[1] Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu Perayaan Paskah, telah menjelang.
[2] Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu.
[3] Kemudian, Iblis memasuki Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas murid Yesus.
[4] Lalu Yudas pergi kepada ketua-ketua imam dan pengawal Bait Suci untuk membincangkan bagaimana dia dapat mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka.
[5] Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya.
[6] Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang untuk mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.
[7] Tibalah Perayaan Roti Tidak Beragi. Pada hari itu domba Paskah harus disembelih untuk jamuan Paskah.
[8] Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, "Pergilah sediakan jamuan Paskah untuk kita."
[9] Mereka bertanya kepada Yesus, "Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?"
[10] Yesus menjawab, "Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya
[11] lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, 'Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?'
[12] Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas yang lengkap dengan perabot. Di situlah kamu sediakan jamuan Paskah."
[13] Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah.
[14] Apabila tiba masanya, Yesus pun duduk bertelekan di meja bersama rasul-rasul yang dua belas itu.
[15] Lalu Yesus berkata kepada mereka, "Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paskah ini bersama kamu sebelum Aku menderita.
[16] Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paskah dinyatakan dalam kerajaan Allah."
[17] Setelah itu, Yesus mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, "Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu.
[18] Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah kerajaan Allah datang."
[19] Kemudian Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan roti itu dan memberikannya kepada murid-murid-Nya, sambil berkata, "Inilah tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku."
[20] Demikian juga, sesudah makan, Dia mengambil cawan sambil berkata, "Cawan ini perjanjian baru dengan darah-Ku yang ditumpahkan bagimu.
[21] Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini.
[22] Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!"
[23] Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah antara mereka yang akan berbuat demikian.
[24] Satu perselisihan timbul dalam kalangan murid itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar.
[25] Yesus berkata kepada mereka, "Raja-raja bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan mereka yang melaksanakan kekuasaan digelar pembawa kebajikan kepada rakyat.
[26] Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar dalam kalanganmu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan seorang ketua haruslah melayan yang lain.
[27] Siapakah yang lebih besar – orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan.
[28] Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku.
[29] Aku memberikan hak kerajaan kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku.
[30] Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel."
[31] "Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum.
[32] Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu."
[33] Petrus berkata kepada Yesus, "Tuhan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama."
[34] Yesus menjawab, "Aku berkata kepadamu, Petrus, sebelum ayam berkokok pada hari ini, kamu akan menyangkal bahawa kamu mengenal Aku sebanyak tiga kali."
[35] Yesus berkata kepada mereka, "Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?" Mereka menjawab, "Satu pun tidak."
[36] Yesus berkata lagi, "Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah.
[37] Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: 'Dia tergolong bersama dengan penjahat.' Sebabnya apa yang tersurat tentang Aku akan terlaksana."
[38] Murid-murid itu berkata, "Tengoklah Tuhan, di sini ada dua bilah pedang!" Yesus berkata, "Cukuplah!"
[39] Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Murid-murid-Nya pergi bersama Dia.
[40] Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, "Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda."
[41] Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa.
[42] "Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan."
[43] Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya.
[44] Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.
[45] Yesus bangun daripada berdoa, dan kembali kepada murid-murid-Nya. Dia mendapati mereka tertidur kerana sangat sedih.
[46] Dia berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda."
[47] Ketika Yesus masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang dua belas murid-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Yesus untuk mencium-Nya.
[48] Yesus berkata kepadanya, "Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Anak Manusia?"
[49] Apabila murid-murid Yesus melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Yesus, "Tuhan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?"
[50] Seorang daripada mereka menyerang hamba imam besar, dan menetaknya sehingga terputus telinga kanannya.
[51] Tetapi Yesus berkata, "Biarkanlah mereka." Lalu Yesus menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.
[52] Kemudian Yesus berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, "Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun?
[53] Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam Bait Suci, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan."
[54] Setelah menangkap Yesus, mereka membawa Dia ke rumah imam besar. Petrus pun mengikut dari jauh.
[55] Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka.
[56] Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, "Orang ini juga bersama Dia."
[57] Tetapi Petrus menyangkal katanya, "Perempuan, aku tidak mengenal Dia!"
[58] Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, "Ya, engkau seorang daripada mereka itu." Tetapi Petrus menjawab, "Bukan, aku bukan!"
[59] Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, "Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea."
[60] Tetapi Petrus berkata, "Aku tidak memahami apa yang kaukatakan." Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok.
[61] Tuhan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Tuhan kepadanya bahawa, "Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali."
[62] Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya.
[63] Orang yang mengawal Yesus mengejek dan memukul Dia.
[64] Mereka menutupi mata Yesus dan bertanya, "Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!"
[65] Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya.
[66] Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat bermesyuarat, dan Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata,
[67] "Jika Engkau Kristus, katakanlah kepada kami." Yesus berkata kepada mereka, "Jika Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga.
[68] Dan jika Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab.
[69] Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa."
[70] Mereka semua bertanya, "Kalau begitu, Engkaulah Anak Allah?" Yesus berkata kepada mereka, "Benarlah katamu."
[71] Mereka berkata, "Apa perlunya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!"