[1] Salomo membuat sebuah mazbah daripada gangsa berukuran sepanjang dua puluh hasta, selebar dua puluh hasta dan setinggi sepuluh hasta.
[2] Selanjutnya dibuatnya kolam logam tuangan bulat berkeliling berukuran sepuluh hasta dari tepi ke tepi, setinggi lima hasta, dan dapat dililit oleh tali pengukur sepanjang tiga puluh hasta.
[3] Di bawah tepi kolam itu ada arca lembu jantan yang mengitari sekelilingnya, sepuluh ekor dalam sehasta. Arca lembu yang terdiri daripada dua deret dibuat setuangan dengan kolam itu.
[4] Kolam itu didirikan di atas dua belas ekor lembu jantan: tiga menghadap ke utara, tiga menghadap ke barat, tiga menghadap ke selatan, dan tiga menghadap ke timur. Kolam itu ditempatkan di atas lembu-lembu jantan itu, dengan semua buntut lembu itu mengarah ke dalam.
[5] Tebal kolam itu setelapak tangan dan tepinya dibuat seperti tepi cawan, seperti bunga bakung yang mengembang. Kolam itu dapat memuat tiga ribu bat air.
[6] Dia juga membuat sepuluh buah bejana pembasuhan lalu meletakkan lima buah di sebelah kanan dan lima buah di sebelah kiri sebagai tempat pembasuhan. Apa-apa sahaja yang terpakai untuk korban bakaran dibasuh di situ, tetapi tempat pembasuhan bagi para imam ialah kolam tadi.
[7] Setelah itu, dia membuat sepuluh buah kaki pelita emas selaras dengan aturannya lalu diletaknya di dalam Bait Suci, lima buah di sebelah kanan dan lima buah di sebelah kiri.
[8] Dia juga membuat sepuluh buah meja dan menempatkannya di dalam Bait Suci, lima buah di sebelah kanan dan lima buah di sebelah kiri, lalu dibuatnya seratus biji bokor emas.
[9] Kemudian dia membuat pelataran para imam, halaman besar, dan pintu-pintu halaman itu, lalu disalutnya pintu-pintu itu dengan gangsa.
[10] Kolam ditempatkannya di sebelah selatan bait, di arah tenggara.
[11] Huram juga membuat periuk, penyodok, dan bejana. Demikianlah Huram selesai pekerjaan yang harus dilakukannya bagi Raja Salomo di Rumah Allah:
[12] dua batang tiang; mangkuk kepala tiang yang ada di atas dua batang tiang itu; kedua-dua jala yang menudungi dua biji mangkuk kepala tiang itu;
[13] empat ratus buah delima untuk kedua-dua jala itu, dua deret pada setiap jala, yang menudungi dua biji mangkuk kepala tiang itu;
[14] penopang dengan bejana-bejana pembasuhan di atas penopang itu;
[15] dan kolam tuangan dengan kesemua dua belas arca lembu jantan di bawahnya.
[16] Periuk, penyodok, garpu dan segala kelengkapan yang dibuat Huram-Abi bagi Raja Salomo untuk Bait Tuhan adalah daripada gangsa yang digilap.
[17] Raja menyuruh agar semua itu dituang di Lembah Yordan, di antara Sukot dengan Zereda, dalam tanah liat.
[18] Semua kelengkapan itu dibuat Salomo dalam jumlah yang amat besar, sehingga tidak dapat diketahui berat gangsa itu.
[19] Salomo juga membuat segala alat kelengkapan yang ada di Rumah Allah: mazbah daripada emas; meja-meja tempat roti persembahan;
[20] kaki-kaki pelita dengan pelita-pelitanya daripada emas murni, untuk dinyalakan di depan ruang belakang selaras dengan aturannya;
[21] bunga-bunganya, pelita-pelitanya, dan penyepit-penyepitnya terbuat daripada emas, iaitu emas murni;
[22] sepit, bokor, pedupaan, dan perbaraannya yang diperbuat daripada emas murni; pintu masuk bait itu, pintu-pintu sebelah dalam menuju Tempat Yang Maha Suci, dan pintu ruang besar Bait Suci itu yang diperbuat daripada emas.