Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:48

[1] Daripada Simon Petrus, hamba dan rasul Yesus Kristus, Kepada mereka yang seiman dengan kami melalui perbenaran Allah dan Penyelamat kita Yesus Kristus:

[2] Semoga kamu dilimpahi berkat dan damai sejahtera daripada Allah, kerana kamu mengenal Allah dan Tuhan Yesus.

[3] Dengan kuasa ilahi-Nya Allah telah mengurniai kita segala yang diperlukan untuk hidup dan kesalihan, melalui apa yang kita ketahui tentang Dia yang memanggil kita dengan kemuliaan dan kebaikan-Nya.

[4] Allah telah menganugerahi kita janji yang besar dan berharga. Melaluinya kamu akan mengambil bahagian dalam sifat keilahian Allah setelah menjauhi kebinasaan akibat hawa nafsu di dunia.

[5] Oleh itu, berusahalah untuk membekalkan imanmu dengan kebaikan; dan kebaikan dengan pengetahuan;

[6] dan pengetahuan dengan penguasaan diri; dan penguasaan diri dengan ketabahan; dan ketabahan dengan kesalihan;

[7] dan kesalihan dengan belas ihsan persaudaraan; dan belas ihsan persaudaraan dengan kasih.

[8] Jika kamu semakin kaya dengan segala ini, tidaklah kamu sia-sia dan hampa dalam mengenal Tuhan kita Yesus Kristus.

[9] Seseorang yang tidak memiliki sifat-sifat ini adalah rabun, malah buta, dan lupa bahawa dia telah disucikan daripada dosa-dosanya dahulu.

[10] Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah lebih keras lagi untuk memastikan kekalnya panggilan dan pilihan Allah akan dirimu. Jika kamu melakukan segala ini, kamu tidak akan tersandung.

[11] Kamu akan diberi sepenuh hak untuk mewarisi kerajaan kekal Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus.

[12] Oleh itu, aku tidak akan lalai daripada mengingatkan kamu tentang segala ini, walaupun kamu sudah mengetahuinya dan berpegang teguh pada ajaran benar yang kamu terima.

[13] Selagi ada hayatku, wajarlah aku mengingatkan kamu tentang hal-hal itu.

[14] Aku tahu tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia ini, sebagaimana telah dinyatakan jelas kepadaku oleh Tuhan kita Yesus Kristus.

[15] Aku akan mengusahakan supaya kamu tetap diingatkan tentang hal-hal itu setelah aku tiada lagi.

[16] Kami tidaklah bercerita dongeng kepadamu apabila kami memberitahumu tentang kekuasaan Tuhan kita Yesus Kristus dan kedatangan-Nya. Kami telah menyaksikan kemuliaan-Nya dengan mata kami sendiri.

[17] Dia telah menerima penghormatan dan kemuliaan daripada Allah Bapa. Suatu suara daripada Yang Maha Tinggi berfirman, "Inilah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan."

[18] Kami telah mendengar suara yang datang dari syurga ketika kami bersama-Nya di puncak gunung suci.

[19] Dengan demikian, kata-kata nubuat yang ada pada kami menjadi lebih jelas. Terimalah kata-kata nubuat ini seperti lampu yang bersinar di tempat gelap, hingga fajar menyingsing dan bintang pagi terbit dalam hatimu.

[20] Hal terutama yang harus kamu ketahui: tidak ada satu nubuat pun dalam Kitab Suci yang berasal daripada pentafsiran sendiri,

[21] kerana nubuat bukanlah lahir dengan kehendak manusia, tetapi disuarakan oleh orang ketika digerakkan oleh Roh Kudus untuk menyampaikan kata-kata daripada Allah.

2 Petrus — Chapters