Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:45

[1] Sekarang aku berkata bahawa waris, selagi dia masih kanak-kanak, tidak berbeza daripada hamba, walaupun dia tuan kepada segala miliknya.

[2] Dia di bawah kawalan para penjaga dan pengurus sehingga masa yang ditetapkan oleh bapanya.

[3] Demikianlah kita, ketika masih kanak-kanak, diperhamba menurut ajaran asas dunia.

[4] Tetapi apabila sampai waktunya, Allah telah menghantar Anak-Nya, yang dilahirkan melalui seorang perempuan, di bawah hukum Taurat,

[5] untuk menebus mereka yang di bawah hukum itu, supaya kita mendapat hak sepenuh sebagai anak.

[6] Dan kerana kamu anak-anak-Nya, Allah telah menghantar Roh Anak-Nya ke dalam hatimu, Roh yang berseru, "Abba, Bapa."

[7] Dengan demikian kamu bukan lagi hamba tetapi anak; dan sebagai anak, Allah telah menjadikan kamu waris-Nya.

[8] Dulu, ketika kamu belum mengenal Allah, kamu telah memperhambakan diri kepada tuhan-tuhan yang sebenarnya bukan tuhan.

[9] Tetapi sekarang, setelah kamu mengenal Allah – atau lebih tepat, dikenali Allah – mengapakah kamu berpaling semula kepada ajaran asas yang lemah dan serba kurang itu, dan ingin terbelenggu semula sebagai hamba kepadanya?

[10] Kamu mematuhi hukum tentang hari, bulan, musim dan tahun!

[11] Aku bimbang tentangmu, takut kalau-kalau aku berusaha untukmu dengan sia-sia.

[12] Saudara-saudara, aku meminta supaya kamu menjadi sepertiku, kerana dahulu aku pun seperti kamu. Kamu tidak pernah menganiayaku.

[13] Kamu tahu bahawa kerana kedaifan jasmani, aku mula-mula menyampaikan Injil kepadamu.

[14] Dan kamu tidak menghina atau menyingkirkan aku kerana cubaan jasmani yang kutanggung. Sebaliknya, kamu telah menyambutku seperti malaikat Allah, malah seperti Kristus Yesus.

[15] Betapakah berkat yang kamu nikmati ketika itu? Kerana aku bersaksi bahawa, kalau boleh, kamu rela mencungkil matamu sendiri dan memberikannya kepadaku.

[16] Adakah aku telah menjadi seterumu kerana aku menyatakan yang benar kepadamu?

[17] Mereka bersungguh-sungguh menawan hatimu, tetapi bukan dengan niat yang baik. Mereka hendak mengasingkan kamu, supaya kamu bersungguh-sungguh hendak menawan hati mereka.

[18] Memang elok bersungguh-sungguh dalam perkara yang baik, dan bukan hanya ketika aku ada bersamamu.

[19] Hai anak-anak kecilku, aku mengalami sengsara seperti hendak melahirkan kamu sekali lagi sehingga Kristus terbentuk dalam dirimu.

[20] Aku rindu hendak bersama kamu sekarang dan mengubah nada suaraku, kerana aku amat bimbang tentangmu!

[21] Katakan kepadaku, kamu yang ingin hidup di bawah hukum Taurat, tidakkah kamu dengar kata-kata hukum itu?

[22] Tersurat bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dengan hamba perempuan dan seorang lagi dengan perempuan merdeka.

[23] Anak dengan hamba perempuan itu dilahirkan sebagaimana kebiasaan manusia; tetapi anak dengan perempuan merdeka itu dilahirkan kerana janji.

[24] Ini adalah ibarat kerana dua perempuan itu mewakili dua perjanjian – satu daripada Gunung Sinai yang melahirkan anak-anak perhambaan, iaitu Hagar,

[25] kerana Hagar adalah Gunung Sinai di Tanah Arab, melambangkan Yerusalem yang ada sekarang, dan berada dalam perhambaan bersama anak-anaknya.

[26] Tetapi Yerusalem yang di atas adalah merdeka, dan ia ibu kepada kita semua.

[27] Kerana telah tersurat: "Bergembiralah, hai perempuan mandul, kamu yang tidak melahirkan anak; bersorak-sorailah, wahai kamu yang tidak pernah merasa sakit melahirkan anak; kerana perempuan yang sepi lara mempunyai lebih ramai anak daripada yang bersuami."

[28] Saudara-saudaraku, kita seperti Ishak, iaitu anak perjanjian.

[29] Tetapi, sebagaimana anak yang dilahirkan menurut jasad telah menganiaya anak yang dilahirkan menurut Roh, begitulah yang berlaku sekarang.

[30] Walau bagaimanapun, apakah yang dikatakan dalam Kitab Suci? "Singkirkan hamba perempuan itu dengan anaknya, kerana anak kepada hamba perempuan itu tidak akan menjadi waris bersama anak kepada perempuan merdeka."

[31] Dengan demikian, saudara-saudara, kita bukanlah anak kepada hamba perempuan, tetapi kepada perempuan yang merdeka.

Galatia — Chapters