[1] Namun demikian, ada nabi-nabi palsu dalam kalangan umat Allah pada zaman dahulu. Di antaramu juga akan muncul guru-guru palsu yang secara rahsia membawa masuk ajaran sesat yang memusnahkan. Mereka tergamak menyangkal Tuhan yang telah menyelamatkan mereka, lalu mereka ditimpa kemusnahan dalam sekelip mata.
[2] Ramai orang akan mengikut cara mereka yang memalukan itu. Oleh itu, jalan yang benar akan dikufuri.
[3] Dengan tamak haloba, mereka akan memperalatkan kamu melalui kata-kata dusta. Hukuman untuk mereka sudah ditetapkan dan akan menimpa mereka.
[4] Allah tidak melepaskan malaikat yang berdosa daripada hukuman, tetapi menghumbankan mereka ke neraka dan membelenggu mereka dalam kegelapan untuk dihakimi kelak.
[5] Dan Allah juga tidak melepaskan dunia purba daripada hukuman. Allah hanya menyelamatkan Nuh, penyampai perbenaran dengan tujuh orang yang lain, ketika Dia mendatangkan air bah kepada semua manusia yang ingkar.
[6] Allah telah memusnahkan kota Sodom dan Gomora sehingga menjadi abu, membinasakan penduduknya sebagai contoh hukuman terhadap orang yang ingkar.
[7] Tetapi Allah menyelamatkan Lut, seorang yang benar, yang berdukacita kerana kelakuan cabul orang durjana
[8] (jiwa Lut yang benar terseksa dari hari ke hari melihat dan mendengar perlakuan liar orang di kelilingnya).
[9] Nyatalah bahawa Tuhan mengetahui cara menyelamatkan orang yang warak daripada godaan dan mengasingkan orang durjana untuk dihukum pada hari penghakiman,
[10] terutamanya mereka yang menurut hawa nafsu cabul dan menghina kekuasaan Allah. Mereka menganggap diri mereka besar dan mengikut kehendak sendiri semata-mata. Mereka tidak takut mencela makhluk yang adikudrati.
[11] Sedangkan para malaikat yang lebih kuat dan berkuasa tidak pernah mencela dan menuduh makhluk yang adikudrati itu di hadapan Tuhan.
[12] Tetapi mereka ini, seperti binatang buas yang dijadikan untuk ditangkap dan dibunuh, mencela hal-hal yang tidak difahami, maka mereka akan dibinasakan.
[13] Mereka akan menerima balasan perbuatan maksiat mereka seperti bersuka ria pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Mereka dipenuhi cacat cela dan bergembira memperdayamu sambil berjamu bersamamu.
[14] Mata mereka dipenuhi nafsu cabul dan sentiasa berdosa, menggoda orang yang goyah imannya, hati mereka dikuasai tamak haloba dan mereka anak-anak yang terlaknat.
[15] Mereka telah meninggalkan jalan yang benar lalu sesat mengikut jalan Bileam anak Bior, yang suka mendapat upah daripada kejahatan.
[16] Tetapi dia telah ditegur kerana perbuatan jahatnya oleh seekor keldai yang bercakap dengan suara manusia lalu menjauhkan Bileam daripada perbuatannya yang tidak waras.
[17] Mereka ini ibarat mata air yang kering dan kabus yang ditiup ribut. Kegelapan yang hitam pekat tersedia untuk mereka.
[18] Apabila mereka mengeluarkan kata-kata yang hebat tetapi kosong, mereka menggunakan hawa nafsu dan keinginan cabul untuk menggoda orang yang baru terlepas daripada golongan yang hidup sesat.
[19] Mereka menjanjikan kebebasan, sedangkan mereka sendiri hamba kebinasaan – kerana seseorang yang dikalahkan itu menjadi hamba kepada yang mengalahkannya.
[20] Sekiranya, seseorang telah terlepas daripada noda dunia dengan mengenal Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus, kemudian terjebak semula lalu tewas, maka keadaannya lebih buruk daripada sebelum dia mengenal Kristus.
[21] Lebih baiklah jika dia tidak mengenal jalan yang benar, daripada mengenalnya, dan kemudian membelakangi perintah suci yang telah disampaikan kepadanya.
[22] Yang terjadi kepadanya itu seperti kata pepatah yang benar: "Anjing akan menjilat muntahnya kembali," dan "Babi yang dimandikan akan berkubang semula di lumpur."