Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:32

[1] Tidak lama kemudian, ada lagi orang ramai datang berkumpul. Apabila mereka kehabisan makanan, Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan berkata,

[2] “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku, dan sekarang mereka kehabisan makanan.

[3] Jika Aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan, kerana ada antara mereka yang datang dari jauh.”

[4] Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di tempat terpencil ini, di manakah orang boleh mendapat cukup makanan untuk semua orang ini?”

[5] Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” “Tujuh ketul,” jawab mereka.

[6] Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Lalu Dia mengambil tujuh ketul roti itu dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Pengikut-Nya pun berbuat demikian.

[7] Mereka juga mempunyai beberapa ekor ikan kecil. Yesus mengucap syukur kepada Allah bagi ikan itu, lalu menyuruh pengikut-Nya membahagi-bahagikan ikan itu juga.

[8] Semua orang makan sehingga kenyang - ada kira-kira empat ribu orang di situ. Selepas itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. Kemudian Yesus menyuruh orang ramai pulang.

[10] Sesudah itu Dia segera menaiki perahu bersama-sama para pengikut-Nya, lalu pergi ke daerah Dalmanuta.

[11] Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan Dia. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah.

[12] Yesus mengeluh lalu menjawab, “Mengapakah orang zaman ini meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Tanda semacam itu tidak akan diberikan kepada mereka!”

[13] Yesus meninggalkan mereka, lalu kembali ke perahu dan mula menyeberangi tasik.

[14] Pengikut Yesus lupa membawa roti yang cukup. Mereka hanya mempunyai seketul roti di perahu.

[15] Yesus memperingatkan mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.”

[16] Mereka mula mempersoalkan hal itu. Mereka berkata, “Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.”

[17] Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Oleh itu Dia bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham juga? Adakah fikiran kamu sedemikian tumpul?

[18] Kamu mempunyai mata, mengapa tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, mengapa tidak dapat mendengar? Tidakkah kamu ingat

[19] bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” Mereka menjawab, “Dua belas.”

[20] Yesus bertanya lagi, “Ketika Aku membahagikan tujuh ketul roti untuk empat ribu orang, berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” Mereka menjawab, “Tujuh.”

[21] Yesus berkata, “Dan kamu masih belum faham juga?”

[22] Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus, dan mereka memohon supaya Yesus menyentuh dia agar dia sembuh.

[23] Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu. Setelah Yesus meludahi mata orang itu, Dia meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu, lalu bertanya kepadanya, “Dapatkah kamu lihat sesuatu?”

[24] Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan.”

[25] Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya. Matanya sembuh, dan dia melihat segala-galanya dengan jelas sekali.

[26] Lalu Yesus menyuruh dia pulang, dan berkata kepadanya, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.”

[27] Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, “Menurut kata orang, siapakah Aku ini?”

[28] Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada pula yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata salah seorang nabi.”

[29] “Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus. Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah!”

[30] Lalu Yesus memerintah mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun perkara tentang diri-Ku.”

[31] Kemudian Yesus mula mengajar pengikut-pengikut-Nya, “Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, dan tidak akan diterima oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.”

[32] Yesus mengatakan hal ini kepada mereka dengan jelas sekali. Oleh itu Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia.

[33] Tetapi Yesus berpaling dan memandang pengikut-pengikut-Nya, lalu menegur Petrus, “Pergilah dari sini, hai Iblis! Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!”

[34] Kemudian Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai di situ. Dia berkata kepada mereka, “Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku.

[35] Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya untuk-Ku dan untuk Berita Baik daripada Allah, akan menyelamatkannya.

[36] Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati?

[37] Dapatkah hidup itu ditukar dengan sesuatu? Tentu tidak.

[38] Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku pada zaman yang derhaka dan jahat ini, Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu, apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan Bapa-Nya berserta malaikat-malaikat-Nya yang suci.”

Markus — Chapters