Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:48

[1] Yesus penuh dengan Roh Kudus, kembali dari Sungai Yordan dan dipimpin oleh Roh ke padang gurun.

[2] Selama empat puluh hari, Dia digoda oleh Iblis. Sepanjang masa itu, Dia tidak makan apa-apa. Sesudahnya semua itu, Dia berasa kelaparan.

[3] Lalu Iblis berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti."

[4] Yesus menjawab, "Telah tersurat, 'Manusia hidup bukan dengan roti sahaja.' "

[5] Iblis membawa Yesus ke satu tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, Iblis menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia.

[6] Iblis berkata kepada-Nya, "Segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya akan kuberikan kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka.

[7] Jadi, jika Engkau menyembahku, semuanya itu akan menjadi kepunyaan-Mu."

[8] Tetapi Yesus menjawab, "Telah tersurat, 'Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.' "

[9] Kemudian, Iblis membawa Yesus ke Yerusalem lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Suci dan berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, terjunlah dari sini,

[10] kerana telah tersurat, 'Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk menjaga-Mu

[11] dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.' "

[12] Tetapi Yesus menjawab, "Ada dikatakan, 'Janganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu.' "

[13] Setelah Iblis selesai menggoda Yesus, dia meninggalkan-Nya untuk sementara waktu.

[14] Yesus kembali ke Galilea dalam kuasa Roh. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu.

[15] Dia mengajar di saumaah mereka dan semua orang memuji-muji-Nya.

[16] Yesus kembali ke Nazaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat Dia pergi ke saumaah seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci.

[17] Kitab Nabi Yesaya diberikan kepada Yesus dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat:

[18] "Roh Tuhan ada pada-Ku kerana Dia telah mengurapi Aku untuk memberitakan khabar baik kepada orang miskin; Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, penyembuhan kepada orang buta, kelepasan bagi orang yang tertindas,

[19] dan mengisytiharkan tahun keredaan Tuhan!"

[20] Yesus menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya.

[21] Yesus mula berucap kepada mereka, "Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah terlaksana ketika kamu mendengarnya."

[22] Semua orang menyanjung Dia dan mengagumi kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, "Bukankah Dia anak Yusuf?"

[23] Yesus berkata kepada mereka, "Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, 'Tuan tabib, ubati diri-Mu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.' "

[24] Yesus menambah, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri.

[25] Dengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Elia tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, dan terjadilah bencana kebuluran di seluruh negeri itu.

[26] Tetapi Elia tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarfat di Sidon.

[27] Demikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Elisa tetapi tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang ditahirkan melainkan Naaman, orang Siria."

[28] Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang.

[29] Mereka bangun lalu mengusir Yesus dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah.

[30] Tetapi Yesus berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.

[31] Kemudian Yesus pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat.

[32] Mereka kagum dengan ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya penuh wibawa.

[33] Di dalam saumaah itu ada seorang yang dirasuk oleh roh iblis yang durjana. Dia menjerit dengan nyaring,

[34] "Ah, apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Yesus orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah!"

[35] Yesus membentak roh iblis itu, "Diam! Keluar daripada dia!" Roh iblis itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya.

[36] Mereka semua tercengang dan berkata sesama sendiri, "Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan penuh wibawa dan kuasa Dia memerintah roh-roh jahat itu, mereka terus keluar."

[37] Maka perkhabaran tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu.

[38] Yesus meninggalkan saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas, dan mereka memohon kepada Yesus untuk menolongnya.

[39] Yesus berdiri di tepi katilnya dan membentak demam itu lalu deman itu pun hilang. Ibu mertua Simon segera bangun dan melayan mereka.

[40] Ketika matahari sedang terbenam, semua orang yang menghidap pelbagai penyakit dibawa kepada Yesus. Dia meletakkan tangan-Nya pada setiap orang dan menyembuhkan mereka.

[41] Roh-roh iblis juga keluar daripada ramai orang dan berteriak, "Engkaulah Anak Allah." Yesus memarahi roh-roh iblis itu dan tidak mengizinkan mereka bercakap kerana mereka mengetahui Dialah Kristus.

[42] Ketika fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu dan pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia, dan apabila mereka menemui-Nya, mereka cuba menahan-Nya daripada meninggalkan mereka.

[43] Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Aku harus mengkhabarkan berita baik tentang kerajaan Allah di kota-kota lain juga. Sebab untuk tujuan inilah, maka Aku diutus."

[44] Maka, Dia berkhutbah di saumaah di Yudea.

Lukas — Chapters