[1] Lalu sampailah mereka di seberang laut, di daerah Gerasa.
[2] Sebaik-baik Yesus turun dari perahu, seorang lelaki yang kerasukan roh jahat keluar dari perkuburan lalu menemui-Nya.
[3] Orang itu tinggal di gua kubur. Tiada siapa terdaya mengikatnya lagi, meskipun dengan rantai.
[4] Berkali-kali dia dirantai dan dibelenggu, tetapi dapat diputuskannya rantai itu dan dipatahkannya belenggu itu. Tiada seorang pun dapat menguasainya.
[5] Siang malam dia merayau di perkuburan dan di bukit, sambil menjerit-jerit dan mencederakan badannya dengan batu.
[6] Dari jauh dia melihat Yesus lalu lari mendekati-Nya dan sujud di hadapan-Nya.
[7] Orang itu berseru dengan suara keras, "Ya Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi, apa urusan-Mu dengan aku? Demi Allah, jangan seksa aku!"
[8] Kerana sebelumnya Yesus berkata kepadanya, "Roh jahat, keluarlah kamu daripada orang ini!"
[9] Kemudian Yesus bertanya kepadanya, "Siapakah namamu?" Orang itu menjawab, "Legion, kerana kami ini ramai sekali."
[10] Dia memohon sungguh-sungguh kepada Yesus supaya tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu.
[11] Berdekatan tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit.
[12] Roh-roh iblis itu memohon kepada Yesus, "Suruhlah kami pindah kepada babi itu, biarlah kami masuk ke dalam tubuh babi itu."
[13] Yesus bersetuju, lalu roh-roh jahat itu keluar dan masuk ke dalam tubuh kawanan babi itu. Kesemua babi itu, kira-kira dua ribu ekor, terjun dari tepi cenuram ke dalam laut lalu mati lemas.
[14] Penjaga-penjaga babi itu lari lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di desa. Para penduduk pun keluar hendak melihat apa yang telah terjadi.
[15] Mereka menghampiri Yesus lalu melihat orang yang tadinya dirasuk legion daripada roh iblis itu, kini duduk diam, sudah berpakaian dan ternyata siuman. Mereka semua pun ketakutan.
[16] Semua yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan segala-galanya tentang orang yang kerasukan roh iblis dan kawanan babi itu.
[17] Oleh itu, mereka meminta Yesus meninggalkan daerah itu.
[18] Ketika Yesus menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh iblis itu memohon kepada-Nya, supaya dia dibenarkan menyertai-Nya.
[19] Tetapi Yesus tidak membenarkannya, sebaliknya berkata, "Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu. Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan kepada kamu."
[20] Orang itu pun mula menjelajahi daerah sepuluh kota dan menceritakan segala yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. Mereka semua kehairanan.
[21] Setelah itu, Yesus kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali.
[22] Datanglah seorang bernama Yairus, ketua saumaah di situ. Ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan-Nya
[23] dan merayu, "Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup."
[24] Yesus pun pergi bersama Yairus. Begitu ramainya orang yang mengikut Yesus sehingga Dia diasak dari semua pihak.
[25] Di situ ada seorang wanita yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun.
[26] Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, tetapi semakin parah keadaannya.
[27] Wanita itu telah banyak mendengar tentang Yesus. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Yesus dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya.
[28] "Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya," kata wanita itu, "tentu aku akan sembuh."
[29] Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan badannya sudah sembuh.
[30] Pada saat itu Yesus sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, "Siapa yang menyentuh jubah-Ku?"
[31] Para murid-Nya berkata, "Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?"
[32] Tetapi Yesus memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu.
[33] Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Yesus serta menceritakan segala-galanya.
[34] Yesus berkata kepadanya, "Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu."
[35] Sedang Yesus berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, "Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Guru lagi."
[36] Yesus tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada ketua saumaah, "Jangan takut, percaya sahaja."
[37] Lalu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yohanes, saudara Yakobus.
[38] Apabila tiba di rumah ketua saumaah, Yesus melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat.
[39] Yesus masuk lalu berkata kepada mereka, "Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur."
[40] Tetapi mereka mentertawakan Yesus. Setelah menyuruh mereka semua keluar, Yesus mengajak ibu bapa anak itu dan murid-murid-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring.
[41] Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, "Talitha kum!" (maksudnya, "Anak perempuan, Aku berkata kepadamu, bangunlah!").
[42] Anak perempuan yang berusia dua belas tahun itu segera bangkit lalu berjalan. Mereka semua sungguh kagum.
[43] Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa tentang perkara itu, lalu menyuruh mereka memberi anak itu makan.