[1] Malanglah Yerusalem, kota derhaka yang suka memberontak terhadap TUHAN dan yang menindas penduduknya sendiri.
[2] Kota itu tidak mengendahkan nasihat TUHAN, dan tidak pula menerima tegur ajar-Nya. Kota itu tidak berharap kepada TUHAN dan tidak meminta tolong kepada-Nya.
[3] Para pembesar kota itu seperti singa yang mengaum-aum. Hakim-hakimnya seperti serigala lapar yang sangat rakus sehingga sepotong tulang pun tiada yang ditinggalkan untuk esok harinya.
[4] Nabi-nabi kota itu tidak bertanggungjawab dan tidak dapat dipercayai; para imam menajiskan apa yang dikhaskan untuk TUHAN dan memutarbalikkan hukum Allah bagi kepentingan mereka sendiri.
[5] Tetapi TUHAN masih di kota itu; Dia sentiasa melakukan yang benar dan tidak pernah melakukan yang salah. Setiap pagi Dia pasti memberikan keadilan kepada umat-Nya. Namun orang yang tidak mengenal keadilan di kota itu tetap berbuat jahat tanpa mengenal malu.
[6] TUHAN berfirman, “Aku telah melenyapkan banyak bangsa; Aku menghancurkan kota-kota mereka, dan menjadikan tembok serta menara-menara mereka itu reruntuhan. Kota-kota mereka sunyi tanpa penghuni dan jalan-jalan pun lengang; tiada lagi orang yang tinggal di situ.
[7] Aku berfikir, ‘Sekarang sudah tentu umat-Ku menghormati Aku dan menerima tegur ajar-Ku. Pasti mereka selalu mengingat pengajaran yang Aku berikan kepada mereka.’ Tetapi nampaknya, mereka lebih giat lagi berbuat jahat daripada sebelumnya.”
[8] TUHAN berfirman, “Tetapi awas! Tunggu saja harinya Aku bangkit sebagai saksi untuk menuduh bangsa-bangsa. Aku telah mengambil keputusan untuk mengumpulkan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan supaya Aku dapat menimpakan kemurkaan-Ku kepada mereka. Seluruh bumi akan dimusnahkan oleh api kemurkaan-Ku.
[9] Tetapi kemudian Aku akan mengubah hati bangsa-bangsa itu, sehingga mereka berdoa kepada-Ku sahaja dan bukan kepada tuhan-tuhan lain. Semua bangsa itu akan mentaati Aku.
[10] Bahkan dari Etiopia yang jauh, umat-Ku yang tercerai-cerai itu akan datang dan mempersembahkan korban kepada-Ku.
[11] Pada masa itu, hai umat-Ku, kamu tidak perlu berasa malu lagi kerana telah memberontak terhadap Aku. Aku akan menyingkir setiap orang yang sombong dan angkuh; kamu tidak akan memberontak lagi terhadap Aku di bukit-Ku yang suci.
[12] Orang yang hina dan yang rendah hati akan Kubiarkan tinggal di sana. Mereka akan datang meminta tolong kepada-Ku.
[13] Orang Israel yang terselamat tidak akan berbuat jahat kepada sesiapa pun; mereka tidak akan berdusta dan tidak menipu. Mereka akan makmur dan aman; mereka tidak akan takut kepada sesiapa pun.”
[14] Hai umat Israel, hendaklah kamu bersorak dan bernyanyi! Hai penduduk Yerusalem, hendaklah kamu bergembira dengan segenap hati!
[15] TUHAN sudah berhenti menghukum kamu; Dia telah mengusir semua musuh kamu. TUHAN, raja Israel, menyertai kamu; tiada lagi yang menakutkan kamu.
[16] Akan tiba masanya orang berkata kepada Yerusalem, “Hai Bukit Sion, jangan takut dan jangan putus asa.
[17] TUHAN, Allah kamu menyertai kamu; kamu menang kerana kuasa-Nya. TUHAN gembira dan bersukacita kerana kamu; Dia memberi kamu hidup baru kerana Dia mengasihi kamu. Kamu menyukakan hati-Nya, maka Dia akan menyanyi dengan gembira,
[18] seperti orang yang sedang berpesta.” TUHAN berfirman, “Aku tidak lagi membiarkan kamu ditimpa bencana; Aku tidak lagi membiarkan kamu dihina.
[19] Masanya akan tiba; Aku akan menghukum penindas kamu. Aku menyelamatkan orang tempang, dan membawa pulang orang yang dibuang. Aku akan menyebabkan orang menghormati mereka, sehingga di seluruh dunia, mereka tidak lagi dihina.
[20] Masanya akan tiba; Aku akan membawa pulang orang yang tercerai-cerai; Aku akan menjadikan kamu termashyur di seluruh bumi, dan menjadikan kamu makmur sekali lagi.” TUHAN telah berfirman.