[1] Daripada Paulus, Silwanus dan Timotius, Kepada jemaah di Tesalonika dalam Allah Bapa dan Tuhan Yesus Kristus: Kasih kurnia dan damai sejahtera menyertai kamu.
[2] Kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu semua dan menyebut nama-namamu dalam doa kami.
[3] Kami sentiasa ingat betapa kamu telah bekerja dalam iman, berusaha dengan kasih dan bersabar dengan sepenuh harapan kepada Tuhan Yesus Kristus kita di hadapan Allah Bapa kita.
[4] Saudara-saudara yang dikasihi, kami tahu bahawa Allah telah memilihmu,
[5] kerana Injil yang kami beritakan itu telah sampai kepadamu bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga dengan kuasa, dengan Roh Kudus dan dengan keyakinan kukuh. Kamu tahu akan sifat dan kehidupan kami sewaktu bersamamu demi kebaikanmu.
[6] Kamu mengikut teladan kami dan teladan Tuhan. Walaupun kamu banyak menanggung kesengsaraan, namun kamu menyambut khabar itu dengan sukacita yang datang daripada Roh Kudus.
[7] Oleh yang demikian kamu menjadi teladan kepada semua orang beriman di Makedonia dan Akhaya.
[8] Firman Tuhan tersebar bukan sahaja di Makedonia dan Akhaya malah di serata tempat. Mereka telah mendengar tentang imanmu kepada Allah, maka kami tidak perlu berkata apa-apa lagi.
[9] Mereka sendiri menceritakan bahawa kamu telah menyambut kami dengan baik apabila kami mengunjungimu dahulu, bahawa kamu berpaling daripada menyembah berhala untuk menyembah Allah yang hidup dan benar,
[10] dan untuk menantikan kedatangan Anak-Nya dari syurga, yang telah dibangkitkan Allah daripada kematian – Yesus yang akan menyelamatkan kita daripada kemurkaan yang akan datang.