[1] Apabila kami tidak tertahan lagi, kami membuat keputusan untuk tinggal seorang diri di Atena.
[2] Sementara itu kami mengutus Timotius, saudara kami dan rakan sekerja Allah dalam Injil Kristus, untuk menetapkan hatimu dan meneguhkan imanmu,
[3] supaya tiada seorang pun daripadamu goyah pendirian akibat penganiayaan itu. Kamu tahu bahawa ini sudah ditentukan untuk kita.
[4] Sewaktu kami bersamamu dahulu, kami telah pun menyatakan bahawa kita akan dianiaya. Kini kamu telah melihat bahawa penganiayaan itu benar-benar berlaku.
[5] Aku telah mengutus Timotius kepadamu kerana terlalu ingin mengetahui bagaimana keadaan imanmu. Aku bimbang kalau-kalau si penggoda telah menggodamu sehingga usaha kami sia-sia belaka.
[6] Sekarang Timotius telah pulang membawa khabar baik tentang iman dan kasihmu. Dia memberitahu bahawa kamu sentiasa mengenang mesra terhadap kami serta ingin menemui kami sebagaimana kami ingin menemuimu.
[7] Oleh itu, saudara-saudara, di tengah-tengah kesusahan dan kesengsaraan, hati kami terhibur oleh berita tentang imanmu.
[8] Kerana kini kami benar-benar hidup, memandangkan kamu tetap berdiri teguh dalam Tuhan.
[9] Bagaimanakah kami harus bersyukur kepada Allah atas segala kegembiraan yang kami rasakan kerana kamu di hadapan Allah kita?
[10] Siang malam kami berdoa sepenuh hati semoga kami dapat menemuimu dan melengkapkan apa yang masih kurang dalam imanmu.
[11] Semoga Allah dan Bapa kita, dan Yesus, Tuhan kita melorongkan pertemuan kita.
[12] Semoga Tuhan menjadikanmu semakin kasih-mengasihi dan semakin mengasihi sesama manusia sebagaimana kami mengasihimu.
[13] Dengan demikian Tuhan akan memperteguh hatimu sehingga kamu menjadi suci, tiada cacat cela di hadapan Allah Bapa kita semasa Tuhan kita Yesus datang dengan semua pengikut-Nya yang salih.