Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:08

[1] Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menyihirkan kamu sedangkan di hadapan matamu Yesus Kristus telah jelas ditunjukkan tersalib?

[2] Hanya ini yang ingin kuketahui daripadamu: Adakah kamu menerima Roh Kudus kerana mengerjakan hukum Taurat, atau kerana percaya kepada Injil yang dikhabarkan?

[3] Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani?

[4] Adakah segala yang kamu deritai itu sia-sia sahaja – kalaulah sebenarnya sia-sia?

[5] Tuhan yang mengurniakan Roh-Nya kepadamu dan mengerjakan mukjizat dalam kalanganmu, adakah Dia melakukannya kerana kamu mengerjakan hukum Taurat, atau kerana kamu percaya Injil yang dikhabarkan?

[6] Samalah sebagaimana Abraham: "Dia mempercayai Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran."

[7] Oleh itu ketahuilah, hanya mereka yang beriman dianggap anak cucu Abraham.

[8] Oleh sebab telah diketahui bahawa Allah akan memperbenar bangsa asing melalui iman, Kitab Suci telah menyampaikan Injil itu kepada Abraham terlebih dahulu: "Melalui engkau, semua bangsa akan diberkati."

[9] Dengan demikian, semua orang yang beriman diberkati bersama Abraham yang beriman.

[10] Setiap orang yang bergantung kepada usahanya sendiri mengerjakan hukum Taurat adalah terlaknat, kerana sudah tersurat: "Terlaknatlah orang yang tidak terus-menerus melakukan segala yang tersurat dalam Hukum Kitab Taurat."

[11] Jelaslah bahawa tiada siapa pun diperbenar di mata Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, "Orang yang benar akan hidup dengan iman."

[12] Hukum Taurat tidak berdasarkan iman; tetapi, "Orang yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya."

[13] Kristus telah menebus kita daripada laknat hukum Taurat itu dengan menanggung laknat itu untuk kita, kerana telah tersurat: "Terlaknatlah setiap orang yang tergantung pada kayu salib."

[14] Dia menebus kita supaya berkat Abraham datang kepada bangsa asing melalui Kristus Yesus, dan kita menerima Roh yang dijanjikan itu melalui iman.

[15] Saudara-saudara, aku hendak menggunakan contoh daripada hidup sehari-hari. Walaupun suatu perjanjian hanya antara manusia, namun setelah ditetapkan, tiada siapa harus memansuhkannya atau menolak-tambah padanya, begitulah juga hal ini.

[16] Janji Allah telah dibuat kepada Abraham dan keturunannya. Kitab Suci tidak menyebut "dan kepada keturunan-keturunannya," dengan erti ramai orang, tetapi "dan kepada keturunanmu," yang bererti seorang sahaja, iaitu Kristus.

[17] Aku berkata bahawa hukum Taurat, yang datang 430 tahun kemudian, tidak dapat memansuhkan perjanjian yang telah ditetapkan dahulu oleh Allah atau menjadikan janji itu tidak sah lagi.

[18] Jika warisan itu daripada hukum Taurat, itu bukanlah lagi berdasarkan janji; tetapi Allah dalam kasih kurnia-Nya telah memberikannya kepada Abraham melalui janji.

[19] Kalau begitu, apakah tujuan hukum Taurat? Hukum itu ditambahkan kerana pelanggaran manusia. Hukum itu berterusan sehingga datangnya Benih yang dijanjikan itu, dan hukum itu diberikan melalui malaikat oleh seorang pengantara.

[20] Pengantara tidaklah menjadi pengantara bagi satu pihak sahaja; tetapi Allah itu esa.

[21] Jadi, adakah hukum Taurat itu berselisih dengan janji-janji Allah? Tidak sekali-kali! Kerana kalaulah ada hukum yang dapat memberikan kehidupan, tentulah perbenaran didapati melalui hukum itu.

[22] Namun demikian, Kitab Suci telah menentukan bahawa semuanya terbelenggu oleh dosa, supaya apa yang dijanjikan melalui iman dalam Yesus Kristus dapat diberikan kepada mereka yang percaya.

[23] Sebelum datangnya iman, kita dikawal oleh hukum Taurat, dikurung sementara menantikan iman yang akan dinyatakan kelak.

[24] Oleh itu, hukum Taurat ialah guru kita, yang membawa kita kepada Kristus untuk diperbenar oleh iman.

[25] Tetapi selepas datangnya iman, kita tidak lagi di bawah pengawasan hukum Taurat.

[26] Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman dalam Kristus Yesus.

[27] Dan semua antara kamu yang telah dibaptiskan dalam Kristus telah meliputi dirimu dengan Kristus.

[28] Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Kristus Yesus.

[29] Dan jika kamu milik Kristus, kamu ialah benih Abraham, dan menjadi waris menurut janji itu.

Galatia — Chapters