Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:04

[1] Maka setelah seluruh umat Israel selesai menyeberangi Sungai Yordan, berfirmanlah Tuhan kepada Yosua,

[2] "Pilihlah dua belas orang daripada umat, seorang daripada setiap suku.

[3] Perintahkanlah mereka demikian, 'Angkatlah dua belas biji batu dari sini, dari tengah-tengah Sungai Yordan ini, tempat para imam itu berdiri teguh. Bawalah semua batu itu menyeberang bersama-samamu, dan letakkanlah di tempat kamu bermalam pada malam ini.' "

[4] Maka Yosua memanggil dua belas orang yang telah disiapkannya daripada kalangan orang Israel, seorang daripada setiap suku.

[5] Kata Yosua kepada mereka, "Menyeberanglah di depan tabut Tuhan, Allahmu, ke tengah-tengah Sungai Yordan. Pikullah sebiji batu di atas bahu masing-masing menurut jumlah suku orang Israel

[6] supaya batu-batu itu menjadi tanda antaramu. Apabila anak-anakmu bertanya pada kemudian hari, 'Apakah erti batu-batu itu bagi kamu?'

[7] maka katakanlah kepada mereka bahawa air Sungai Yordan terputus di depan tabut perjanjian Tuhan. Ketika tabut itu menyeberangi Sungai Yordan, air Sungai Yordan terputus. Batu-batu itu akan menjadi tanda peringatan bagi orang Israel untuk selama-lamanya."

[8] Orang Israel melakukan apa yang diperintahkan Yosua. Mereka mengangkat dua belas biji batu dari tengah-tengah Sungai Yordan menurut jumlah suku orang Israel, seperti yang difirmankan Tuhan kepada Yosua. Mereka membawa semuanya menyeberang ke tempat mereka bermalam, lalu mereka meletakkannya di sana.

[9] Yosua mendirikan pula dua belas batu di tengah-tengah Sungai Yordan, di tempat kaki para imam pengusung tabut perjanjian itu berdiri. Batu-batu itu masih ada di sana sampai hari ini.

[10] Para imam pengusung tabut itu terus berdiri di tengah-tengah Sungai Yordan sehingga segala sesuatu yang diperintahkan Tuhan kepada Yosua untuk disampaikan kepada bangsa itu selesai dilaksanakan, sebagaimana yang diperintahkan Musa kepada Yosua. Selepas itu, bergegaslah umat itu menyeberang.

[11] Sesudah selesai penyeberangan seluruh umat itu, menyeberanglah para imam berserta tabut Tuhan di hadapan umat itu.

[12] Bani Ruben, bani Gad, dan separuh suku iaitu Manasye, menyeberang dengan bersenjata lengkap di hadapan orang Israel, seperti yang dipesankan Musa kepada mereka.

[13] Kira-kira empat puluh ribu orang yang siap sedia untuk bertempur menyeberang di hadapan hadirat Tuhan ke dataran Yerikho untuk berperang.

[14] Pada hari itu juga Tuhan membuat Yosua kelihatan besar di mata semua orang Israel. Mereka hormat kepadanya, sebagaimana mereka hormat kepada Musa seumur hidupnya.

[15] Firman Tuhan kepada Yosua,

[16] "Perintahkanlah para imam pengusung tabut loh hukum itu untuk keluar dari Sungai Yordan."

[17] Maka Yosua memberikan perintah kepada para imam itu, "Keluarlah dari Sungai Yordan."

[18] Ketika para imam pengusung tabut perjanjian Tuhan itu keluar dari tengah-tengah Sungai Yordan, dan ketika telapak kaki para imam memijak daratan, maka air Sungai Yordan itu kembali ke tempatnya semula dan mengalir melimpahi pinggirnya seperti sebelumnya.

[19] Orang Israel keluar dari Sungai Yordan pada hari kesepuluh pada bulan pertama lalu berkhemahlah mereka di Gilgal, di sempadan timur Yerikho.

[20] Lalu Yosua mendirikan dua belas biji batu yang diambil mereka dari Sungai Yordan di Gilgal.

[21] Katanya kepada orang Israel, "Jika pada kemudian hari anak-anakmu bertanya kepada ayah mereka, 'Apakah erti batu-batu ini?'

[22] maka beritahulah anak-anakmu begini, 'Dulu orang Israel menyeberangi Sungai Yordan ini di atas tanah yang kering.'

[23] Tuhan, Allahmu, telah mengeringkan air Sungai Yordan di depanmu sehingga kamu dapat menyeberanginya, sama seperti ketika Tuhan, Allahmu, mengeringkan Laut Merah, di hadapan kita sehingga kita dapat menyeberanginya.

[24] Hal itu dilakukan-Nya supaya segala bangsa di bumi ini tahu bahawa tangan Tuhan itu kuat, dan supaya kamu sentiasa takut kepada Tuhan, Allahmu."

Yosua — Chapters