[1] Pada waktu itu berkatalah Salomo, " Tuhan telah berfirman bahawa Dia bersemayam dalam kelam pekat.
[2] Aku telah membina bait agung bagi hadirat-Mu, tempat Engkau hadir selama-lamanya."
[3] Kemudian raja berpaling dan memohonkan berkat untuk seluruh jemaah Israel, ketika seluruh jemaah Israel berdiri.
[4] Dia berkata, "Segala puji bagi Tuhan, Allah Israel! Dia sendiri telah berfirman kepada Daud, ayahku, dan telah menggenapinya dengan kuasa-Nya. Firman-Nya,
[5] 'Sejak Aku membawa umat-Ku keluar dari Tanah Mesir, tidak ada kota yang Kupilih di antara semua suku Israel untuk membina sebuah bait supaya nama-Ku tinggal di sana, dan tidak ada orang yang Kupilih untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku Israel.
[6] Tetapi kemudian Aku memilih Yerusalem supaya nama-Ku tinggal di sana, dan Aku memilih Daud untuk mengepalai umat-Ku Israel.'
[7] Daud, ayahku, berniat membina sebuah bait bagi nama Tuhan, Allah Israel,
[8] Tetapi Tuhan berfirman kepada Daud, ayahku, 'Niatmu untuk membina bait bagi nama-Ku itu memang baik.
[9] Akan tetapi, bukan engkau yang akan membina bait itu, melainkan anak kandungmu yang akan lahir kelak. Dialah yang akan membina bait bagi nama-Ku.'
[10] Sekarang Tuhan telah menepati firman yang disampaikan-Nya, kerana aku telah bangkit untuk menggantikan Daud, ayahku. Aku telah duduk di atas takhta kerajaan Israel, seperti yang difirmankan Tuhan, dan telah membina bait bagi nama Tuhan, Allah Israel.
[11] Di sana telah kutempatkan tabut berisi perjanjian Tuhan, yang diikat-Nya dengan orang Israel."
[12] Salomo berdiri menghadap mazbah Tuhan, di hadapan seluruh jemaah Israel, lalu menadahkan tangannya.
[13] Memang Salomo telah membuat mimbar gangsa yang sepanjang lima hasta, selebar lima hasta, dan setinggi tiga hasta. Dia meletakkan mimbar itu di tengah-tengah halaman, berdiri di atasnya, lalu berlutut di hadapan seluruh jemaah Israel sambil menadahkan tangannya ke langit.
[14] Katanya, "Ya Tuhan, Allah Israel, tidak ada Allah yang seperti Engkau, baik di langit mahupun di bumi. Engkau berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi bagi hamba-hamba-Mu yang hidup di hadapan-Mu dengan segenap hati mereka.
[15] Engkau yang berpegang teguh pada apa yang Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku. Engkau sendiri telah berfirman lalu mengotakannya dengan kuasa-Mu, seperti yang terjadi pada hari ini.
[16] Sekarang, ya Tuhan, Allah Israel, peganglah apa yang telah Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku, dengan berfirman, 'Di hadapan-Ku, tidak akan terputus keturunanmu yang akan duduk di atas takhta kerajaan Israel, asalkan anak-anakmu tetap hidup menurut hukum Taurat, sebagaimana engkau telah hidup di hadapan-Ku.'
[17] Sekarang, ya Tuhan, Allah Israel, biarlah terbukti firman yang Kausampaikan kepada hamba-Mu Daud.
[18] Akan tetapi, sungguhkah Allah mahu tinggal bersama-sama manusia di atas bumi? Sesungguhnya, langit bahkan langit di atas segala langit pun tidak dapat memuat Engkau, apa lagi bait yang kubangunkan ini!
[19] Tiliklah doa dan permohonan hamba-Mu ini, ya Tuhan, Allahku. Dengarlah seruan dan doa yang hamba-Mu panjatkan di hadirat-Mu ini.
[20] Semoga siang dan malam mata-Mu terbuka terhadap bait ini, terhadap tempat yang Kaufirmankan bahawa Engkau akan menegakkan nama-Mu di sini. Dengarlah doa yang dipanjatkan hamba-Mu dengan menghadap ke tempat ini.
[21] Dengarlah kiranya permohonan hamba-Mu dan umat-Mu Israel ketika mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah dari tempat tinggal-Mu di syurga, dan ampunilah kami ketika Engkau mendengarkannya.
[22] Jika seseorang berdosa terhadap sesamanya, dia harus mengangkat sumpah, dan datang bersumpah di depan mazbah-Mu di bait ini,
[23] maka dengarlah kiranya di syurga dan bertindaklah. Adililah hamba-hamba-Mu, balaslah orang yang bersalah, dan timpakanlah perbuatannya pada dirinya sendiri. Pertahankanlah orang benar, dan ganjarlah dia selaras dengan perbenarannya.
[24] Jika umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka berdosa terhadap Engkau, kemudian mereka berbalik kepada-Mu, mengakui keagungan nama-Mu, berdoa, dan memohon belas kasihan di hadapan-Mu di bait ini,
[25] maka dengarlah kiranya di syurga. Ampunkanlah dosa umat-Mu Israel dan bawalah mereka kembali ke tanah yang telah Kaukurniakan kepada mereka serta nenek moyang mereka.
[26] Apabila langit tertutup dan hujan tidak kunjung turun kerana mereka telah berdosa terhadap Engkau, lalu mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini, mengakui keagungan nama-Mu, dan berbalik daripada dosa mereka kerana Engkau telah menindas mereka,
[27] maka dengarlah kiranya di syurga. Ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu dan umat-Mu, Israel – kerana Engkaulah yang mengajar mereka jalan baik yang patut ditempuh mereka – dan turunkanlah hujan ke tanah-Mu, yang telah Kaukurniakan kepada umat-Mu sebagai harta pusaka.
[28] Jika ada bencana kebuluran di negeri, penyakit sampar, kelayuan tanaman, penyakit bijirin, belalang besar, dan belalang pemusnah; jika musuh mengepung salah sebuah kota di negeri mereka; jika ada wabak atau penyakit apa-apa pun,
[29] lalu seseorang atau seluruh umat-Mu Israel memanjatkan suatu doa atau permohonan sambil menadahkan tangan dengan menghadap ke bait ini kerana masing-masing mengetahui kesusahan dan penderitaan sendiri,
[30] maka dengarlah dari tempat tinggal-Mu di syurga. Ampunilah, dan balaslah setiap orang selaras dengan segala jalan hidupnya kerana Engkau mengetahui isi hatinya – hanya Engkaulah yang mengetahui isi hati anak-anak manusia.
[31] Dengan demikian mereka akan takut kepada-Mu dan hidup menurut jalan-Mu selama mereka hidup di tanah yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang kami.
[32] Juga bagi orang asing yang tidak termasuk umat-Mu Israel, yang datang dari negeri jauh kerana nama-Mu yang besar, tangan-Mu yang perkasa, dan lengan-Mu yang terhulur, apabila dia datang berdoa dengan menghadap ke bait ini,
[33] maka dengarlah kiranya dari syurga, tempat tinggal-Mu. Bertindaklah selaras dengan semua yang diserukan kepada-Mu oleh orang asing itu. Dengan demikian, segala bangsa di bumi dapat mengenal nama-Mu serta takut kepada-Mu seperti umat-Mu, Israel, dan mereka tahu bahawa nama-Mu diserukan atas bait yang kubangunkan ini.
[34] Jika umat-Mu maju berperang melawan musuh-musuh mereka, ke mana-mana pun Kausuruh mereka, dan jika mereka berdoa kepada-Mu dengan berkiblat ke kota yang Kaupilih serta ke bait yang kubangunkan bagi nama-Mu,
[35] maka dengarlah kiranya di syurga doa dan permohonan mereka. Belalah perkara mereka.
[36] Jika mereka berdosa terhadap Engkau – kerana tidak ada manusia yang tidak berdosa – dan Engkau murka terhadap mereka serta menyerahkan mereka kepada musuh sehingga mereka dibuang sebagai tawanan ke negeri yang jauh atau yang dekat,
[37] dan jika mereka sedar akan diri di negeri tempat mereka tertawan, lalu berbalik serta memohon belas kasihan kepada-Mu di negeri tempat mereka tertawan itu dengan berkata, 'Kami telah berdosa, bersalah, dan berbuat fasiq;'
[38] jika mereka berbalik kepada-Mu dengan segenap hati dan dengan segenap jiwa di negeri tempat mereka tertawan, iaitu tempat kalangan yang menawan mereka; dan jika mereka berdoa dengan berkiblat ke negeri yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang mereka, ke kota yang telah Kaupilih, serta ke bait yang telah kubangunkan bagi nama-Mu,
[39] maka dengarlah kiranya doa dan permohonan mereka dari tempat tinggal-Mu di syurga. Belalah perkara mereka, dan ampunilah umat-Mu yang telah berdosa terhadap Engkau.
[40] Sekarang, ya Allahku, biarlah mata-Mu terbuka dan telinga-Mu mendengar doa yang dipanjatkan di tempat ini:
[41] Ya Tuhan Allah, segeralah hadir di tempat Engkau bersemayam, Engkau dengan tabut kekuatan-Mu. Biarlah para imam-Mu, ya Tuhan Allah, menyarungkan penyelamatan, dan biarlah orang salih-Mu bersorak-sorai kerana kebaikan-Mu.
[42] Ya Tuhan Allah, janganlah berpaling daripada orang yang telah Kaulantik. Ingatlah kasih abadi-Mu kepada Daud, hamba-Mu itu."