segala-galanya dengan baik sekali. Dia membolehkan orang tuli mendengar dan orang bisu berkata-kata."

Markus — Chapters